Thursday 12 November 2015

KENAIKAN TOL !

KERAKUSAN KAPITALIS UNTUK KEUNTUNGAN DALAM KESENGSARAAN RAKYAT

Ketika rakyat sedang mengharungi peningkatan kos hidup, persetujuan kenaikan kadar tol di antara 20 sen hingga RM4.70 oleh kerajaan kepada Syarikat-syarikat pengoperasi tol, adalah satu lagi tamparan hebat kepada warga pekerja dan rakyat biasa yang merupakan pengguna terbesar lebuhraya-lebuhraya di Lembah Kelang. Manakala PLUS pula dijangka membuat peningkatan kadar tol di tahun hadapan. Rakyat melihat tindakan tersebut amat tidak rasional dan tidak bermoral ketika rakyat ditekan dengan GST dan kenaikan harga barangan,dan perkhidmatan. Tambahan pula, kenaikan kadar tol syarikat-syarikat pengoperasi tol adalah di bawah pengawasan kerajaan, dan mereka mampu menghalang kenaikan kadar jika ‘rakyat diutamakan, dan didahulukan’.

Apa hubungan di antara kerajaan dan Syarikat-syarikat pengoperasi tol ?

Kebanyakan syarikat-syarikat pengoperasi tol mempunyai kaitan dengan kapitalis-kapitalis nasional dan GLC (syarikat-syarikat berhubung-kait dengan kerajaan). Dengan hubungan rapat dengan kerajaan, mereka telah mendapat tawaran untuk menerajui projek-projek lebuhraya. Kerajaan pula mempergunakan keperluan rakyat untuk kemudahan untuk menjustifikasikan projek-projek yang dilancarkan. Tetapi matlamat utama syarikat-syarikat pengoperasi tol adalah untuk mendapatkan keuntungan dengan melabur dalam pembinaan lebuhraya. Mereka biasanya akan mendapatkan dana atau modal daripada bank-bank tertentu untuk melancarkan projek-projek lebuhraya tersebut dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan selepas lebuhraya beroperasi sepenuhnya.

Kerajaan juga memberikan jaminan ‘keuntungan’ kepada syarikat-syarikat ini melalui perjanjian konsesi, dan juga memastikan pembayaran subsidi untuk menyeleraskan kadar tol supaya mengurangkan kesan kepada pendapatan syarikat-syarikat ini. Keuntungan di sini bermaksud adalah lebihan selepas pembayaran pinjaman kepada bank, pembayaran gaji kepada pekerja, kerja-kerja penyelengaraan dan kos-kos yang lain. Keuntungan tersebut akan dipergunakan untuk membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham dalam syarikat-syarikat tersebut selain dipergunakan untuk memperkembangkan pelaburan mereka. Pemegang-pemegang saham yang besar biasanya adalah syarikat-syarikat tertentu, GLC atau individu-individu kaya. Ini termasuk dua anak syarikat kepunyaan kerajaan Selangor yang merupakan pemegang saham dalam lebuhraya LDP dan Kesas. Pendek kata, pembinaan, perlaksanaan, pengurusan dan pengoperasian lebuhraya mempergunakan sistem pasaran bebas sebagai landasan untuk memaksimumkan keuntungan.

Mengapa kerajaan tidak mampu mengawal desakan syarikat-syarikat pengoperasi tol ?

Kerajaan Malaysia juga mengharapkan kepada sistem pasaran bebas untuk melancarkan pelaburan, ekspot dan juga aktiviti ekonomi domestik yang juga penting untuk meningkatkan pendapatan negara. Tetapi, pada masa ini dengan keadaan pasaran bebas dunia yang terumbang-ambing dan tidak tentu arah, ekonomi Malaysia juga sudah merasai impaknya. Jadi dengan pendapatan yang berkurangan, dan langkah untuk mengurangkan defisit (hutang) kerajaan supaya meyakinkan kapitalis antarabangsa, kerajaan telah melancarkan pemotongan atau pengurangan subsidi, ini termasuk subsidi tol kepada syarikat-syarikat pengoperasi tol.

Syarikat-syarikat pengoperasi tol pula mengatakan kenaikan tersebut tidak dilaksanakan untuk sekian lama, dan jika kerajaan mengurangkan bayaran pampasan atau subsidi, maka mereka akan melaksanakan kenaikan kadar tol. Data menunjukkan bahawa, pada tahun 2013, 27 antara 28 lebuhraya mendaftarkan peningkatan trafik antara 0.3% hingga 46.7%, dan hampir semua menjana keuntungan. Tetapi menurut jurucakap syarikat-syarikat lebuhraya ini, ‘tidak semua syarikat dapat menjana keuntungan berlandaskan kepada perancangan pendapatan yang dibuat ketika permulaan pembinaan lebuhraya…ini menyebabkan syarikat-syarikat ini yang membuat pinjaman daripada bank tidak mampu membuat bayaran mengikut perjanjian pinjaman’ Di sini bank-bank yang membuat pinjaman kepada syarikat-syarikat lebuhraya juga bergerak dalam sistem pasaran bebas untuk menjanakan keuntungan dengan mengenakan bunga kepada peminjam. Kebanyakan bank tempatan juga mempunyai hubungan dengan GLC, dan juga dengan kerajaan.

Ini bermakna kerajaan Malaysia berpihak kepada syarikat-syarikat pengoperasi tol, syarikat-syarikat pemegang saham dan bank-bank peminjam daripada mempergunakan autoriti politik untuk memenuhi kemahuan rakyat. Ini menujukkan ‘Kerajaan Rakyat, Oleh Rakyat, Untuk Rakyat’ adalah satu pembohongan dalam sistem kapitalisme yang dipelopori oleh kerajaan Malaysia, kerana ‘demokrasi’ dipergunakan untuk memperkayakan segelintir, dan menindas hak-hak dan keperluan majoriti rakyat iaitu kelas pekerja dan rakyat biasa.

Seharusnya, sebuah kerajaan yang berpihak kepada keperluan rakyat akan menghapuskan kawalan syarikat-syarikat lebuhraya yang berlandaskan keuntungan maksimum dan kediktatoran sistem pasaran bebas, dan lebuhraya-lebuhraya tersebut akan dimiliknegarakan dan diurus berlandaskan keperluan rakyat di bawah kawalan demokratik pengguna lebuhraya dan pekerja-pekerja di syarikat-syarikat lebuhraya. Untuk merealisasikan kerajaan sebegini, organisasi yang berlandaskan kepada hak-hak dan keperluan warga pekerja dan rakyat biasa perlu dibina dan dikembangkan sebagai landasan untuk membina alternatif kepada sistem kapitalisme.

No comments: