Tuesday 5 February 2013

KISAH ROBOT BERNYAWA DI DALAM “PENJARA”



Rosmah, wanita 27 tahun yang bekerja di salah sebuah syarikat pembuat barangan elektronik di kawasan perindustrian Bangi nampak tergesa-gesa menghabiskan makan tengah harinya di sebuah warung. Dia tidak banyak bercakap ketika kami mengajaknya berbual dan mengedarkan risalah tentang buruknya nasib pekerja di Malaysia sekarang ini. Tetapi ketika kami bertanya bagaimana keadaan di tempat kerjanya, dengan ringkas dia menjawab: “Macam penjara!”  Rosmah  tidak punya banyak masa untuk menjelaskan maksud ucapannya tersebut kerana masa rehat tengah harinya selama 45 minit sudah hampir habis. Jika ditolak masa naik motor untuk pulang pergi dari kilangnya ke warung tersebut yang mengambil masa 10 minit, di tambah dengan masa yang diambil berjalan kaki dari tempat letak kenderaan ke bangunan tempatnya bekerja, masa untuk punch card dan lain-lain, dia hanya punya masa kurang dari 20 minit untuk dirinya sendiri menikmati makan tengah hari di warung itu. Bagi Rosmah yang telah 8 tahun menjadi hamba majikan di kilang tersebut, 20 minit itulah masa yang paling berharga dalam hidupnya setiap hari, iaitu masa di mana dia boleh melihat matahari. Sisa hari tersebut terpaksa dia habiskan di dalam kilang yang dianggapnya seperti penjara.


Setiap hari, sebelum pukul enam pagi Rosmah sudah bangun untuk bersiap pergi kerja kerana sebelum pukul tujuh dia sudah mesti berada di kilang. Lewat masuk kerja sedikit gajinya terancam dipotong oleh majikan. Mulai pukul tujuh pagi dia mesti berdiri di depan mesin berjalan untuk menyusun komponen-komponen elektronik tertentu di dalam sebuah “penjara” raksasa yang dikongsi dengan ratusan “banduan” yang lain. Mereka menggunakan seragam kerja yang sama, melakukan pekerjaan yang sama, dan memiliki matlamat yang sama, iaitu bekerja untuk menafkahi hidup. Apa yang selalu ada di fikiran mereka adalah bagaimana hendak membayar sewa rumah, bil-bil, belanja rumah tangga, tanggungan keluarga, biaya anak-anak bersekolah dan keperluan asas lainnya. Bekerja untuk menjadi kaya adalah mimpi yang terlalu mewah buat mereka. Apalagi bercita-cita mengumpulkan wang untuk pergi haji, jauh panggang dari api.

Walaupun Rosmah dan rakan sekerja yang lain berkongsi banyak persamaan, namun situasi kerja di bawah tekanan dan pengawasan yang ketat tidak memungkinkan mereka untuk berkongsi cerita dengan selesa. Pukul sembilan, Rosmah diberi rehat selama 15 minit untuk duduk meregangkan otot, bersarapan, dan pergi ke tandas. Pukul 3 petang, iaitu masa di mana sepatutnya masa bekerja 8 jam berakhir, Rosmah diberi masa 15 minit untuk sembahyang. Selepas itu dia harus meneruskan kerjanya. Biasanya dia baru boleh pulang pada pukul lima petang. Namun selalu juga dia dipaksa bekerja sehingga pukul 7 malam. Dalam ingatan Rosmah, sudah lama majikannya memaksa mereka untuk melakukan kerja lebih masa. Tetapi lama-kelamaan hal itu sudah dianggap sebagai kewajipan pekerja dan merupakan dasar tetap yang diputuskan secara sepihak oleh majikan. Bahkan jika kilang mendapat banyak pesanan, mereka juga mesti bekerja pada hari cuti, 7 hari seminggu. Padahal, Akta Pekerja menyatakan secara jelas bahawa kerja lebih masa dapat dilakukan hanya dengan persetujuan dari pekerja. Pekerja berhak untuk menolak atau meminta untuk bekerja lebih masa. Pihak majikan pula wajib memberi gaji kerja lebih masa dengan kadar yang lebih tinggi daripada jam kerja biasa, dua kali ganda pada hari Ahad, dan tiga kali ganda jika bekerja pada hari cuti am. Namun Rosmah mengakui, gaji yang diterimanya setiap bulan sebanyak RM1100 tidak setimpal dengan kerja yang dilakukannya. Walaupun gaji pokoknya sebagai operator pengeluaran ialah sebanyak RM800, jika ditambah dengan bayaran jam kerja lebih masa setiap hari, dan gaji dua kali ganda pada hari cuti, sepatutnya pendapatannya boleh mencecah RM1600 sebulan. Namun haknya ini tidak pernah diberikan oleh majikan. Jika kilang mendapat keuntungan yang melimpah hasil dari peningkatan pengeluaran, pekerja yang bertanggungjawab secara langsung menghasilkan barangan tersebut juga tidak pernah mendapat agihan keuntungan.

