Sehingga hari ini, wanita masih lagi disubordinasi dua kali. Pertama, mereka berada dalam cengkaman kekuasaan kapitalis. Kedua, mereka ditindas kerana status gender mereka. Dalam konteks ini, wanita tidak harus memusuhi golongan lelaki, tetapi menganalisis dengan kritis sebab-sebab berlakunya penindasan. Ia sebetulnya dapat dilihat pada hubungan antara kapitalisme dengan patriarki. Ini kerana sistem patriarki menekankan kedudukan lelaki sebagai sangat superior dan lebih martabat berbanding wanita. Pendek kata, sistem ini membuatkan wanita tunduk kepada kekuasaan lelaki. Keadaan ini mengakibatkan wanita cenderung untuk didominasi dan dieksploitasi. Apatah lagi apabila patriarki juga ditekankan oleh kapitalisme yang memerlukannya untuk memperbesarkan akumulasi kapital semata-mata. Wanita malah dijadikan sebagai komoditi. Bahkan, penindasan terhadap golongan wanita juga terjadi akibat kepemilikan peribadi dan wujudnya masyarakat kelas.
Di Malaysia, diskriminasi dan sikap merendah-rendahkan wanita terus terjadi. Wanita dianggap sebagai rakyat kelas kedua dengan alasan mereka beremosi dan lemah secara fizikal. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan bahawa negara berpendapatan tinggi tidak patut bergantung kepada wanita sebagai penyumbang utama dan golongan lelaki yang perlu mengetuai usaha untuk membina negara. Ridhuan Tee pula menyalahkan golongan wanita sebagai punca berlakunya masalah rogol. Manakala di Terengganu, golongan wanita Islam yang tidak menutup aurat akan didenda sekitar RM80-RM120. Mereka juga dilarang untuk membonceng motosikal yang ditunggang oleh lelaki. Pada masa yang sama, purata gaji bagi golongan wanita di negara ini masih rendah berbanding lelaki iaitu kira-kira hanya RM2071 berbanding RM2260 meskipun untuk melakukan pekerjaan yang sama.
Persoalan tentang patriarki, penindasan, kapitalisme dan sebagainya ini juga harus diserentakkan dengan persoalan bagaimana untuk mencapai pembebasan wanita. Kata Lenin, golongan pekerja tidak mampu untuk membebaskan dirinya daripada kapitalisme tanpa terlebih dulu membebaskan golongan wanita daripada penindasannya. Kapitalisme telah gagal menjamin kehidupan yang adil untuk semua dan tidak menghormati hak wanita.
Dalam sosialisme, struktur masyarakat adalah dimana alat produksi dimiliki dan diakses dengan demokratis oleh kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Tidak ada taraf yang lebih superior dan semuanya adalah sama sahaja. Justeru, golongan lelaki dan wanita mesti bersatu berjuang untuk sistem ekonomi yang dirancang dengan demokratik dan untuk hak yang sama bagi semua orang.
Golongan wanita juga perlu melibatkan diri dalam produksi sosial agar dapat mencapai kondisi material untuk kebebasan ekonomi dan pemberdayaan diri mereka. Kerja-kerja domestik seperti mengasuh anak harus diberikan penilaian yang sama rata sebagaimana dengan produksi sosial yang menyumbang kepada masyarakat. Hanya kesetaraan dalam sosialisme yang dapat mengakhiri segala bentuk ketidakadilan kepada golongan wanita. Pembebasan wanita hanya menjadi nyata dengan perjuangan sosialisme, berjuang untuk sosialisme dan pembebasan bagi wanita adalah berjalan seiring!
Sharifah, Sosialis Alternatif
No comments:
Post a Comment