66 tahun lalu, pada 20
Oktober 1947, warga pekerja di seluruh Malaya ( nama Malaysia pada masa itu)
melancarkan mogok besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Hartal’ untuk membantah
perlembagaan persekutuan yang digubal oleh penjajah British untuk meneruskan
taktik pecah dan perintah rakyat Malaya yang berbilang kaum dan agama. Bantahan
tersebut telah dipimpin oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bertindak
Bersama Se-Malaya (AMCJA) dengan sokongan sebahagian besar kesatuan-kesatuan
sekerja. Mereka mengesyorkan perlembagaan rakyat yang menitikberatkan hak kesaksamaan
dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau budaya menjadi
dasar kepada Malaya yang merdeka.
Pada era tersebut,
lebih 60 peratus warga pekerja telah bergabung di bawah berbagai-bagai kesatuan
sekerja untuk memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. Keahlian pekerja yang
tinggi dalam kesatuan pada masa itu menampakkan kekuatan kesatuan untuk membawa
agenda pekerja kepada majikan dan kerajaan. Berbanding dengan sekarang yang
mana hanya kurang 7 peratus sahaja warga pekerja yang bergabung dengan kesatuan
sekerja, dan keadaaan kesatuan amat lemah.
Mogok besar-besaran
untuk sehari tersebut, yang disertai oleh pekerja lombong, ladang, pelabuhan,
pengangkutan dan lain-lain hampir melumpuhkan ekonomi negara. Mogok tersebut
mencerminkan betapa pentingnya kelas pekerja sebagai tulang belakang ekonomi
negara. Berdasarkan peranan penting pekerja, memang wajar tuntutan mereka yang
menekankan supaya agenda rakyat diutamakan bukannya agenda penjajah. Tanpa
kelas pekerja, negara kita yang megah dengan bangunan-bangunan tinggi tidak
mungkin dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang ada pada masa kini. Tetapi,
seperti pada zaman tersebut, warga pekerja terus dianaktirikan dan kemewahan
negara terus digondol oleh segolongan kecil kapitalis antarabangsa dan tempatan
yang hanya mementingkan keuntungan maksimum.
Walaupun, mogok
tersebut telah menggegarkan penjajah British, ia tidak berjaya menggagalkan
agenda British untuk membawa perlembagaan persekutuan apabila British terus menggunakan
berbagai-bagai taktik dan kekerasan untuk melemahkan kesatuan sekerja dan
organisasi lain yang terlibat dalam perlembagaan rakyat. Tetapi, mogok besar-besaran pada 20 Oktober 1947
adalah sejarah penting untuk kelas pekerja di negara ini yang telah menunjukkan
bahawa solidariti di antara pekerja-pekerja berbagai-bagai sektor boleh dibina
untuk membawa tuntutan pekerja.
No comments:
Post a Comment