Gaji minimum RM900 (di
Semenanjung) dan RM800 (Di Sabah dan Sarawak) yang diumumkan oleh kerajaan pada
tahun lalu harus dilaksanakan oleh majikan pada bulan Januari ini. Tetapi dari
awal pengumuman sehingga sekarang, berbagai-bagai rungutan dan desakan telah
diungkit oleh majikan untuk memaksa kerajaan membuat pengubahsuaian untuk
memastikan ‘kos operasi dan keuntungan’ syarikat tidak tergugat. Atas desakan
majikan, kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada hampir 600 syarikat untuk
menangguhkan pelaksanaan gaji minimum. Kerajaan yang terus akur dengan kehendak
majikan, juga telah menggariskan beberapa panduan kepada majikan termasuk
menstrukturkan gaji minimum dengan menyerapkan elaun-elaun tertentu. Ini sekali
gus dipergunakan oleh majikan untuk memaksa para pekerja untuk menerima ‘skim
gaji baru’ yang bukan sahaja tidak menaikkan taraf gaji pekerja, malahan
memberikan lebih laluan untuk majikan terus menindas pekerja.
GAJI MINIMUM DIGUNAKAN SEBAGAI
ALAT PENINDASAN
Berbagai-bagai masalah,
ketidakadilan dan ugutan telah dihadapi oleh pekerja dengan ‘kelonggaran’ yang
telah diberikan oleh kerajaan kepada majikan. Masalah amat ketara terutama di
kilang-kilang yang tidak mempunyai kesatuan sekerja. Di bawah adalah di antara
beberapa isu yang telah diadu oleh pekerja kepada Gabungan Pekerja dan Anak
Muda (GAPAM):
· Gaji minimum yang seharusnya gaji pokok atau gaji asas kepada pekerja diserapkan
dengan elaun-elaun yang dipraktikkan sebelum ini. Manakala faedah-faedah
seperti komisen atau insentif diberhentikan dengan alasan ia juga diserapkan
dalam gaji minimum.
· Apabila pekerja yang bergaji kurang daripada RM 900 atau pekerja yang
baru masuk kerja diberikan gaji asas RM900, adalah tidak adil jika pelarasan
gaji yang setimpal juga tidak diberikan kepada pekerja yang bergaji melebihi
RM900. Misalnya, jika gaji asas pekerja yang baru masuk bekerja adalah RM600
sebelum ini dinaikkan kepada RM900, maka adalah wajar pekerja yang bergaji
RM1100 sebelum ini juga dinaikkan kepada RM1400.
· Di beberapa syarikat, pelaksanaan gaji minimum dipergunakan untuk
memperkenalkan ‘sistem baru’ dengan mengetatkan masa dan budaya kerja untuk semata-mata mempertingkatkan
produktiviti dan mencapai target pengeluaran tanpa mempedulikan hak dan
kebajikan pekerja.
·
Manakala, di sebuah kilang yang mempunyai pekerja tempatan dan pekerja
migran, sistem baru diperkenalkan dengan menghapuskan kerja lebih masa (OT)
yang sudah menjadi praktis sekian lama. Dalam sistem baru tersebut, pekerja
tempatan diarahkan untuk membuat kerja normal, manakala pekerja migran
dibenarkan untuk masuk shift sebagai ganti kepada OT. Dengan sistem ini pekerja
tempatan akan hilang pendapatan bulanan untuk menampung keluarga mereka.
· Manakala pekerja kontrak yang dibayar gaji oleh agen dan bukanya majikan
di tempat kerja juga tidak mendapat gaji minimum dengan pelaksanaan gaji
minimum. Mereka terus teraniaya dengan sistem kontrak atau ‘outsourcing’ yang
terus dipergunakan oleh majikan dengan galakan daripada kerajaan.
· Walaupun pekerja migran sepatutnya memperoleh gaji yang lebih baik,
tetapi majikan juga akan mempergunakan berbagai-bagai alasan untuk menindas hak
mereka dengan nama mengurangkan ‘kos operasi’ seperti mana yang dihadapi oleh
pekerja-pekerja tempatan.
· Pada ketika ini, seramai 50,000 pekerja-pekerja migran telah
diberhentikan kerja di stesen-stesen minyak, dan syarikat-syarikat lain juga
akan cuba mempergunakan desakan dan ugutan untuk memberhentikan pekerja dengan
alasan untuk ‘kurangkan kos operasi’.
KERAJAAN MENYEBELAHI KAPITALIS
DARIPADA PEKERJA
Pelaksanaan Akta gaji minimum
menunjukkan polisi atau undang-undang sahaja tidak cukup untuk meningkatkan
taraf hidup lebih 10 juta pekerja di negara ini. Kelonggaran yang diberikan
oleh kerajaan kepada majikan menunjukkan kepentingan dan keutamaan yang
diberikan oleh kerajaan kepada ‘keuntungan maksimum’ majikan atau kapitalis
daripada ‘keperluan dan kebajikan asas’ warga pekerja. Politik pro-kapitalis
ini bukan sahaja kita dapat lihat dalam hal pelaksanaan gaji minimum, malahan
dalam berbagai-bagai polisi dan undang-undang pekerja seperti Akta Tenaga Kerja
dan Akta Kesatuan Sekerja di mana hak pekerja semakin hari semakin terhakis.
Hanya melalui politik yang berlandaskan hak dan kepentingan kelas pekerja dan
rakyat biasa sahajalah hak dan kebajikan pekerja dapat diwujudkan dan
dipertahankan.
No comments:
Post a Comment