Sunday 13 May 2012

KENYATAAN HARI BURUH 2012


KAPITALISME DALAM KRISIS !!!
KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA
HARUS BERSATU UNTUK PERUBAHAN TULEN

Satu Mei atau Hari Buruh menyingkap kembali hasil-hasil keringat perjuangan kelas pekerja di seluruh dunia.  Malah hampir di seluruh dunia 1 Mei disertai dengan pelbagai perarakan besar-besaran sempena memperingati kemenangan perjuangan buruh sebelum ini serta untuk memperkuatkan langkah-langkah untuk perjuangan hak pekerja masa kini dan di masa hadapan.  Ini perlu memandangkan penindasan dan penganiayaan yang bermacam-macam bentuk terhadap pekerja masih berterusan dan semakin bermaharajalela. Perjuangan 1 Mei pada asalnya yang menuntut 8 jam bekerja, 8 jam beriadah dan 8 jam berehat, masih tidak dapat dikecapi oleh ramai pekerja kerana dibelenggu dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan taraf hidup. 

Di Malaysia, pencabulan hak pekerja dan hak kesatuan sekerja masih berterusan: undang-undang buruh diubah sewenang-wenangnya mengikut kehendak kapitalis; serangan ke atas hak kesatuan sekerja dan pemimpin pekerja semakin meningkat; ramai pekerja dibayar gaji rendah yang tidak berlandaskan kepada inflasi; hak pekerja migran terus dianaktirikan dan dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya. Pada realitinya, keuntungan yang dijanakan oleh kelas pekerja tidak dapat dikecapi oleh mereka. Manakala, kapitalis-kapitalis pula terus dibenarkan mengaut keuntungan maksimum dengan mengeksploitasi hak dan kebajikan pekerja.

GAJI MINIMUM HARUS BERLANDASKAN KADAR INFLASI

Walaupun kerajaan berhasrat mengumumkan gaji minimum, tetapi gaji minimum yang tidak berlandaskan kepada inflasi tidak akan membawa perubahan sebenar untuk meningkatkan taraf hidup pekerja. Penetapan kadar gaji minimum oleh kerajaan tidak mengambil kira hasrat dan keperluan asas pekerja, tetapi lebih kepada kepentingan golongan kapitalis. Bas yang mengambil penumpang tidak akan bergerak selagi pemandu bas itu tidak menghidupkan enjinnya; mesin di kilang tidak akan berfungsi selagi pekerja kilang yang menghidupkan mesin itu tidak bertugas; malah bank tidak akan beroperasi selagi pekerja bank tidak menghidupkan komputer dan berurusan dengan pelanggan.  

Maka,  kelas pekerja berhak menentukan hala-tuju dan masa depan negara kita kerana merekalah bertungkus-lumus siang dan malam dalam proses pembinaan dan pembangunan negara kita. Justeru itu hasrat dan keperluan mereka harus ditentukan dengan penglibatan mereka, dan bukannya diumpukkan mengikut kehendak kerajaan dan kapitalis. Manakala undang-undang, polisi atau akta sahaja tidak cukup, jika pelaksanaan tidak berkesan dan ruang dibenarkan untuk pihak kapitalis untuk terus mencabul dan menindas hak pekerja. Ini seperti apa yang berlaku ke atas hak berkesatuan sekerja. Walaupun ada akta kesatuan sekerja, tetapi banyak kilang dan syarikat masih tidak membenarkan penubuhan kesatuan sekerja. Akta gaji minimum juga akan menghadapi situasi yang sama jika ianya diwujudkan hanya untuk mendapatkan undi kelas pekerja di pilihan raya yang akan datang.

PENGANIYAAN PEKERJA MELALUI SKIM KONTRAK

Isu pekerja kontrak masih berleluasa di sektor swasta dan juga di syarikat-syarikat multi-nasional. Beberapa siri protes dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC ), berkenaan dengan pindaan akta kerja 1955, yang akan membuka pintu yang luas untuk penindasan dan penganiayaan terhadap pekerja kontrak. Di bawah pindaan ini, para kontraktor akan diberi kontrak untuk menyediakan tenaga pekerja dengan kos yang rendah.  Maka, pekerja adalah tanggungjawab pihak kontraktor, bukannya pihak majikan. Dengan cara ini, pekerja juga akan didesak untuk menerima gaji yang rendah tanpa mendapat faedah-faedah pekerjaan yang lain. 

PERJUANGAN HAK WANITA ADALAH PERJUANGAN KELAS PEKERJA

Hak wanita belum mendapat tempat di kalangan pekerja sendiri secara meluas.  Ada yang tidak tahu bahawa wujud hak wanita di tempat pekerja.  Kebarangkalian pekerja wanita yang menerima gaji yang rendah adalah tinggi walaupun kerja yang dilakukan sama seperti yang dilakukan oleh pekerja lelaki.  Bagi yang hendak bersalin , cuti yang diluluskan cuma 30-60 hari walhal mereka sepatutnya mendapat 90 hari cuti tanpa pemotongan gaji.  Ramai di antara wanita terpaksa berhenti bekerja kerana cuti bersalin yang tidak cukup dan kadang-kala terpaksa bekerja walaupun dalam keadaan lemah selepas bersalin.  Untuk pekerja yang berkeluarga semestinya memerlukan belanja yang besar menampung perbelanjaan seharian.  

Pusat jagaan di tempat kerja perlu diwujudkan di tempat bekerja dan para ibu wajib mendapat perkhidmatan berkualiti.  Gangguan seksual terhadap wanita masih wujud di tempat kerja walaupun ada undang-undang yang menghalangnya.  Di tempat kerja, wanita yang melaporkan kes seumpama itu biasanya tidak diambil tindakan dan paling serius pun dikenakan surat amaran dan juga tiada jaminan hal tersebut tidak akan berulang.  Tuntutan sedemikian harus diambil perhatian oleh pihak Kesatuan dan menghubungkaitkan dengan perjuangan kelas pekerja secara umumnya. 

KESATUAN SEKERJA DAN ANAK MUDA

Penyertaan dalam kesatuan sekerja pada umumnya amat rendah iaitu dalam sekitar 7-8 peratus. Manakala, tidak semua sektor pekerjaan yang mempunyai Kesatuan Sekerja untuk memperjuangkan hak pekerja, dan ada sektor yang langsung tiada Kesatuan seperti pekerja pembinaan, pekerja restoran/ kedai makanan dan pengawal keselamatan. Manakala kesatuan dalaman kilang yang dilantik terus oleh pihak pengurusan digunakan oleh majikan untuk mengkongkong kebebasan dan hak pekerja. Sejak Mac 2008, tidak boleh dinafikan munculnya ramai generasi anak muda yang sedar dan mengambil tahu masalah masyarakat secara umumnya. 

Kesedaran mereka bukan datang secara spontan tetapi melalui pelbagai pengalaman, pemerhatian dan analisa. Tidak kurang juga sudah terlibat dalam isu-isu masyarakat seperti isu peneroka bandar di beberapa penempatan di sekitar Lembah Kelang. Tetapi landasan dan pendirian yang diambil oleh mereka yang menjurus kepada isu-isu yang melibatkan hak-hak demokrasi memerlukan gabungan dengan kelas pekerja untuk mencapai perubahan tulen.  Setelah tamat pengajian, pelajar juga akan memasuki alam pekerjaan. Peratusan golongan muda menyertai Kesatuan Sekerja adalah sangat kecil. Rata-rata anak muda berasal daripada keluarga yang membanting tulang dan ada yang bekerja untuk membayar balik hutang pinjaman pendidikan. Mereka ini selalu dianiaya melalui pemberian gaji yang rendah, kontrak kerja yang singkat iaitu 1-2 tahun.  Jarang sekali mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap dan terpaksa bersaing dengan puluhan graduan baru untuk mencari pekerjaan baru. 

Ketiadaan Kesatuan yang bebas dan sanggup berjuang demi kepentingan pekerja semua lapisan masyarakat membantut penglibatan pekerja muda untuk menyuarakan pendapat dan masalah yang dihadapi di tempat kerja. Ada yang tidak pernah dengar perkataan Kesatuan Sekerja dan tidak kurang juga yang beranggapan negatif tentang Kesatuan kerana langsung tidak memainkan peranan aktif dalam isu pekerja secara amnya. Justeru itu adalah juga penting untuk membina kesatuan sekerja yang demokratik serta sanggup memperjuangkan hak-hak pekerja untuk menarik generasi pekerja masa kini untuk menyertai kesatuan sekerja.

