Saturday 16 February 2013

PILIHAN RAYA KE 13: PARTI-PARTI PRO-KAPITALIS TIDAK AKAN MENJAMIN HAK DAN KEBAJIKAN PEKERJA




PAKATAN RAKYAT MENOLAK TUNTUTAN GAJI MINIMUM RM1500...PERLU PEMBINAAN PARTI UNTUK MEMPERJUANGKAN HAK KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA.



Pada awal bulan Januari, Jaringan Pekerja Malaysia yang merangkumi kesatuan-kesatuan sekerja seperti Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) telah menggariskan tuntutan-tuntutan pekerja untuk pilihan raya ke -13 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Salah satu tuntutan utama tersebut adalah Jaminan Gaji Minimum RM1500.  Tuntutan-tuntutan lain ialah: Jaminan Pengiktirafan Hak-Hak Asasi Pekerja; Jaminan Perlindungan Sekuriti Sosial; Jaminan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja ; Jaminan Kebajikan dan Kesejahteraan Pekerja.

Kerajaan BN telah mengumumkan RM900 sebagai gaji minimum, manakala Pakatan Rakyat pula menjanjikan gaji minimum RM1100 jika berjaya menawan Putra Jaya.  Kedua-duanya menjustifikasikan bahawa angka masing-masing amat berpatutan berlandaskan kepada keadaan ‘pasaran bebas’.


Tetapi, perangkaan kerajaan yang menyatakan hanya 3.8% isi rumah di bawah garis kemiskinan (RM 763 di Semenanjung; RM912 di Sarawak dan RM1,048 di Sabah sebulan untuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, perabot, perubatan, pengangkutan dan rekreasi), langsung tidak mengambil kira perbezaan taraf hidup di bandar dan luar bandar, dan kenaikan harga barang semasa (CPI). Manakala, berdasarkan kiraan Jabatan Statistik tahun 2009, pendapatan median/purata adalah RM2841 sebulan, dan berdasarkan ini garis kemiskinan seharusnya RM1500 untuk satu isi rumah yang bermakna hampir 22% (6 juta penduduk) isi rumah di bawah garis kemiskinan.

Berlandaskan kepada analisa tersebut, tuntutan Jaringan Pekerja Malaysia tersebut adalah wajar untuk masa ini yang mana sekurang-kurangnya boleh menjamin supaya tidak ada rakyat yang memperoleh pendapatan rendah dan boleh menyara keluarga.

Sehari selepas pelancaran tuntutan tersebut, parti-parti dalam Pakatan Rakyat menolak tuntutan gaji minimum RM1500 dengan menegaskan ianya tidak realistik: “jika gaji minimum melampaui RM1,100, ekonomi tidak boleh menanganinya”; “cabaran segera adalah untuk mengurangkan bilangan pekerja tidak mahir dan menggerakkan industri yang kurang kebergantungan kepada buruh”. “cadangan RM1,500 tidak mampan kerana ia akan menjadi kaunter-produktif kepada pekerja di pasaran”. Hujah pemimpin-pemimpin PR pada asasnya adalah hujah-hujah yang telah dibawa oleh pendukung-pendukung sistem pasaran bebas kapitalisme. Ini jelas menunjukkan bahawa PR juga mendukung agenda pasaran bebas kapitalisme seperti mana BN, dan tidak akan berkonfrontasi untuk memastikan pembahagian kekayaan yang saksama terutama kepada golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang merupakan majoriti penduduk di negara ini untuk menikmati keadaan sosial yang baik.       

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama di mana parti-parti pro-kapitalis telah mempergunakan perbezaan kaum dan agama untuk melindungi cengkaman kapitalisme. Walaupun perubahan kerajaan BN kepada PR boleh membuka sedikit ruang demokrasi akibat desakan daripada rakyat, tetapi ini tidak akan menjamin bahawa keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja dan golongan lain yang tertindas di bawah sistem ini akan dipenuhi selagi kerajaan tersebut di bawah telunjuk parti-parti pro-kapitalis.

Rakyat yang ingin mengundi hanya ada dua pilihan: BN atau PR, kedua-duanya pro-kapitalis. Rakyat yang mengharapkan perubahan akan mengundi PR, tetapi berlandaskan kepada politik PR perubahan sosial dan ekonomi yang tulen tidak mampu dilakukan kerana parti tersebut masih dikongkong oleh dasar-dasar sistem kapitalisme. Oleh itu mengundi PR sebagai alternatif kepada BN sahaja tidak mencukupi, kerana untuk merubah politik, ekonomi dan sosial yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa, satu parti massa berlandaskan kelas pekerja dan anak muda dengan sokongan golongan-golongan terpinggir yang lain perlu dibangunkan. Dengan usaha sebegini sahajalah satu kerajaan untuk memperkasakan keperluan kelas pekerja dan rakyat biasa dapat ditubuhkan.    

No comments: