Friday 20 July 2012

PTPTN DIWUJUDKAN UNTUK MENYAHUT KEPERLUAN KAPITALISME ATAU MEMBANTU PELAJAR ?


Pendidikan seharusnya adalah hak asasi untuk setiap insan tanpa mengira darjat dan keturunan. Tetapi dengan perkembangan Malaysia sebagai Negara Perindustrian Baru (NPB) semenjak 1980an, sedikit demi sedikit aktiviti pendidikan telah dimasuki oleh elemen-elemen kapitalisme.


PENGINDUSTRIAN PENDIDIKAN

Dari tadika, sekolah rendah hinggalah ke pengajian universiti, elemen dan budaya kapitalisme menyusup masuk sehingga matlamat murni pendidikan untuk menimba ilmu tidak lagi menjadi keutamaan. Di sekolah rendah dan sekolah menengah, tuisyen sudah menjadi kewajipan untuk menandingi di antara satu sama lain untuk mendapatkan ‘kecemerlangan’, dan kebanyakan ibu bapa terutama dari kelas menengah dan kelas pekerja dibebankan dengan kos pendidikan yang semakin tinggi. Kewujudan sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa dengan propaganda untuk memberikan perkhidmatan pendidikan yang lebih berkualiti juga semakin meningkat. Manakala, budaya kapitalisme pula semakin menjatuhkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan. Ini kerana kerajaan yang membuat keputusan mengikut kehendak dan polisi kapitalisme, langsung tidak melibatkan guru dan masyarakat dalam menentukan hala tuju pendidikan negara. Salah satunya, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diwujudkan oleh Mahathir atas desakan kapitalis, dan bukannya kehendak majoriti rakyat negara ini yang mahukan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda.       

Dengan perkembangan NPB juga, universiti-universiti tempatan dan IPTA mula dikorporatkan dengan matlamat untuk memastikan graduan-graduan memenuhi kehendak industri yang mengutamakan keuntungan maksimum kapitalis-kapitalis dalam negara dan luar negara. Pelbagai IPTS juga ditubuhkan selaras dengan kehendak NPB dan Wawasan 2020 untuk mencapai tahap negara maju. Untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat dalam aktiviti perindustrian dan pelaburan, politeknik, kolej dan universiti-universiti tempatan yang baru juga dibina. Pada masa yang sama, kerajaan juga membuka laluan kepada syarikat-syarikat besar daripada dalam negara dan luar negara untuk membina universiti, kolej dan institut kemahiran untuk memenuhi kehendak tersebut. Ini termasuk syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan seperti Sime Darby, TNB, Petronas dan lain-lain. Ini menunjukkan, kapitalis dengan sokongan kerajaan telah mendominasikan hala tuju pendidikan negara yang mana telah menukar wajah pendidikan pengajian tinggi di universiti dan kolej untuk memenuhi keperluan mereka.

Perubahan tersebut juga sekali gus telah meningkatkan yuran pengajian dan kos-kos lain seperti penginapan yang membebankan pelajar terutama dari kelas pekerja dan menengah. Pada masa yang sama, pendidikan yang telah menjadi suatu industri yang mementingkan keuntungan memerlukan ‘produk’ iaitu pelajar untuk meneruskan ‘perniagaan’ mereka.

PTPTN UNTUK MEMBANTU PELAJAR ?

Asal usul  penubuhan  PTPTN bermula dengan pengumuman Wawasan 2020 pada tahun 1991 oleh Mahathir. Pada awalnya JPA merupakan badan utama yang bertanggungjawab untuk menguruskan pinjaman serta biasiswa terutama kepada jumlah tertentu pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran  ke institusi-institusi pengajian  tinggi awam dan swasta. Manakala sekumpulan besar golongan pelajar pula tidak terpilih untuk mendapatkan pinjaman atau biasiswa daripada JPA dan terpaksa menanggung suatu jumlah kos yang besar untuk menuntut di IPTA  atau IPTS. Perkara ini juga mengehadkan ramai pelajar yang gagal mendapat tawaran ke IPTA untuk melanjutkan pengajian tinggi ke IPTS yang biasanya menelan kos pengajian yang lebih tinggi. Oleh kerana peningkatan bilangan pelajar tahun demi tahun, JPA gagal untuk memenuhi permintaan pelajar untuk pinjaman. Manakala, kolej dan universiti yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dengan matlamat untuk mengaut keuntungan juga mendesak kerajaan membantu pelajar-pelajar untuk mendapatkan pinjaman mudah dengan faedah rendah untuk membolehkan mereka boleh membuat ‘keuntungan’ atas nama pendidikan. PTPTN ditubuhkan pada 1997 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengambil alih tugas JPA sebagai pengurus utama pinjaman dana. Seperti yang kita maklum, kebanyakan dana PTPTN dan JPA adalah daripada cukai pendapatan dan cukai-cukai lain yang dikutip daripada rakyat oleh kerajaan. Kini PTPTN menguruskan pinjaman dan pembayaran balik hutang pelajar selepas tamat pengajian di  IPTA dan IPTS.

Dengan ini jelas bahawa PTPTN diwujudkan oleh kerajaan secara tidak langsung demi memenuhi ‘keperluan’ dan ‘keuntungan’ syarikat-syarikat dalam industri pendidikan dengan nama membantu pelajar yang memerlukannya. Manakala golongan pelajar terutama dari kelas menengah dan kelas pekerja yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka dengan ijazah daripada universiti dan kolej, tiada pilihan lain selain mengharapkan pinjaman PTPTN untuk menampung yuran dan kos pendidikan yang semakin hari semakin meningkat.

Tetapi, untuk kebanyakan daripada mereka, selepas mula memasuki alam pekerjaan untuk memulakan kehidupan baru dengan kos-kos seperti sewa rumah atau pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan inflasi yang semakin meningkat, beban untuk membayar balik pinjaman PTPTN menyulitkan lagi kehidupan mereka. Walaupun kerajaan mengatakan PTPTN akan bertindak fleksibel dalam pembayaran balik pinjaman oleh pelajar, tetapi persoalan mengapa yuran dan kos pengajian pelajar tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan mendapat sokongan semakin ramai pelajar dan rakyat biasa memandangkan dana PTPTN adalah daripada rakyat. Tambahan pula, mengapa kekayaan negara ini tidak dapat dipergunakan untuk memastikan hak asasi untuk memperoleh pendidikan secara saksama dan adil untuk setiap insan tanpa membebankan mereka, memandangkan kerajaan rela mengeluarkan berjuta-juta dan berbilion-billion ringgit untuk menyelamatkan segelintir kroni kapitalis yang terjunam dalam krisis.

PENDIDIKAN PERCUMA ?

Baru-baru ini, kebangkitan para pelajar menuntut pendidikan percuma mendapat sambutan daripada rakyat biasa dan pelajar terutama daripada kelas pekerja dan kelas menengah. Persoalannya, adakah pendidikan percuma boleh dicapai  dalam  sistem kapitalisme negara kita?

Parti pembangkang mengatakan pendidikan percuma mampu diamalkan jika kerajaan dapat mengurangkan korupsi dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara. Mereka berhujah bahawa beberapa negara seperti Sri Lanka yang jauh lebih terbelakang, mampu mengamalkan pendidikan percuma, dan dengan kekayaan yang ada adalah tidak mustahil untuk mengamalkan pendidikan percuma di negara ini. Tetapi, ini jelas tidak berlaku kerana kerajaan BN yang pro-kapitalisme sentiasa memastikan kepentingan syarikat-syarikat yang melabur dalam industri pendidikan terus dilindungi, dan kelebihan tersebut dipergunakan oleh syarikat-syarikat tersebut untuk mengaut keuntungan maksimum.

Manakala jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putra Jaya dalam pilihan raya yang akan datang, dan mewujudkan pendidikan percuma daripada sekolah rendah ke universiti seperti yang dijanjikan, ianya akan mendapat sambutan daripada rakyat biasa. Tetapi, sejauh mana keberkesanan dalam pelaksanaan pendidikan percuma masih tidak jelas dan boleh dipertikaikan. Ini kerana jika syarikat-syarikat yang mengongkong industri pendidikan terutama sekolah-sekolah, kolej dan universiti swasta terus digalakkan, maka pendidikan berkualiti sebagai hak asasi untuk semua tidak akan tercapai. Ini kerana, golongan yang berada akan terus mengecapi pendidikan yang berkualiti, manakala pendidikan percuma yang diberikan tidak mencapai kualiti yang dikehendaki, seperti yang kita lihat sekarang di sekolah swasta yang dianggap memberikan pendidikan yang lebih baik untuk mengaut keuntungan berbanding dengan sekolah kerajaan. Manakala kolej dan universiti swasta pula akan terus mementingkan keuntungan lebih daripada kualiti dan keperluan. Pakatan Rakyat yang juga mendukung pasaran bebas kapitalisme akan terus didesak oleh kapitalis nasional dan antarabangsa untuk mengekalkan pendidikan sebagai industri.

Selagi tangan kapitalisme dibenarkan untuk mencengkam hak-hak asasi rakyat, selagi itu rakyat terutama kelas pekerja dan anak muda tidak akan dibenarkan untuk memenuhi keperluan dan hak asasi mereka. Sistem kapitalisme akan cuba sedaya upaya untuk tidak membenarkan keperluan yang bersifat percuma  kerana sifat sistem itu sendiri berasaskan keuntungan maksimum. Di negara-negara yang mengamalkan pendidikan percuma seperti Sri Lanka, disebabkan perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa pada suatu ketika dahulu untuk menuntut pendidikan percuma, golongan kapitalis terpaksa akur dengan tuntutan mereka. Tetapi, seperti yang kita dapat dilihat di Eropah, yang pernah mengamalkan pendidikan percuma di bawah konsep negara berkebajikan, kini disebabkan krisis dalam sistem kapitalisme, satu demi satu keperluan asas termasuk pendidikan diswastakan atau kos perbelanjaan kerajaan dikurangkan untuk menyelamatkan kapitalisme.   

Kesimpulannya, walaupun pendidikan percuma boleh diwujudkan di bawah kerajaan kapitalisme atas desakan rakyat, ianya akan bersifat sementara. Tetapi untuk memaksimumkan keperluan tersebut cengkaman kapitalisme perlu dihapuskan. Ini hanya boleh dilakukan jika kerajaan tersebut adalah berlandaskan kepada hasrat dan keperluan rakyat biasa terutama kelas pekerja dan anak muda, dan bersedia untuk memiliknegarakan keperluan-keperluan tersebut dan diurus secara demokratik dengan penglibatan rakyat biasa dalam menentukan halatuju pendidikan negara.    

No comments: