Perdana Menteri, Najib
Razak telah membentangkan bajet tahun 2014 pada 25 Oktober, yang merupakan
bajet pertama selepas Pilihan Raya Umum ke -13.
Fokus utama bajet tersebut adalah pengumuman Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) yang dirancang untuk dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan
kadar 6%. Walaupun kerajaan mengatakan bahawa GST tidak akan dilaksanakan
kepada beberapa barangan dan perkhidmatan, tetapi pelaksanaan secara umum untuk
kebanyakan barangan dan perkhidmatan sekaligus pasti akan meningkatkan kos
hidup rakyat.
Selain itu, dalam bajet
ini subsidi untuk gula telah dihapuskan, dan harga gula dinaikkan sebanyak 34
sen dengan alasan mengurangkan penggunaan gula bagi membendung penyakit kencing
manis yang semakin meningkat. Tindakan kerajaan tersebut turut akan menaikkan
harga barangan yang menggunakan gula, dan seterusnya membebankan rakyat. Dan
ini juga akan terus memberikan habuan besar kepada keuntungan syarikat-syarikat
pengeluar gula negara yang semakin hari makin kaya. Sedangkan syarikat-syarikat
kapitalis (pemodal) yang mengeluarkan produk minuman dan makanan yang menggunakan
tahap gula yang memudaratkan kesihatan seperti Coca-Cola, Pepsi dan lain-lain
yang juga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penyakit kencing manis
langsung tidak diambil tindakan oleh kerajaan. Mereka akan terus dibenarkan
untuk mengaut keuntungan besar.
Pada masa kini hutang
isi rumah berlandaskan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) adalah 83%
berbanding hanya 39% ketika Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997. Ini bermakna
kebanyakan rakyat terutama kelas pekerja dan kelas menengah dibebankan dengan
berbagai-bagai hutang seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, kad kredit,
pinjaman peribadi dan sebagainya. Ini tidak termasuk lagi hutang dengan ‘along’
dan sebagainya. Ini menunjukkan kos hidup rakyat semakin meningkat, tetapi pendapatan
isi rumah tidak meningkat setara dengan peningkatan kos hidup. Dengan itu,
pendapatan boleh guna untuk isi rumah bagi perbelanjaan harian semakin menurun,
dan menyebabkan mereka tiada cara lain selain berhutang. Pelaksanaan GST akan
terus membebankan rakyat yang telah dibebankan dengan hutang dan kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan yang tidak terkawal .
Seperti bajet-bajet
sebelum ini, bajet ini juga tidak menekankan kepada kenaikan taraf hidup rakyat
melalui peningkatan gaji setaraf dengan inflasi negara. Untuk kebanyakan
pekerja terutama di sektor swasta, hampir tiada peningkatan gaji ataupun
peningkatan yang amat kecil yang tidak selaras atau adil dengan keuntungan yang
diperoleh oleh majikan. Apabila kerajaan lebih mementingkan keperluan kapitalis
dari keperluan rakyat, ia tidak akan berupaya untuk mendesak majikan yang hanya
berniat untuk memaksimumkan keuntungan dari
meningkatkan taraf hidup pekerja. Manakala Gaji Minimum yang diumumkan pada
bajet lalu, ternyata penuh dengan tipu helah daripada pihak majikan, dan
kerajaan pula memberikan kelonggaran kepada majikan dan tidak membuat
pelaksanaan yang serius. Bantuan-bantuan seperti BR1M dan lain-lain yang
diberikan sekali, juga tidak dapat menyumbang dalam peningkatan taraf hidup
rakyat.
Kerajaan menegaskan
bahawa GST diperlukan untuk menambahkan pendapatan kerajaan memandangkan hutang
negara berbanding dengan KDNK sudahpun melebih 50%. Tetapi kerajaan tidak
memikirkan tentang peningkatan hutang isi rumah yang semakin menekan rakyat. Warga
pekerja dan Kesatuan Sekerja perlu menentang pelaksanaan GST dan polisi-polisi
lain yang akan terus membebankan rakyat biasa termasuk kelas pekerja.
Ravi
No comments:
Post a Comment