APAKAH PILIHAN KEPADA KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA?
Pilihan raya umum ke-13
yang akan datang perlu dipanggil sebelum April 2013. Pilihan raya ini yang
dianggap paling sengit dalam sejarah negara ini, akan menampakkan pertembungan
di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Walaupun, PR berjaya
untuk sedikit sebanyak meningkatkan sokongan akibat kemerosotan sosial di
kalangan rakyat, BN/UMNO dengan politik perkauman dan dengan mempergunakan
jentera kerajaan akan cuba sedaya upaya sekurang-kurangnya untuk mengekalkan
sokongan masyarakat yang bersifat konservatif serta masyarakat luar bandar.
POLITIK BN BERUBAH
SELEPAS 2008 ?
BN masih terus didominasi
oleh UMNO, dan parti-parti lain (MIC, MCA, Gerakan dan PPP) masih tidak berjaya
dipulihkan sepenuhnya selepas kekalahan teruk pilihan raya 2008. Semenjak
kehilangan majoriti dua per tiga dalam parlimen akibat kemerosotan sokongan masyarakat
bukan Melayu dalam pilihan raya umum 2008, BN cuba mempergunakan propaganda ‘Satu
Malaysia’ untuk mengembalikan sokongan mereka. Walau bagaimanapun, politik
perkauman masih dipergunakan untuk menentukan langkah dan dasar-dasar kerajaan,
dan ini terus menaikkan kemarahan di kalangan masyarakat bukan Melayu terutamanya
mereka yang tinggal di kawasan persekitaran bandar. BN juga cuba untuk
mendapatkan semula sokongan yang hilang dengan memperkenalkan pelbagai
projek-projek pembangunan dan program kebajikan, tetapi tidak mampu untuk
membendung kenaikan harga makanan dan keperluan asas yang telah menjadi isu paling
utama bagi majoriti walaupun kerajaan menyatakan bahawa inflasi ‘masih
terkawal’.
UMNO dengan sokongan kumpulan-kumpulan
ultra-kanan seperti PERKASA juga menyemarakkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat
Melayu untuk terus menerus menyokong mereka. Ini adalah untuk mengekalkan
sokongan masyarakat Melayu khususnya di kawasan luar bandar yang juga termasuk
hampir satu juta pekebun kecil getah/ kelapa sawit dan juga peneroka FELDA.
Tetapi, kemelesetan ekonomi di negara China dan India, dijangka akan
menyusutkan harga komoditi-komoditi tersebut. Walau bagaimanapun, beberapa isu lain seperti
pengagihan kekayaan dan hak milik tanah telah timbul di beberapa kawasan
penempatan FELDA yang menunjukkan peningkatan sokongan kepada PR.
Walau bagaimanapun,
sistem pilihan raya yang berat sebelah (ketidakadilan suruhanjaya pilihan raya,
media utama yang dikawal oleh kerajaan, tempoh kempen yang singkat, penggunaan
habuan wang dan jentera kerajaan,
kelemahan dalam sistem pengundian) memberi kelebihan kepada BN. Beberapa kaji
selidik baru-baru ini mendedahkan bahawa sokongan terhadap Najib sedang meningkat
akibat bantuan kewangan dan program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh
kerajaan. Tetapi ini tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat memandangkan
hampir separuh daripada pengundi masih di ‘atas pagar’, dan merekalah akan menjadi
penentu siapa akan menang dalam pilihan raya akan datang.
Mahathir dalam satu
kenyataan baru-baru ini menegaskan “Rakyat hanya perlu mendesak BN untuk
melakukan perubahan yang rakyat mahukan. Syaitan yang dikenali adalah lebih
selamat dari malaikat yang tidak dikenali” untuk menyeru rakyat terus memilih
BN berbanding dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya nanti. Tetapi,
ketika pentadbiran Mahathir, desakan demi desakan rakyat dari berbagai-bagai
kumpulan dan golongan untuk hak demokrasi dan keperluan asas telah
sewenang-wenangnya dipatahkan dengan menggunakan jentera kerajaan seperti ISA,
FRU, polis, undang-undang, mahkamah, media oleh ‘syaitan yang dikenali’ oleh
rakyat selama lebih 20 tahun. Satu demi satu perkara dengan nama ‘pembaharuan’
hanya cuba dilakukan oleh kerajaan BN sekarang kerana khuatir akan kehilangan
kuasanya yang telah dikekalkan lebih lima dekad, apabila rakyat menghukum BN
dengan menidakkan undi dua per tiga dalam ‘tsunami politik’ pilihan raya 2008
yang juga merupakan kekalahan pilihan raya yang paling teruk dalam sejarahnya
selain di pilihan raya 1969.
Manakala Najib pula dengan slogan ‘Janji Ditepati’ amat menaruh harapan
dengan program transformasi ekonomi dan kerajaan, dan, bantuan-bantuan kewangan
dan kebajikan yang telah ditunaikan selama ini, supaya membuahkan undi untuk kemenangan
besar dalam pilihan raya yang akan datang.
Tetapi, bagi Najib untuk
mengekalkan jawatan Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri bagi penggal
seterusnya, kemenangan dua per tiga atau
setidak-tidaknya lebih baik daripada pilihan raya 2008 amat diperlukan. Jika
tidak beliau juga terpaksa menghadapi nasib Pak Lah yang telah didesak untuk letak
jawatan dalam UMNO selepas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya 2008. Sebab
itu, sehingga kini Najib masih tidak yakin, dan ingin melakukan beberapa cubaan
terakhir, termasuk lebih banyak habuan kepada rakyat dalam bajet 2013 untuk
mengukuhkan undi kepada UMNO dan BN sebelum parlimen dibubarkan.
Kerajaan BN selepas
pilihan raya umum ke-13 akan merupakan kerajaan yang akan lebih membebankan
rakyat. Potongan perbelanjaan awam untuk mengurangkan defisit dengan nama
‘penjimatan’ akan dilaksanakan jika ekonomi global menjadi lebih teruk atau
tidak banyak perubahan daripada keadaan sekarang. Tekanan untuk mengurangkan
perbelanjaan awam telah dicanangkan sejak ‘kemelesatan besar’ 2008/09 dengan
mengurangkan subsidi dan juga dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST). Jika ini adalah situasi selepas pilihan raya akan datang,
maka konflik sosial tidak dapat dielakkan yang juga boleh meningkatkan konflik
politik dalam UMNO atau antara BN dan PR.
POLITIK PR BOLEH MENJAMIN PERUBAHAN TULEN ?
Manakala, PR pula bertambah yakin untuk menawan Putrajaya terutamanya
dengan bertambahnya isu-isu sosial dan ekonomi di kalangan rakyat, dan
peningkatan konflik politik dalaman BN di negeri Sabah dan Sarawak yang telah
berpihak kepadanya.
Pilihan raya negeri
Sarawak pada tahun 2011 menunjukkan bahawa PR telah sedikit sebanyak berjaya
meningkatkan sokongan penduduk luar bandar, dan pada masa yang sama telah
mengekalkan sokongan penduduk bandar di negeri ini kerana pelbagai isu sosial
seperti hak tanah adat serta kroni kapitalisme yang telah diamalkan oleh Ketua
Menteri Taib Mahmud selama lebih daripada tiga dekad pemerintahannya. Kemarahan
yang serupa boleh dirasai terutamanya akibat isu migran di negeri Sabah, yang
juga merupakan salah sebuah negeri termiskin. Sejak tahun 2008, PR nampaknya
telah berjaya memenangi sedikit sebanyak sokongan di negeri-negeri tersebut,
tetapi ia masih tidak berupaya menandingi jentera pilihan raya dan keupayaan
kewangan BN semasa pilihan raya.
Tidak kurang juga, janji-janji ditaburkan oleh PR, daripada gaji minimum
RM1200, pendidikan percuma, pemansuhan tol, penurunan harga petrol hinggalah
kepada kereta murah, juga sedikit sebanyak meningkatkan sokongan kepadanya.
Manakala, di negeri-negeri di bawah PR terutama Selangor dan Pulau Pinang,
beberapa bantuan-bantuan kewangan dan kebajikan juga telah ditunaikan.
Beberapa penganalisis
politik meramalkan bahawa jika PR berjaya mengalihkan antara 5 hingga 6 % undi
untuk memihak kepadanya, dan pada masa yang sama mengekalkan peratus sokongan
pada tahun 2008, PR mempunyai setiap peluang untuk menang dalam pilihan raya
umum yang akan datang. Tetapi analisa yang sama tidak menolak kemungkinan
bahawa BN juga mempunyai peluang untuk mengekalkan kuasanya jika ia berjaya
mengalihkan peratusan undi yang sama ke arahnya dengan mempergunakan sentimen
perkauman dan jentera kerajaan semasa pilihan raya.
Anwar masih menjadi
faktor penting untuk mengekalkan gabungan PKR, DAP dan PAS di bawah payung PR
untuk memperoleh kuasa daripada BN. Sehingga kini tidak ada calon yang sesuai
untuk mengambil alih peranan Anwar dalam PR. Sejak 2009, BN telah mempergunakan
tuduhan kes liwat terhadap Anwar untuk membunuh cita-cita politiknya tetapi kemenangan
kes mahkamah pada awal tahun 2012 memperkukuhkan kedudukannya. Manakala,
pengumuman bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada politik jika kalah
dalam pilihan raya yang akan datang, mungkin boleh menjanakan undi simpati
kepada PR.
Mahathir menegaskan ‘malaikat yang tidak dikenali’ tidak
selamat untuk dipilih mentadbir kerajaan dengan merujuk kepada PR di bawah
pimpinan Anwar. Tetapi keangkuhan dan konflik sosial dan ekonomi yang
diwujudkan oleh ‘syaitan yang dikenali’ menyebabkan rakyat mengalihkan
perhatian kepada ‘malaikat yang tidak dikenali’.
Selama 55 tahun ‘syaitan yang dikenali’, telah berlandaskan kepada nafsu
sistem kapitalisme untuk keuntungan maksimum kapitalis-kapitalis nasional dan
antarabangsa. Ini menyebabkan keperluan dan hak rakyat terus diabaikan. Jadi, jika
‘malaikat yang tidak dikenali’ mengambil
alih kuasa kerajaan dan masih ingin bergelumang dalam sistem kapitalisme, maka
ia juga akan berubah seperti ‘syaitan yang dikenali’ sebelum ini.
Walau bagaimanapun,
jika PR menang dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan, maka ia akan
memberikan harapan kepada rakyat bahawa PR akan menggariskan dasar-dasar sosial
dan ekonomi yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka. PR akan
diberikan masa untuk membuat reformasi, dan ia akan cuba meningkatkan demokrasi
dan ketelusan dalam kerajaan (seperti yang cuba dilakukan di Selangor dan
Penang) untuk menenangkan harapan rakyat. Tetapi PR akan memastikan struktur
kerajaan tidak banyak berubah dan ia selari dengan kehendak kapitalisme pasaran
bebas. Sejauh mana PR akan melakukan pembaharuan dalam ekonomi dan sosial akan
bergantung pada keadaan ekonomi global dan serantau. Jika tidak ada banyak
perubahan dalam ekonomi dan faktor-faktor asas ekonomi menjadi lebih rumit,
kerajaan akan didesak oleh kapitalisme untuk mengambil langkah-langkah
penjimatan dengan menuduh ‘BN gagal untuk menguruskan ekonomi dengan efisien’.
Ini boleh mewujudkan konflik di kalangan parti di dalam gabungan PR yang
mempunyai orientasi politik yang berbeza untuk menentukan hala tuju ekonomi dan
sosial.
APAKAH PILIHAN KEPADA
KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA ?
Malaysia adalah sebuah
negara yang berbilang kaum dan berbilang agama di mana parti-parti
pro-kapitalis telah mempergunakan perbezaan kaum dan agama untuk melindungi
cengkaman kapitalisme. Walaupun perubahan kerajaan BN kepada PR boleh membuka
sedikit ruang demokrasi akibat desakan daripada rakyat, tetapi ini tidak akan
menjamin bahawa keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja dan golongan lain
yang tertindas di bawah sistem ini akan dipenuhi selagi kerajaan tersebut di
bawah telunjuk parti-parti pro-kapitalis.
Rakyat yang ingin mengundi
hanya ada dua pilihan: BN atau PR, kedua-duanya pro-kapitalis. Rakyat yang mengharapkan
perubahan akan mengundi PR, tetapi berlandaskan kepada politik PR perubahan
sosial dan ekonomi yang tulen tidak mampu dilakukan kerana parti tersebut masih
dikongkong oleh sistem kapitalisme. Oleh itu mengundi PR sebagai alternatif
kepada BN sahaja tidak mencukupi, kerana untuk merubah politik, ekonomi dan
sosial yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa, satu parti
massa berlandaskan kelas pekerja dan anak muda dengan sokongan
golongan-golongan terpinggir yang lain perlu dibangunkan. Dengan usaha sebegini
sahajalah satu kerajaan untuk memperkasakan keperluan kelas pekerja dan rakyat
biasa dapat ditubuhkan.
No comments:
Post a Comment