Thursday 7 March 2013

8 MAC: HARI MEMPERINGATI PERJUANGAN WANITA UNTUK HAK YANG SAKSAMA



2013 – sudah masuk tahun yang ke-102 kita meraikan Hari Wanita Sedunia tetapi penindasan terhadap wanita terutamanya daripada kelas pekerja terus berleluasa. Keraian ini adalah satu penghormatan dan dukungan terhadap kaum wanita yang tidak pernah berhenti berjuang untuk persamaan hak, keadilan dan peluang yang lebih baik dalam kehidupan mereka. Tarikh 8 Mac diambil kerana sebetulnya 156 tahun yang lalu pada tanggal ini, satu mogok besar-besaran telah diadakan oleh ratusan wanita yang menjadi buruh di kilang kain dan pakaian di bandar New York. Mereka bermogok untuk menentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan oleh golongan kapitalis yang mengeksploitasi mereka dengan cara masa kerja yang panjang namun diberi upah yang amat rendah serta terpaksa pula bekerja dalam kondisi yang tidak berperikemanusiaan. 

Bahkan, pada 8 Mac 1908 juga, hampir seramai 15000 orang wanita berarak untuk menuntut masa kerja yang lebih pendek, gaji yang setimpal, hak untuk mengundi dan penamatan terhadap buruh kanak-kanak. Mereka telah menjadikan “Roti dan Mawar” sebagai slogan perjuangan mereka, dengan roti yang melambangkan ekonomi dan mawar sebagai simbol kehidupan yang lebih baik. Ini adalah contoh-contoh awal yang menunjukkan bahawa memang ada dari dahulu penindasan yang dilakukan ke atas wanita dan ia tidak hanya dari segi ekonomi tetapi juga dalam bentuk lain termasuk penindasan seksual. Wanita sehingga kini masih menjadi mangsa kepada ketidakadilan namun begitu harus diperingati bahawa ada di antara mereka yang terus mara untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang sering sahaja diabaikan. 

Di Malaysia juga tidak terkecuali. Baru-baru ini perjuangan untuk hak yang lebih baik oleh pekerja-pekerja Bank CIMB dan juga untuk kenaikan gaji yang adil oleh pekerja-pekerja di Sharp Electronics Malaysia di Tikam Batu, Kedah turut telah menampakkan kepimpinan pekerja-pekerja wanita dalam perjuangan mereka.. Sememangnya dalam banyak perjuangan wanita sentiasa memberikan sokongan untuk membawa perjuangan itu ke hadapan.    

Oleh yang demikian, kita tidak mahu Hari Wanita Sedunia ini akhirnya hanya akan tinggal pada tema dan ulang tahun kerana sampai sekarang ternyata matlamatnya untuk mengarahkan fokus masyarakat pada kedudukan para wanita yang seharusnya sama bagi setiap warga masih belum dapat dipenuhi. Soalnya, wanita sebenarnya punya kuasa dalam masyarakat namun budaya sistem kapitalis yang menganaktirikan mereka menjadi permasalahan pokok kepada berterusnya penindasan terhadap mereka. Maka dengan itu, para wanita bersama para lelaki mesti terus bergerak bersama agar perubahan-perubahan tulen yang kita mahukan dalam ekonomi, sosial mahupun politik dapat terjadi. Semoga kaum wanita di seluruh dunia bukan sekadar jantina yang kedua. Selamat Hari Wanita 2013. 

Sharifah, CWI

No comments: