Monday, 7 April 2014

Pekerja Hospital Assunta Menuntut Kebajikan Mereka Dihormati



Pekerja Hospital Assunta, Petaling Jaya melancarkan satu piket di luar premis hospital itu pada 19 Mac bagi menuntut pihak pengurusan supaya menyelesaikan masalah mereka. Mereka mendakwa bahawa pihak pengurusan hospital tidak mengambil kisah akan kebajikan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital, Peter Leong, berkata bahawa pihak pengurusan sedih dan terkejut dengan tindakan yang diambil oleh pekerja “Terdapat saluran yang betul untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan piket ini adalah tidak perlu. Tindakan mereka juga boleh menjejaskan beberapa pesakit di sini,” katanya.
Leong berkata kakitangan hospital sentiasa dialu-alukan ke pejabatnya untuk membincangkan rasa tidak puas hati mereka kerana dia sentiasa mengekalkan dasar pintu terbuka. “Beberapa isu yang mereka bangkitkan telah dibincangkan dalam mesyuarat kami dengan ketua-ketua jabatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, pihak pekerja telah mendedahkan wajah sebenar majikan. Pihak majikan didapati telah memaksa mereka bekerja lebih masa tanpa gaji dan memberikan layanan yang buruk apabila pekerja ingin berbincang dengan majikan mengenai kebajikan pekerja. Majikan didapati langsung tidak mengendahkan masalah pekerja.


Kenapa pekerja terpaksa ke jalanraya meluahkan rasa tidak puas hati mereka jika majikan telah memelihara kebajikan mereka dari awal lagi?

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perubatan Swasta dan Perkhidmatan Kesihatan M. Krishnan berkata, “Keluhan kami tidak diendahkan, kakitangan sedang didiskriminasi dan pihak pengurusan hospital memilih kasih dalam layanan mereka terhadap pekerja.”

“Kami berharap dengan mengadakan piket ini, pihak pengurusan akan memahami kesahihan rungutan kami dan mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan semua isu,” kata Krishnan.
Isu-isu yang dibangkitkan oleh kakitangan hospital termasuk tuntutan gaji untuk kerja lebih masa, waktu kerja yang berpatutan dan pakaian seragam yang mencukupi.

Kerani Zakiah Abidin, 33, berkata, “Saya telah menjadi pekerja selama 15 tahun dan saya berhak untuk dilayan dengan lebih baik. Apa yang kami mahu adalah untuk diberi layanan yang sama dan supaya pihak pengurusan menjaga kebajikan pekerja.”

No comments: