Bukan lagi omong-omong kosong bahawa
di mana sahaja, pendidikan sudah semakin mahal. Malaysia turut tidak
terkecuali. Meminjam tajuk buku Eko Prasetyo, sememangnya saat ini orang miskin
dilarang sekolah. Ini kerana pendidikan telah dibebankan dengan biaya dan
perbelanjaan yang sangat tinggi. Yang menjadi mangsa pula, sudah tentu
orang-orang miskin dan golongan buruh yang tidak mampu untuk menghantar
anak-anak mereka ke sekolah.
Dalam tulisan Pedagogy
of the Oppressed, Paulo Freire mengajak kita untuk kembali berfikir tentang
sistem pendidikan sekarang yang sungguh menindas dan tidak memenuhi tujuan asas
pendidikan itu sendiri. Pendidikan formal sengaja direka untuk memperdayakan
bahkan menindas segelintir kelompok masyarakat. Kesannya, kaum yang tertindas
ini cenderung untuk menerima apa sahaja perlakuan dari mereka yang menindas. Mereka
menjadi pasif kerana telah dibisukan oleh budaya bisu yang telah diciptakan
oleh pendidikan formal.
Pendidikan yang sedia ada hanya bergerak dalam
lingkungan ‘distribution machine’ kerana
ia cuma proses memindahkan pengetahuan yang telah ada kepada para pelajar, dan
mereka perlu menghafalnya untuk mendapat markah dalam peperiksaan. Murid menerima
kesemua ini dengan bulat-bulat, tanpa kritikan dan tanpa dialektika. Ini
disebabkan oleh sistem pendidikan yang ada cuba untuk mempertahankan ideologi
kapitalisme tanpa membenarkan kritikan ke atasnya.
Lebih malang lagi adalah orang
miskin kerana mereka telah kehilangan hak lantaran pembangunan yang hanya untuk
tunduk kepada kepentingan pasaran. Mereka selalu dihadapkan dengan dilema, sama
ada mampu untuk sekolah ataupun tidak. Sekiranya mahu sekolah, mereka perlu
bersedia untuk mengorbankan banyak wang. Lebih malang lagi apabila seusainya
mereka di sekolah dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,
ia menjadi semakin mahal.
Mereka tidak ada pilihan selain meminjam dari
mana-mana institusi kewangan, seperti PTPTN. PTPTN sendiri telah menjadikan
pelajar sebagai penghutang tegar apabila mereka perlu membayar pinjaman dengan
faedahnya sekali selepas mereka tamat pengajian. Ketika itu, mereka belum tentu
mendapat pekerjaan. Malahan, ada yang terpaksa untuk memasuki kolej-kolej
swasta yang sudah berlambak sekarang, kerana tidak berjaya untuk mendapatkan
tempat di IPTA yang jumlahnya sangat terhad.
Pendidikan juga telah dijadikan
sebagai komoditi dan bahan jualan yang bertujuan untuk menjana keuntungan
semata-mata. Kerjaya yang ‘mahal’ harganya pasti akan mendapat tempat. Ini
boleh dilihat apabila bidang falsafah dan sastera tidak menjadi perhatian
kerana bagi pemilik institusi, bidang tersebut tidak menguntungkan. Apa yang
mereka mahu adalah sesuatu yang dapat memenuhi kehendak industry. Pelajar
adalah calon robot-robot yang akan menjalankan roda ekonomi.
Selain dari
pendidikan yang hanya untuk tujuan kepentingan pasaran, ia sebenarnya jauh dari
realiti apabila tidak berangkat dari kenyataan masyarakat yang sebenar.
Walaupun realiti kehidupan sebahagian besar masyarakat ada di luar bandar, tetapi
bidang pertanian dan desa tidak digarap dengan baik dalam pendidikan. Kehidupan
masyarakat luar bandar yang masih miskin dan terbelakang tidak jadikan bahan
untuk menentukan sistem pendidikan. Lalu, sekolah lebih dekat dengan industri
kapitalisme. Lebih-lebih lagi apabila orientasi pendidikan kapitalisme amat
mengarahkan kepada manusia untuk mencapai suatu materi dengan cara apapun tanpa
memandang sisi baik dan buruk. Sedangkan kalau kita fikirkan, pendidikan boleh
dikira sebagai keperluan asas yang mesti diberikan dengan adil dan
sebaik-baiknya oleh setiap pemerintah.
Kapitalisme pendidikan ini sedikit
sebanyak telah menunjukkan bahawa peranan negara dalam pendidikan sudah semakin
menghilang. Masyarakat terus dihimpit dalam permasalahan sosial dan ekonomi. Dalam
perspektif sosialisme, pendidikan adalah amat penting untuk membangunkan
manusia dan seterusnya menghasilkan masyarakat yang egaliter dan berpihak
kepada kaum yang tertindas. Bahkan, pendidikan yang dianjurkan oleh sosialisme,
bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, tetapi demi menyedarkan dan
membebaskan manusia dari belenggu dehumanisasi. Orang miskin tidak akan
dilarang sekolah lagi, bahkan merekalah yang menjadi ‘guru besar’ kepada anak
bangsa.
Sharifah
No comments:
Post a Comment