KERAKUSAN SISTEM KAPITALISME PUNCA GEJALA SOSIAL

Kewujudan pelbagai masalah sosial yang berterusan tanpa adanya penyelesaian yang positif untuk menangani punca-punca masalah ini.  Masalah-masalah pecah-masuk rumah, rompakan dan ragut berakar-umbi dari masalah pengagihan ekonomi.  Selalunya yang terlibat adalah mereka yang berasal dari persekitaran penduduk yang dekat dengan kilang perindustrian, peneroka bandar dan pinggir kota.  Kebanyakan berasal dari keluarga yang bekerja 12 jam sehari atau lebih untuk mendapat belanja tambahan untuk menampung keperluan seharian. 

Harus ditekankan di sini, bahawa persekitaran tempat tinggal dan kebendaan yang dimiliki memainkan peranan yang penting dalam menentu keadaan hidup masing-masing.  Ianya bergantung sama ada pengagihan ekonomi yang adil dan saksama dilaksanakan atas dasar kepentingan dan keperluan asas untuk kelas pekerja dan rakyat biasa. Tetapi, kerajaan yang pro-kapitalis yang menjadi kuda tunggangan kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa tidak berupaya untuk melakukan perubahan tersebut.

SISTEM KAPITALISME DALAM KRISIS          

Kapitalisme kini dalam krisis, dan krisis yang dibawa oleh golongan kapitalis, kini dibebankan ke atas pekerja dengan serangan ke atas hak dan kebajikan pekerja dengan nama untuk menyelamatkan sistem kapitalisme itu sendiri. Krisis ekonomi yang bermula tahun 2008 masih belum menunjukkan tanda-tanda pulih seperti biasa. Krisis yang bermula di Amerika Syarikat, di mana jatuhnya salah satu gergasi kewangan antarabangsa, Lehman Brothers dan beberapa bank di sekitar Wall Street.  Kemudian merebak ke Eropah (Ireland, Greek, Itali, Sepanyol dll), dan negara kaya seperti Iceland pada satu ketika diisytiharkan muflis kerana tidak mampu membayar hutang negara tersebut. 

Perancis, yang dilihat selamat daripada wabak krisis ini dan sekutu kuat German, negara gergasi ekonomi Eropah telah mula menampakkan tanda-tanda kemelesetan ekonomi. Di China, yang diwarwarkan sebagai salah sebuah gergasi ekonomi Asia pada suatu ketika telah  mencatatkan KDNK ( Keluaran Dalam Negara Kasar ) 2 angka, kini telah turun ke angka tunggal iaitu 8 peratus baru-baru ini. Di Malaysia sendiri, kadar hutang negara berbanding dengan KDNK semakin meningkat walaupun kerajaan cuba menggambarkan keadaan ekonomi masih tidak tenat.    

KELAS PEKERJA PENGEMUDI UNTUK PERUBAHAN TULEN

Era yang sedang dilalui pada masa kini amat penting untuk gerakan pekerja terutamanya dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.  Sebagai penggerak utama ekonomi negara, sudah tentu mereka menerima tempias terus jika ekonomi bertambah buruk.  Penyertaan pekerja ke dalam Kesatuan hendaklah dititik-beratkan kerana melalui Kesatuan, pekerja boleh menyuarakan pendapat secara bebas dan memperjuangkan kepentingan pekerja sehingga ke garisan terakhir.  Perpaduan pekerja melalui kesatuan antara sektor juga perlu disulam lebih erat untuk berjuang menentang penindasan dan penganiayaan terhadap pekerja.  

Dimana-mana gerakan, sememangnya memerlukan sokongan dan kerjasama yang berkesan daripada golongan pekerja dan tertindas lain pelajar, anak muda, petani, nelayan dan orang asal.  Kesatuan sekerja harus mengurangkan birokrasi dan merangka program yang membolehkan golongan muda menyertai Kesatuan.  Dalam politik tanah air, masalah golongan pekerja dan tertindas lain jarang diberi perhatian umum.  Maka, perjuangan golongan pekerja dan golongan tertindas yang lain harus dimantapkan untuk perubahan tulen.

Perjuangan untuk perubahan sosial dan ekonomi yang tulen memerlukan perubahan sistem kapitalisme yang berlandaskan keuntungan maksimum. Untuk ini kelas pekerja perlu membina parti massa kelas pekerja yang juga menggabungkan anak muda dan golongan tertindas yang lain sebagai landasan untuk mengubah sistem kapitalisme kepada demokratik sosialisme yang perlu untuk memaksimumkan hak dan keperluan rakyat biasa serta menjamin pemeliharaan alam persekitaran untuk generasi masa kini dan pada masa akan datang.     


  





No comments: