Pada 10 Februari lalu, Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kes liwat 2.0. Pada akhir penghakiman, Anwar membantah dari kandang tertuduh, memberitahu hakim bahawa mereka telah menjadi "rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan kebebasan kehakiman". Kira-kira 2,000 orang berkumpul di hadapan mahkamah untuk membantah ketidakadilan terhadap Anwar.
Kehakiman tersebut secara meluas dianggap sebagai komplot politik oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Najib Razak untuk melemahkan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan dalam dua pilihanraya umum yang lalu. Sosialis Alternatif mengutuk tindakan yang tidak bertanggungjawab kerajaan pemerintah yang mempergunakan mahkamah, media dan jentera-jentera kerajaan yang lain untuk menidakkan kebebasan dan hak demokrasi pembangkang dan juga rakyat biasa.
KEMARAHAN YANG SEMAKIN MENINGKAT
Pungutan suara Merdeka Center bulan Oktober lalu mendedahkan bahawa 48% rakyat sama ada mempunyai sedikit keyakinan atau tidak yakin langsung dengan kebebasan badan kehakiman negara. Dengan pencabulan hak demokrasi yang lain ditambah dengan ketidaktentuan dalam ekonomi dan keperluan sosial yang semakin merosot, rasa tidak percaya rakyat terhadap kerajaan BN dijangka semakin meningkat. Dengan perkembangan sebegini, Pakatan akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan menjelang 2018. Tetapi keputusan memenjarakan Anwar boleh meletakkan ketiga-tiga parti gabungan Pakatan dalam keadaan kucar-kacir tanpa Anwar yang telah bertindak sebagai penyatu selama ini. Konflik antara DAP dan PAS telah menjadikan Pakatan rapuh. Tetapi dengan kemarahan rakyat yang semakin meningkat terhadap BN, Pakatan akan tertekan untuk bersatu di bawah satu kepimpinan yang baru untuk mengukuhkan kedudukannya bagi mengambil kuasa pemerintahan.
Kerajaan-kerajaan luar negara seperti Amerika Syarikat dan Australia telah mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan mahkamah sebagai satu penghakiman yang ‘bermotifkan politik', tetapi apabila Obama dan Tony Abbott baru-baru ini melawat Najib (Obama juga bermain golf dengan Najib di Hawaii Disember lalu), mereka langsung tidak memberi tekanan kepadanya untuk perbicaraan mahkamah yang adil untuk Anwar. Ini sekali lagi menunjukkan kepura-puraan dan tidak konsisten kerajaan-kerajaan kapitalis terhadap hak-hak dan ketidakadilan demokratik. Tetapi beberapa pemimpin antarabangsa semata-mata membantah keputusan Anwar kerana mereka adalah dari sekolah pemikiran kapitalisme pasaran bebas yang sama. Anwar telah menyokong kuat agenda Bank Dunia dan IMF terutamanya ketika krisis kewangan 1998.
MANGSA PEREBUTAN KUASA
Anwar, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun atas tuduhan rasuah dan liwat yang dibawa oleh rejim Mahathir ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998 apabila konflik politik meletus dalam UMNO. Anwar mengetuai gerakan 'Reformasi', yang disokong oleh anak-anak muda dan lapisan kelas menengah untuk membantah terhadap pemerintahan autokratik Mahathir. Tetapi Mahathir berjaya mengukuhkan cengkaman kuasa dengan mengelak krisis ekonomi dan sosial yang serius dengan menggunakan ‘kawalan modal’ dan langkah-langkah lain.
Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, dan seterusnya memainkan peranan menyatukan parti-parti pembangkang yang berbeza pendekatan di bawah Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan menafikan majoriti dua pertiga yang telah dikekalkan oleh kerajaan BN sejak tahun 1970. Pada pilihan raya umum 2013, Pakatan terus meningkatkan undi dan memenangi 52 peratus sokongan popular.
KERAJAAN BN SEMAKIN LEMAH
BN yang telah memerintah negara ini sejak 1957, kini sedang mengharungi peringkat perubahan arah politik, tetapi untuk terus berkuasa ia telah dikurung sendiri dalam rangka politik konservatif dan terus mengeksploitasi sentimen agama, ketuanan Melayu dan autokrasi untuk mengekalkan sokongan terutama dari penduduk luar bandar.
Konflik dalamam UMNO juga semakin meningkat. Mahathir secara terbuka mengkritik Najib terutamanya terhadap polisi ekonomi dan sosial yang tidak berkesan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Namun niat utama puak Mahathir ini adalah untuk menegakkan hegemoni golongan elit dan kapitalis Melayu. Pada ketika ini, pemain-pemain utama dalam politik UMNO hanya mahu mengekalkan ‘solidariti’ dengan Najib, dan menunggu untuk krisis yang lebih teruk untuk menggantikannya. Jika keadaan ekonomi atau sosial terus menjadi lebih buruk, maka ini boleh melemahkan dan menjejaskan kestabilan kerajaan BN, dan ketika itu Pakatan boleh menjadi pilihan untuk membentuk kerajaan.
KONFLIK DALAM PEMBANGKANG
Pakatan juga menghadapi konflik dengan matlamat dan orientasi politik mereka yang berbeza. Baru-baru ini kepimpinan PAS telah meninggalkan agenda bersama Pakatan dan memberi keutamaan kepada agenda sendiri seperti Hudud, dan ini telah menimbulkan konflik dalam Pakatan.
PAS telah disokong oleh segolongan masyarakat bukan Islam dalam kedua-dua pilihan raya umum yang lepas. Tetapi dengan beberapa ulama dalam parti itu bergiat aktif untuk pelaksanaan undang-undang Hudud di Kelantan, warna sebenar kepimpinan PAS telah didedahkan, bahawa ia bukan satu ‘Parti Untuk Semua’ seperti yang dilaungkan dalam pilihan raya yang lalu.
Baru-baru ini PAS juga melancarkan serangan terhadap percubaan untuk melaksanakan semula pilihan raya majlis tempatan, yang telah diharamkan oleh kerajaan BN sejak 1965. Ini telah mewujudkan konflik dengan DAP yang menentang Hudud dan menyokong pilihan raya tempatan. PAS juga menghadapi krisis dalaman parti dengan golongan liberal yang lebih rapat dengan kepimpinan Pakatan dan mencabar kedudukan golongan ulama. Ini boleh membawa kepada perpecahan dalam PAS. Ia juga boleh melemahkan Pakatan secara keseluruhan, terutama di mana PAS mempunyai kubu kuat di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
EKONOMI SEMAKIN TENAT
Kemelesetan ekonomi di China telah menyebabkan permintaan menurun bagi barangan komoditi seperti petrol, minyak sawit, bijih timah dan getah. Begitu juga, penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dan kurangnya peningkatan dalam eksport perkilangan dan pelaburan boleh membawa kepada defisit perdagangan dalam ekonomi Malaysia. Kejatuhan harga minyak dijangka meningkatkan defisit bajet memandangkan lebih daripada 37 peratus daripada pendapatan negara diperolehi daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan minyak dan gas. Jika ini berterusan, kerajaan akan tertekan untuk membuat pemotongan perbelanjaan awam, seperti subsidi untuk kemudahan awam, dan melancarkan lebih banyak penswastaan atau liberalisasi terhadap syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) seperti yang sedang dilaksanakan terhadap Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Pertumbuhan ekonomi kira-kira 5 hingga 6 peratus telah dapat dikekalkan pada tahun-tahun kebelakangan ini, dengan ekonomi domestik yang menyumbangkan 51 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini mampu dilakukan akibat peningkatan hutang isi rumah, dengan budaya ‘kepenggunaan’ digalakkan, dan juga melalui perlaksanaan projek-projek infrastruktur kerajaan seperti MRT. Hutang isi rumah telah meningkat kepada 86.8 peratus daripada KDNK, daripada 60.4 peratus pada tahun 2008. Ini adalah hutang isi rumah berbanding KDNK yang tertinggi di Asia. Ekonomi domestik dijangka berkurangan akibat kenaikan inflasi, yang mana akan menyekat rakyat daripada berbelanja. Jika rakyat kurang berbelanja atau tidak dapat membayar hutang atau tidak mengambil pinjaman bank kerana kos yang semakin meningkat, ini dapat menjana impak yang teruk kepada ekonomi.
Permintaan untuk hartanah juga semakin jatuh akibat kenaikan inflasi dan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman. Ini dijangka akan terus memberi kesan dengan 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan dari bulan April. ‘Gelembung hartanah’ boleh pecah jika ekonomi semakin teruk yang mana sesetengah ahli ekonomi menjangkakan boleh berlaku tahun ini atau pada tahun 2016.
Ekonomi Malaysia adalah sangat terdedah kepada kesan global, dan hampir semua 'resepi' untuk krisis pada masa ini wujud dalam ekonomi negara. Oleh itu, kesan krisis ekonomi global boleh menyebabkan kemelesetan yang lebih teruk daripada krisis kewangan 1998. Jika ini berlaku, maka pilihan untuk langkah-langkah seperti ‘kawalan modal’, yang digunakan oleh Mahathir, akan sukar untuk dilaksanakan berikutan ketidaktentuan ekonomi yang lebih mudah merebak yang sedang dihadapi oleh ekonomi global berbanding dengan tahun 1998.
PENINGKATAN JURANG KAYA-MISKIN
Menurut Pusat Kekayaan Insight Intelligence (WIC) di London, pada tahun 2018 Malaysia dijangka mempunyai lebih banyak jutawan (20) berbanding dengan Emiriah Arab Bersatu (19). Hanya 0.001 peratus daripada orang-orang terkaya menikmati hampir 50 peratus daripada kekayaan Negara, dan kekayaan mereka telah meningkat pada kadar melampau hampir 60 peratus antara 2009 dan 2013, walaupun ekonomi global yang tidak menentu. 74 peratus daripada isi rumah masih berpendapatan kurang daripada RM 6,000 sebulan. Gaji hanya 33.6 peratus daripada KDNK pada tahun 2013 dan hampir tidak berubah sejak tahun 1971. Tetapi nisbah KDNK dibawa pulang oleh pihak majikan korporat telah meningkat daripada 51.7 peratus pada 1971 kepada 64.2 peratus pada tahun 2013. Data-data ini dengan jelas menunjukkan polarisasi kelas yang semakin melebar di Malaysia .