Rosmah bukannya tidak merasakan ketidakadilan ini. Dia sedar ada haknya yang telah diambil oleh majikan, tetapi ia tidak faham bagaimana majikan dengan berleluasa boleh menindas pekerja, dan mengapa perkara sebegitu boleh terus berlaku. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Dalam risalah yang kami edarkan kepadanya waktu itu ada sedikit penjelasan mengenai cara-cara penindasan yang dilakukan oleh majikan. Cara paling asas bagi majikan untuk mendapatkan keuntungan ialah dengan tidak membayar upah pekerja sesuai dengan kerja yang dilakukan mereka. Misalnya pekerja di sebuah kilang kasut. Untuk menghasilkan sepasang kasut, seorang pekerja memerlukan masa kerja 4 jam. Jadi, dalam sehari (8 jam kerja), seorang pekerja boleh menghasilkan dua pasang kasut. Modal awal yang diperlukan oleh majikan untuk membuat sepasang kasut ialah: bahan mentah (RM15), tenaga mesin (RM2), dan upah pekerja membuat kasut (RM20). Ditambah dengan biaya pengangkutan, pemasaran, cukai, dan lain-lain, menjadikan harga  sepasang kasut sehingga ia layak untuk dijual di kedai ialah RM50. Namun, majikan menjual kasut tersebut dengan harga RM150, atau tiga kali ganda dari harga pengeluarannya. Dengan begitu, majikan mendapat keuntungan bersih RM100 dari setiap pasang kasut yang dijual. Bayangkan jika sebuah kilang kasut yang menggajikan ratusan pekerja dan menghasilkan seribu pasang kasut dalam sehari. Berapa keuntungan yang diperoleh majikan? Bandingkan dengan pekerja yang hanya mendapatkan upah RM40 sehari dengan menjual tenaga dan keahliannya kepada majikan. Dengan upah sekecil itu, pekerja mesti bekerja sekurang-kurangnya empat hari untuk dapat membeli sepasang kasut yang dihasilkannya sendiri. Padahal, tanpa tenaga dan keahlian pekerja, mustahil kasut-kasut dapat dihasilkan dan majikan mendapat keuntungan. Namun hanya kerana majikan memiliki modal (kapital) boleh dengan mudahnya mendapat keuntungan hasil dari memerah keringat pekerja.

Kerugian pekerja tidak hanya diukur secara ekonomi sahaja, tetapi mereka juga selalu dipaksa bekerja di persekitaran yang tidak sihat dan tidak selamat. Dengan melakukan pekerjaan rutin yang berulang-ulang dan selalu terkurung di dalam kilang tidak baik untuk perkembangan mental pekerja. Ungkapan Rosmah tadi yang menyamakan kilang seperti penjara mungkin dianggap berlebihan oleh sebahagian besar orang yang tidak pernah merasakan bekerja di kilang. Sudah 8 tahun Rosmah menjalani kehidupan begitu sehari-hari, dia harus menghadapinya kerana dia merasa tidak mempunyai pilihan yang lain dan cara untuk keluar dari nasib yang menimpanya.

Tetapi betulkah tidak ada pilihan? Rosmah berfikiran demikian kerana sistem yang ada sekarang tidak memberi peluang dan ruang bagi pekerja seperti dirinya untuk berfikir di luar persoalan ekonominya. Sistem kapitalisme sekarang hanya berpihak kepada majikan untuk membuat keuntungan yang hanya boleh didapat melalui penindasan terhadap pekerja. Sistem ini begitu berakar dalam kehidupan kita sehari-hari sehingga kita menganggap ianya sebagai sesuatu yang biasa dan wajar. Sistem kapitalisme ini selain menindas pekerja, ia juga membuat mereka tidak memiliki masa untuk membaca, bersosial, dan mengikuti perkembangan yang berlaku di sekelilingnya. Apa yang mereka dapat selepas pulang kerja hanya kepenatan dan beban fikiran yang tidak jauh daripada persoalan ekonomi. Akibatnya, pekerja sebagai manusia tercabut dari fitrah mereka sebagai makhluk sosial dan politik. Jika pekerja sedar akan fungsi sosial dan politiknya, maka mereka dapat melawan penindasan sistem kapitalisme yang kejam ini. Pekerja mesti sedar bahawa dalam sistem kapitalisme ini, mereka berada dalam satu kelas tertentu di dalam masyarakat, iaitu kelas pekerja. Pada hakikatnya, kelas pekerja ialah kelas yang ditindas oleh kelas kapitalis atau majikan. Pekerja hanya boleh keluar dari penindasan ini jika mahu belajar, berbincang, dan bersatu dalam tindakan dengan sesama pekerja sebagai sebuah kelas, juga dengan golongan tertindas lainnya untuk melawan sistem kapitalisme. Dengan bersatu, kelas pekerja tidak akan kehilangan apa pun, selain belenggu yang mengongkong kehidupan mereka.

Iyan, CWI Malaysia

No comments: