Baru-baru ini
sebuah akhbar di Nepal, Republica, telah
melaporkan sejumlah lebih 600,000 pekerja negara itu ditindas dan dibayar upah yang
sangat rendah di Malaysia. Laporan akhbar tersebut yang disiarkan oleh portal
berita Malaysia Insider mendedahkan jumlah
kematian pekerja Nepal di Malaysia ialah seramai 253 orang, menjadikan Malaysia
sebagai destinasi paling berbahaya bagi pekerja negara tersebut untuk bekerja. Dinyatakan
juga bahawa jumlah kes bunuh diri pekerja Nepal di Malaysia adalah tinggi.
Kejadian terbaru yang mendapat liputan meluas pada September lalu, iaitu
seorang pekerja Nepal terbunuh setelah terjun daripada atap bangunan di Taman
Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hutang yang meningkat dan kekerasan yang
dilakukan oleh penguatkuasa terhadapnya sebagai pekerja tidak sah menjadi
punca tindakan bunuh diri tersebut.
Walaupun pekerja
asing bekerja secara tidak sah di negara ini yang menyalahi undang-undang
negara, tetapi kesalahan tidak mesti diletakkan sepenuhnya kepada mereka.
Kebanyakan pekerja asing di negara ini adalah mangsa keadaan. Banyak pihak yang
telah mengambil keuntungan dan ikut bertanggung jawab, baik di negara asal
mahupun di negara tempat mereka bekerja. Menurut sebuah kajian, setiap seorang
pekerja asing pernah ditipu paling kurang 16 kali semenjak mula perjalanan
mereka dari kampung sehingga mereka sampai ke negara pilihan tempat mereka
bekerja. Semenjak dari negara asal, mereka sudah terjebak dengan sindiket yang
memberi janji-janji manis tentang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik di
Malaysia. Namun ketika mereka sampai di negara ini, apa yang berlaku tidak selaras
dengan harapan yang diberikan. Pekerja asing selalu didiskriminasikan di
kilang, selalu mendapat ancaman daripada majikan dan penguatkuasa, dipaksa
bekerja lebih masa, diupah lebih rendah daripada pekerja tempatan. Hal ini
ditambah dengan permasalahan-permasalahan lain seperti faktor perbezaan budaya,
bahasa, jauh dari keluarga yang tentu saja bukan perkara mudah untuk diatasi. Pendek
kata, mereka selalu berada dalam keadaan tertekan.
Sebagai pekerja,
kita tidak mesti membezakan kerana status kewargaan mereka. Majikan dan
pihak-pihak lain yang berkepentingan memang sengaja memberikan layanan yang
berbeza supaya pekerja tempatan dan pekerja asing tidak bersatu. Padahal
pekerja asing baik yang sah mahupun tidak sah telah banyak menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara. Apa yang perlu dilakukan adalah perlunya melihat
persoalan pekerja asing tidak sah sebagai persoalan pekerja secara umum, bukan
hanya urusan undang-undang semata-mata.
Kamal
No comments:
Post a Comment