Dengan peningkatan kos hidup yang lebih tinggi, simpanan terhad dan gaji yang lebih rendah, ramai isi rumah akan dilemparkan ke dalam tahap masalah hutang yang lebih teruk. Kos perubatan juga telah meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus, dan dijangka terus meningkat dengan pelaksanaan GST. Beberapa kajian juga telah menunjukkan bahawa rakyat biasa terpaksa mengurangkan pengambilan makanan berprotein seperti daging dan ikan disebabkan oleh kenaikan kos makanan. Harga rumah di Malaysia adalah 5.5 kali lebih daripada pendapatan purata tahunan isi rumah, membuatkan rumah yang lebih mahal di Malaysia berbanding di Singapura dan Amerika Syarikat.
Dengan kenaikan inflasi dan pelaksanaan GST, serta peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, kos-kos lain seperti pendidikan, pengangkutan, utiliti dan perbelanjaan lain juga dijangka akan meningkat. Ini bermakna kesan akibat keadaan ekonomi dan sosial masa kini bukan sahaja akan dirasakan oleh kelas pekerja, dalam kedua-dua sektor swasta dan awam, dan golongan miskin di bandar-bandar, tetapi juga oleh kelas menengah, pelajar dan anak-anak muda dan juga rakyat luar bandar – iaitu kedua-dua kelas miskin dan sederhana.
PARTI MASSA KELAS PEKERJA DAN SOSIALIS ALTERNATIF
Sehari selepas keputusan mahkamah, anak-anak Anwar mengumumkan bahawa mereka akan mengetuai ‘Perarakan Untuk Kebebasan’ untuk meneruskan perjuangan untuk mendapatkan keadilan untuk ayah mereka tetapi bagaimana inisiatif tersebut akan dibina masih tidak jelas. Inisiatif sedemikian mampu meraih sokongan tetapi perlu berupaya menyatukan rakyat biasa, termasuk golongan anak muda dan kelas pekerja, dengan program untuk hak demokrasi serta hak-hak ekonomi dan sosial yang adil dalam usaha untuk memerangi perkauman dan kapitalisme.
Sentimen agama dan kaum yang dipergunakan oleh kumpulan ekstrimis seperti Perkasa dan Isma mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selamat tetapi mereka tidak disentuh dibawah Akta Hasutan kerajaan manakala akta yang sama digunakan untuk melenyapkan suara bangkangan dan penentangan. Ini mendedahkan hipokrasi kerajaan pemerintah yang tidak akan teragak-agak untuk menggunakan sentimen agama dan kaum untuk terus ‘pecah dan perintah’ dan mengekalkan kuasanya.
Terdapat keperluan untuk anak-anak muda, kesatuan sekerja dan kelas pekerja bersatu untuk melawan perkauman dan apa-apa percubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat oleh kumpulan ekstrimis atau sayap kanan parti-parti politik, dan memerangi ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang menjadi landasan mencetuskan sentimen perkauman.
Percubaan berterusan oleh Mahathir dan kini Najib untuk melemahkan Anwar Ibrahim telah menunjukkan ketakutan golongan pemerintah dan kapitalis kroni kepada kehilangan kuasa dan keistimewaan mereka, dan juga ketakutan mereka akan terdedahnya skandal dan rasuah yang sekian lama tersembunyi.
Sistem tidak adil dan rasuah, dan jentera yang telah dipergunakan untuk memangsakan Anwar adalah sebahagian daripada agenda kapitalisme yang dikendalikan oleh BN. Tetapi semata-mata pembaharuan dalam sistem, seperti yang dilaungkan oleh Pakatan dan kepimpinannya, manakala 1% terkaya terus mengawal harta dan kekayaan majoriti, tidak akan mencabut kebusukan sistem yang menyekat hak demokrasi dan keperluan sosio-ekonomi rakyat biasa.
Hanya melalui penyertaan golongan muda dan kelas pekerja di bawah kepimpinan parti massa berdasarkan keperluan mereka dan sosialisme demokratik sebagai alternatif, maka sistem yang zalim dan gila kuasa mampu dikalahkan, dan sebuah kerajaan demokratik dan adil yang mengutamakan keperluan sosial dan ekonomi majoriti rakyat dapat dibina.
Hanya melalui penyertaan golongan muda dan kelas pekerja di bawah kepimpinan parti massa berdasarkan keperluan mereka dan sosialisme demokratik sebagai alternatif, maka sistem yang zalim dan gila kuasa mampu dikalahkan, dan sebuah kerajaan demokratik dan adil yang mengutamakan keperluan sosial dan ekonomi majoriti rakyat dapat dibina.
No comments:
Post a Comment