Wednesday 30 January 2013

PELAKSANAAN GAJI MINIMUM: ‘INDAH KHABAR DARI RUPA’


Gaji minimum RM900 (di Semenanjung) dan RM800 (Di Sabah dan Sarawak) yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lalu harus dilaksanakan oleh majikan pada bulan Januari ini. Tetapi dari awal pengumuman sehingga sekarang, berbagai-bagai rungutan dan desakan telah diungkit oleh majikan untuk memaksa kerajaan membuat pengubahsuaian untuk memastikan ‘kos operasi dan keuntungan’ syarikat tidak tergugat. Atas desakan majikan, kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada hampir 600 syarikat untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum. Kerajaan yang terus akur dengan kehendak majikan, juga telah menggariskan beberapa panduan kepada majikan termasuk menstrukturkan gaji minimum dengan menyerapkan elaun-elaun tertentu. Ini sekali gus dipergunakan oleh majikan untuk memaksa para pekerja untuk menerima ‘skim gaji baru’ yang bukan sahaja tidak menaikkan taraf gaji pekerja, malahan memberikan lebih laluan untuk majikan terus menindas pekerja.


GAJI MINIMUM DIGUNAKAN SEBAGAI ALAT PENINDASAN

Berbagai-bagai masalah, ketidakadilan dan ugutan telah dihadapi oleh pekerja dengan ‘kelonggaran’ yang telah diberikan oleh kerajaan kepada majikan. Masalah amat ketara terutama di kilang-kilang yang tidak mempunyai kesatuan sekerja. Di bawah adalah di antara beberapa isu yang telah diadu oleh pekerja kepada Gabungan Pekerja dan Anak Muda (GAPAM):  
·     Gaji minimum yang seharusnya gaji pokok atau gaji asas kepada pekerja diserapkan dengan elaun-elaun yang dipraktikkan sebelum ini. Manakala faedah-faedah seperti komisen atau insentif diberhentikan dengan alasan ia juga diserapkan dalam gaji minimum.
·    Apabila pekerja yang bergaji kurang daripada RM 900 atau pekerja yang baru masuk kerja diberikan gaji asas RM900, adalah tidak adil jika pelarasan gaji yang setimpal juga tidak diberikan kepada pekerja yang bergaji melebihi RM900. Misalnya, jika gaji asas pekerja yang baru masuk bekerja adalah RM600 sebelum ini dinaikkan kepada RM900, maka adalah wajar pekerja yang bergaji RM1100 sebelum ini juga dinaikkan kepada RM1400. 
· Di beberapa syarikat, pelaksanaan gaji minimum dipergunakan untuk memperkenalkan ‘sistem baru’ dengan mengetatkan masa dan budaya kerja  untuk semata-mata mempertingkatkan produktiviti dan mencapai target pengeluaran tanpa mempedulikan hak dan kebajikan pekerja.
·        Manakala, di sebuah kilang yang mempunyai pekerja tempatan dan pekerja migran, sistem baru diperkenalkan dengan menghapuskan kerja lebih masa (OT) yang sudah menjadi praktis sekian lama. Dalam sistem baru tersebut, pekerja tempatan diarahkan untuk membuat kerja normal, manakala pekerja migran dibenarkan untuk masuk shift sebagai ganti kepada OT. Dengan sistem ini pekerja tempatan akan hilang pendapatan bulanan untuk menampung keluarga mereka.  
·   Manakala pekerja kontrak yang dibayar gaji oleh agen dan bukanya majikan di tempat kerja juga tidak mendapat gaji minimum dengan pelaksanaan gaji minimum. Mereka terus teraniaya dengan sistem kontrak atau ‘outsourcing’ yang terus dipergunakan oleh majikan dengan galakan daripada kerajaan.   
·  Walaupun pekerja migran sepatutnya memperoleh gaji yang lebih baik, tetapi majikan juga akan mempergunakan berbagai-bagai alasan untuk menindas hak mereka dengan nama mengurangkan ‘kos operasi’ seperti mana yang dihadapi oleh pekerja-pekerja tempatan.
·     Pada ketika ini, seramai 50,000 pekerja-pekerja migran telah diberhentikan kerja di stesen-stesen minyak, dan syarikat-syarikat lain juga akan cuba mempergunakan desakan dan ugutan untuk memberhentikan pekerja dengan alasan untuk ‘kurangkan kos operasi’.

KERAJAAN MENYEBELAHI KAPITALIS DARIPADA PEKERJA

Pelaksanaan Akta gaji minimum menunjukkan polisi atau undang-undang sahaja tidak cukup untuk meningkatkan taraf hidup lebih 10 juta pekerja di negara ini. Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan kepada majikan menunjukkan kepentingan dan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan kepada ‘keuntungan maksimum’ majikan atau kapitalis daripada ‘keperluan dan kebajikan asas’ warga pekerja. Politik pro-kapitalis ini bukan sahaja kita dapat lihat dalam hal pelaksanaan gaji minimum, malahan dalam berbagai-bagai polisi dan undang-undang pekerja seperti Akta Tenaga Kerja dan Akta Kesatuan Sekerja di mana hak pekerja semakin hari semakin terhakis. Hanya melalui politik yang berlandaskan hak dan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa sahajalah hak dan kebajikan pekerja dapat diwujudkan dan dipertahankan.   

No comments: