Friday, 22 February 2013

PENINGKATAN UMUR PERSARAAN: BERAPA LAMA PEKERJA PERLU MENJUAL KUASA BURUH ?

 
Kerajaan mengumumkan bahawa umur persaraan untuk pekerja-pekerja swasta akan dinaikkan kepada umur 60 tahun pada pertengahan tahun ini. Persatuan Majikan-majikan Malaysia menyambut baik cadangan kerajaan kerana ‘kemahiran dan pengalaman pekerja senior boleh terus dipergunakan untuk pembangunan syarikat memandangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat’. Tetapi alasan sebenar majikan adalah untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja baru yang sekali gus akan mengurangkan kos operasi syarikat untuk meningkatkan keuntungan. Ini bermakna selagi pekerja bertenaga dan mampu, sebahagian besar kehidupan pekerja akan terus dipergunakan untuk menjual ‘kuasa buruh’ kepada majikan untuk menjana keuntungan. 

Tetapi, kalau dilihat pada realitinya, sebelum ini pun kebanyakan pekerja di Malaysia terutama yang berpendapatan rendah terpaksa bekerja selepas bersara pada umur 55 tahun kerana terpaksa menampung kos hidup dan harga barangan asas yang semakin hari semakin meningkat. Manakala wang KWSP yang sepatutnya dipergunakan untuk masa tua pula terpaksa dipergunakan untuk membayar pinjaman dan hutang, atau ia tidak cukup untuk menampung kos hidup di masa-masa tua. Mereka ini biasanya terpaksa bekerja sekurang-kurangnya 12 jam sehari, tidak ada masa bersama keluarga dan sanak saudara, dan keperluan ini akan terus dihakis jika mereka terpaksa terus bekerja pada masa-masa tua. 

Dalam sistem kapitalisme ini pekerja hanya dilihat sebagai instrumen untuk menjana keuntungan kepada majikan, tidak kepada peningkatan hak dan keperluan sebagai seorang manusia. Pendirian beberapa pemimpin kesatuan yang bulat-bulat menyokong usul peningkatan umur persaraan menunjukkan betapa dekatnya mereka kepada keperluan majikan daripada keperluan pekerja. Kesatuan sekerja seharusnya berjuang untuk meningkatkan hak dan keperluan pekerja, bukannya mengikut kehendak kapitalis yang berlandaskan semata-mata untuk keuntungan maksimum.

No comments: