Saturday, 22 November 2014

PENCABUTAN SUBSIDI MINYAK: KUASA PASARAN KAPITALISME LEBIH DIUTAMAKAN DARIPADA KEBAJIKAN RAKYAT



Kerajaan mengumumkan mulai 1 Disember, semua subsidi untuk petrol RON95 dan diesel akan dihentikan. Penurunan harga komoditi di pasaran dunia, dan penyusutan aktiviti ekonomi lain seperti eksport dan ekonomi domestik yang tidak memberangsangkan, telah memaksa kerajaan memberhentikan subsidi minyak. Dengan ini harga minyak tempatan akan berlandaskan kepada  harga pasaran minyak dunia yang akan turun-naik berdasarkan keadaan ekonomi global. Jika harga minyak pasaran dunia meningkat, maka harga minyak tempatan juga akan meningkat.

30 peratus pendapatan kerajaan datangnya daripada akitiviti pengeluaran minyak negara. Dengan harga pasaran sekarang, dan dengan penamatan subsidi petrol RON95 dan diesel, dijangka kerajaan akan mendapat pendapatan lebihan sebanyak 20 billion ringgit untuk 12 bulan akan datang. Tetapi, pada masa yang sama berbillion-billion ringgit lesap begitu sahaja daripada tabung kewangan negara akibat penyalahgunaan kuasa serta korupsi dalam kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan auditor negara, dan melalui pendedahan skandal seperti 1MDB.

Harga minyak dunia yang pada satu ketika melebihi 100 dolar (RM336) setong, kini jatuh di bawah 80 dolar (RM268) setong. Ini bermakna, jika harga minyak semakin merosot, maka ini juga akan memberikan impak kepada pendapatan dan ekonomi negara, dan seterusnya merosotkan keadaan sosial dan taraf hidup rakyat.
Pada ketika  ini, harga minyak di pasaran menurun akibat pengeluaran yang berlebihan terutama di Amerika Syarikat, dan permintaan yang rendah akibat daripada keadaan ekonomi global yang tidak menentu.  Kestabilan politik dan peperangan di rantau Timur Tengah di mana terletaknya negara-negara pengeluar utama minyak dunia, juga boleh menentukan turun atau naiknya harga minyak dunia. 

Jadi, tanpa kawalan atau subsidi daripada kerajaan, kenaikan harga minyak akan memberikan impak besar kepada golongan kelas pekerja mahupun kelas menengah yang kebanyakannya tidak menikmati kenaikan gaji yang setimpal dengan kadar inflasi negara. Jika harga minyak naik, maka harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas juga akan meningkat.  Malahan, dengan tahap hutang isirumah yang tinggi pada ketika ini, iaitu 87 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kebanyakan rakyat Malaysia akan mengalami tekanan hidup dengan inflasi yang dijangka semakin meningkat dengan perlaksanaan GST pada tahun hadapan.

Tanpa kawalan dalam pasaran, penurunan harga minyak tidak bermakna akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Ketika kenaikan harga minyak sebelum ini, kita nampak peniaga juga akan meningkatkan harga barangan dan  perkhidmatan sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan, walaupun seringkali kerajaan dengan retorik politik mereka cuba mewajarkan akan memperkuatkuasakan pengawalan harga barangan dan kos perkhidmatan asas. Begitu juga, dengan penurunan harga minyak, peniaga yang hanya mementingkan keuntungan tidak akan menurunkan harga barangan dan kos perkhidmatan dengan begitu sahaja. Yang jelas, kuasa pasaran akan memaksa politik pro-kapitalisme sentiasa melutut kepadanya.

Maka pencabutan subsidi minyak bukan penyelesaian, dan ianya semata-mata untuk menyelematkan ekonomi kapitalisme yang berprinsipkan keuntungan maksimum.  Akibatnya ‘kaya semakin kaya, miskin semakin miskin’ yang jelas dengan peningkatan jurang kaya-miskin yang semakin melebar di Malaysia.  Ia mencerminkan polarisasi kelas yang semakin meningkat di antara golongan 1% dan golongan 99%. Ekonomi negara terus dikemudi oleh minoriti golongan kapitalis untuk keuntungan berorientasikan kepada kediktatoran pasaran, manakala majoriti  rakyat biasa tidak mampu menikmati  kekayaan tersebut untuk meningkatkan keperluan asas mereka.
 

Hanya jika entiti-entiti utama ekonomi dimiliknegarakan dan ekonomi dirancang dengan pengurusan dan kawalan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik, maka keperluan dan kebajikan rakyat mampu dipertingkatkan dengan pembahagian kekayaan secara saksama dan adil.

Sosialis Alternatif Malaysia

No comments: