Wednesday, 4 March 2015

ANAK MUDA PERLU MEMBAWA POLITIK ALTERNATIF


Baru-baru ini, kumpulan anak muda yang dikenali sebagai UM8 yang dituduh bersalah dan didenda oleh Universiti Malaya kerana menganjurkan ceramah dengan menjemput Anwar Ibrahim di perkarangan kampus, telah membuat usaha untuk mewujudkan sebuah gerakan anak muda seluruh Malaysia. Kumpulan yang dinamakan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM ) ini diketuai oleh aktivis mahasiswa Fahmi Zainol berhujah untuk membawa keluar Malaysia dari politik perkauman yang semakin dipermainkan oleh ahli-ahli politik masakini.

Fahmi berkata AMHM mahu masa depan di mana wakil daripada semua kaum akan bersama-sama membuat keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan, sambil menambah bahawa dasar tindakan afirmatif bumiputera adalah ketinggalan zaman dan perlu dilihat semula untuk menentukan jika ianya masih diperlukan.

Tindakan anak muda UM ini adalah sebagai langkah berani menentang ketidakadilan dan mewujudkan alternatif untuk membawa sebuah perubahan bagi Malaysia. Akan tetapi, pada masa yang sama, anak muda dan mahasiswa juga perlu sedar dengan cabaran-cabaran yang wujud di hadapan mata mereka dan mengambil strategi dan perspektif yang berkesan bagi menjayakan dan mengembangkan usaha ini.

Anak muda dan kumpulan mahasiswa merupakan lapisan yang paling aktif dalam sesebuah masyarakat. Dibekalkan dengan idea-idea yang baru dan akses kepada medium pendidikan, golongan anak muda mampu melihat lebih jauh jika dibandingkan dengan kelas pekerja atau rakyat tertindas. Gerakan anak muda juga sering menjadi inspirasi kepada gerakan yang lebih besar yang melibatkan massa. Seperti yang dilihat di Revolusi Perancis 1968, Reformasi Indonesia 1998, Revolusi Mesir dan Tunisia baru-baru ini, kebanyakan gerakan massa ini telah dimulakan oleh golongan anak muda yang berani dan tulus.

Walaubagaimanapun, bagi membawa sebuah perubahan yang tulen, gerakan anak muda ini harus mendapat sokongan daripada rakyat biasa terutamanya kelas pekerja. Setiap percubaan untuk membawa sesuatu perubahan terbukti memerlukan sokongan daripada majoriti rakyat dan jika gerakan anak muda ini tidak mendapat perhatian orang ramai, maka prospek kejayaan bagi gerakan ini tidak begitu menggalakkan. Lihatlah contoh di Mesir dimana penentangan terhadap rejim Hosni Mubarak yang dimulakan oleh golongan anak muda hanya berjaya apabila kelas pekerja dapat mengorganisasi aksi-aksi mogok di tempat kerja yang telah menggugat ekonomi pemerintah dan seterusnya mampu digulingkan.

Pada masa ini, fokus utama AMHM adalah untuk menentang politik perkauman dan konservatisme yang dianggap menyebabkan rakyat Malaysia semakin jijik sehingga ada yang merantau ke negara asing mencari masa depan yang lebih baik. Mereka juga mengecam suasana politik dimana satu etnik mempunyai kelebihan untuk menentukan dasar-dasar kerajaan. Di sini, para mahasiswa harus sedar apakah puncanya kepada masalah-masalah kepincangan dalam demokrasi, hak asasi manusia dan perpaduan kaum yang bukan sahaja wujud di negara kita tetapi di setiap pelosok dunia hari ini.

Ambil contoh di Ferguson, Amerika baru-baru ini dimana serangan perkauman oleh polis kerajaan terhadap warga kulit hitam telah mendapat liputan luas seluruh dunia. Walaupun Obama merupakan Presiden kulit hitam pertama dalam sejarah Amerika, Obama tidak mampu memperbaiki keadaan sosial kumpulan etniknya. Di Myanmar, Sri Lanka, India, Pakistan, China dan juga negara-negara barat seperti Britain dan France juga menghadapi ancaman perkauman yang sedang menggugat keharmonian rakyat senegara. Anak muda dan mahasiswa perlu mengupas dan menganalisa kepincangan dalam sistem dimana masalah perkauman adalah berpunca daripada pengurusan ekonomi yang tidak adil oleh segelintir pemerintah elit yang memecah belahkan persaudaraan antara kaum supaya mereka dapat mengekalkan kekayaan dan status sosial mereka.

Dunia sekarang terbahagi antara golongan elit yang amat kaya, dan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa yang dibebankan dengan masalah ekonomi dan sosial. Cuma 85 orang terkaya didunia memiliki lebih harta berbanding 3.5 bilion ataupun separuh daripada penduduk dunia sekarang. Rakyat biasa dipecah belahkan oleh segelintir kapitalis dengan menggunakan monopoli mereka terhadap media massa dan pendidikan sambil menikmati kekayaan hasil daripada peluh rakyat. Di Malaysia sendiri, seramai 26000 jutawan kini memiliki harta sebanyak RM527 bilion ataupun 50% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahunan.

Pada masa yang sama, rakyat biasa pula mengharungi masalah hutang isi rumah yang paling teruk di rantau Asia. Jurang antara kaya dan miskin yang semakin melebar ini merupakan pendedahan kepada sistem ekonomi kapitalisme yang semakin rakus dan menindas rakyat biasa. Lihatlah contoh bagaimana kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri telah membenarkan pengusaha-pengusaha balak untuk menggondol hutan simpanan di Semenanjung Malaysia yang telah mengakibatkan banjir yang teruk pada hujung tahun lalu. Kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang didapati menyebelahi kepentingan golongan pengusaha dan pemodal yang membuat keuntungan berbilion-bilion tanpa mengambil sebarang tanggungjawab terhadap tindakan mereka. Memang jelas bahawa kepentingan kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri terikat dengan kepentingan golongan kapitalis dan bukan keperluan asas rakyat biasa.

Kumpulan anak muda seperti AMHM ini harus mengutarakan perkara-perkara yang menjadi punca kepada masalah demokrasi dan perkauman di Malaysia dan membina alternatif kepada politik kapitalisme yang wujud masakini. Penentangan terhadap sistem ekonomi kapitalisme harus dijadikan paksi kepada perjuangan mereka dan pada masa yang sama menyeru kepada rakyat biasa dengan membawa kepentingan mereka ke hadapan bersama dengan tuntutan anak muda. Skop perjuangan yang luas seperti membawa politik baru di Malaysia sahaja tidak cukup. AMHM harus mengkhususkan tuntutan-tuntutan rakyat yang wajar dan pada masa yang sama bersedia dengan matlamat yang dapat memberikan alternatif yang jelas kepada anak muda dan rakyat biasa.

Usaha anak muda UM ini telah membawa 33 mahasiswa sebagai ahli dalam masa yang singkat menandakan bahawa mereka mempunyai sokongan dari khalayak anak muda yang lain. Walau bagaimanapun, penyertaan dan sokongan daripada rakyat biasa dan kelas pekerja diperlukan dengan membawa isu-isu keperluan rakyat seperti pelaksanaan GST, kenaikan harga barang, gaji minima dan lain-lain ke hadapan.

Memang jelas bahawa anak muda dan mahasiswa mempunyai peranan penting dalam membawa perubahan politik, tetapi usaha ini perlu di tambah dengan kerja-kerja akar umbi yang dapat mendekati rakyat biasa dan kelas pekerja. Anak muda dan mahasiswa perlu mengambil langkah untuk menyusun program-program yang sesuai untuk kesedaran massa dan membawa mereka ke arena perjuangan di bawah satu hala tuju yang jelas.

Rakyat Malaysia sedang mengalami pelbagai konflik selain daripada isu demokrasi dan hak asasi. Tuntutan untuk membawa politik alternatif perlu digabungkan dengan tuntutan membantah pelaksanaan GST, membantah kenaikan harga barang, menuntut gaji minimum yang lebih tinggi, menuntut hak demokrasi dan juga pendidikan percuma untuk golongan anak muda. Penyusunan program, slogan dan tuntutan yang patut adalah penting bagi menarik kekuatan rakyat dan kelas pekerja dalam perjuangan bersama. Pendekatan sebegini juga boleh menghasilkan sokongan daripada organisasi pekerja seperti Kesatuan Sekerja dan badan-badan komuniti yang dapat memberikan pendedahan yang lebih luas mengenai kezaliman kerajaan kapitalis terhadap rakyat biasa. Sosialis Alternatif percaya dengan kepimpinan politik alternatif kepada kapitalisme, gabungan gerakan anak muda dan rakyat biasa dapat membawa perubahan.


No comments: