Monday, 7 January 2013

INDONESIA: MOGOK TERBESAR SELEPAS 50 TAHUN UNTUK MEMBANTAH ‘OUTSOURCING’ DAN UPAH MURAH


PEKERJA INDONESIA MENENTANG  'OUTSOURCING' DAN UPAH MURAH 

Pada 3 Oktober 2012, lebih dua juta pekerja di Indonesia melancarkan mogok nasional untuk menuntut hak dan kebajikan mereka yang sekian lama dipinggirkan oleh majikan dan juga kerajaan Indonesia.  Meskipun aksi bantahan dan pemogokan sudah sering dilakukan oleh buruh di Indonesia, tetapi  mogok nasional tersebut telah mencatat beberapa kemajuan yang sangat penting bagi gerakan pekerja di Indonesia. Ini adalah mogok nasional terbesar yang dilakukan setelah hampir 50 tahun. Ia telah merangkumi lebih 80 kawasan industri di seluruh Indonesia. Walaupun aksi secara serentak dilakukan di lebih dari 20 kota di Indonesia, namun tumpuan diberikan di daerah Bekasi, yang terletak di pinggir kota Jakarta. Kawasan industri di Bekasi saat ini mengeluarkan 70% barangan untuk ekspot Indonesia dan kebelakangan ini menjadi pusat aktiviti menggerakkan pekerja. Pekerja di Bekasi juga sudah sering melakukan aksi bantahan dengan menutup kawasan industri, jalan tol, dan prasarana awam yang lain sebagai langkah mendesak kerajaan dan majikan memenuhi hak dan keperluan mereka.


Semenjak reformasi pada tahun 1998, demonstrasi-demonstrasi di jalan raya, pejabat kerajaan, parlimen yang mengangkat pelbagai isu sudah menjadi pemandangan biasa dan menjadi rutin hidup keseharian penduduk Jakarta. Tidak kurang juga demonstrasi semacam itu berakhir dengan kerusuhan, atau paling minimum, menimbulkan kesesakan jalan raya.  Namun, dalam mogok nasional kali ini, tidak ada insiden serius yang berlaku. Memang saat ini kesedaran pekerja di Indonesia tidak terhad hanya kepada isu-isu di kilang tempat mereka bekerja, tetapi juga isu-isu di luarnya. Aksi-aksi protes seperti menutup kawasan industri, jalan raya, dan solidariti kepada pekerja kilang-kilang yang lain sering menonjolkan gerakan mereka ke ruang awam. Ini menggambarkan bahawa walaupun rakyat Indonesia telah memerdekakan negara daripada diktator Suharto semenjak reformasi 1998, tetapi mereka masih terus dikongkong oleh berbagai isu ekonomi dan sosial.  

“Hapus Outsourcing dan Tolak Upah Murah”

Cadangan untuk melakukan mogok nasional telah dilaungkan buat pertama kali oleh Majlis Pekerja Buruh Indonesia (MPBI), sebuah organisasi yang merangkumi kesatuan-kesatuan sekerja yang baru ditubuhkan pada hari pekerja (May Day) 2012. Ia bermula pada bulan Ogos ketika MPBI membantah dasar Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi yang mengeluarkan undang-undang tentang penetapan piawaian Kehidupan yang Layak (KHL) bagi pekerja, sebagai acuan untuk menetapkan gaji minimum. Undang-undang tersebut hanya menetapkan 60 buah item asas yang diperlukan oleh pekerja dalam kehidupan mereka untuk mencapai satu kehidupan yang layak. Namun para pekerja yang menjalani kehidupan mereka sendiri lebih tahu tentang apa yang mereka perlukan dan beranggapan 60 item sahaja tidak mencukupi. Berdasarkan kajian yang mereka lakukan dan disokong oleh data beberapa lembaga kajian yang lain, paling sedikit terdapat 86 item asas yang diperlukan oleh pekerja untuk menyara hidup dan bersifat sebagai keperluan asas.

Dalam kenyataan akhbar mengenai isu ini, MPBI tidak hanya membantah undang-undang tersebut, tetapi juga menuntut pemerintah untuk menghentikan amalan outsourcing yang sangat merugikan pekerja kontrak. Dengan menggunakan pekerja outsourcing (khidmat luar), majikan hanya memberikan kontrak kerja singkat kepada pekerja tanpa ada jaminan untuk diangkat menjadi pekerja tetap. Di bawah sistem ini, majikan dibebaskan daripada tanggung jawab untuk memberikan tabungan pencen, insurans kesihatan, keselamatan kerja, dan faedah-faedah asas lainnya kepada pekerja. Sejak Julai 2012, kesatuan sekerja di Indonesia sudah kerap melakukan kempen menentang sistem ini dengan slogan: “Hapus Outsourcing dan Tolak Upah Murah” (HOSTUM).  Dua tuntutan tersebut diikuti dengan tuntutan supaya jaminan sosial untuk pekerja sepenuhnya ditanggung oleh majikan.

Pada 24 September, MPBI secara rasmi menetapkan 3 Oktober untuk mogok nasional dengan melibatkan 2 juta pekerja di seluruh Indonesia. Ini adalah seruan pertama mogok nasional untuk melawan amalan outsourcing dan politik upah murah selepas reformasi 1998. Walaupun cadangan mogok dimulakan oleh MPBI, tetapi seruan mogok ini mendapat sambutan daripada kesatuan sekerja yang lain. Sekretariat Bersama (SEKBER) Buruh, konfederasi kesatuan sekerja yang lebih radikal, ikut menyokong  inisiatif mogok tersebut.

Rancangan mogok ini disebarkan ke kilang-kilang di setiap kesatuan-kesatuan sekerja di bawah MPBI, SEKBER BURUH, mahupun kesatuan-kesatuan sekerja lain di luar organisasi tersebut. Mahasiswa di pelbagai kampus juga menyatakan sokongan. Mereka melakukan kempen dan demonstrasi di kampus masing-masing tanda sokongan sehari sebelum mogok dilakukan.

SAMBUTAN HANGAT KELAS PEKERJA


Pemandangan yang tidak biasa dapat disaksikan di Jakarta pada 3 Oktober di mana pusat bandaraya metropolitan yang biasanya terkenal dengan kesesakan jalan raya, pada hari itu kenderaan yang lalu lalang di jalan raya tidak terlalu padat seperti biasanya. Mungkin sebahagian masyarakat Jakarta yang berjumlah melebihi 13 juta orang itu sengaja tidak keluar untuk menghindari kesesakan yang teruk kerana sebelumnya media telah melaporkan tentang rancangan mogok nasional pekerja yang akan dilancarkan pada hari itu. Tetapi menurut salah satu laporan akhbar tempatan, kurangnya kenderaan di jalanan tersebut adalah disebabkan oleh para pemilik kenderaan yang biasanya memenuhi jalanan di pusat bandaraya, pada hari itu ikut serta melakukan mogok di kawasan-kawasan industri di pinggir kota Jakarta. Oleh kerana itu, kesesakan jalan raya yang setiap hari berlaku di pusat kota Jakarta, beralih ke pinggir kota, tempat di mana terdapat kawasan-kawasan industri.

Seawal 8 pagi para pekerja dengan menggunakan pakaian seragam kerja mahupun pakaian seragam kesatuan sekerja sudah berkumpul di kawasan kilang masing-masing. Di beberapa buah kawasan industri di Bekasi dan Tangerang, mereka bergerak dengan menggunakan motosikal atau berjalan kaki dari satu kilang ke kilang yang lain untuk mengajak seluruh pekerja turut serta dalam mogok tersebut. Sampai pukul 2 petang, di 23 tempat berlangsungnya mogok di Bekasi sahaja, jumlah pekerja yang terlibat mencapai setengah juta. Ini menyebabkan aktiviti industri di kawasan tersebut lumpuh. Di Tangerang pula, mogok pekerja di 27 tempat memaksa persatuan majikan menggunakan taktik lama untuk menakutkan para buruh, iaitu dengan mengancam menutup kilang jika mogok tetap diteruskan. Di sebelah Utara Jakarta, kawasan pelabuhan dipenuhi oleh seribu buah motosikal pekerja yang kemudian bergabung dengan pemandu-pemandu lori. Kesatuan sekerja pemandu lori di kawasan ini juga telah bersetuju untuk tidak bekerja pada hari itu.  

Di kawasan industri Cakung, ratusan pekerja perempuan mengunjungi sebuah kilang dan meminta pihak pengurusan membiarkan pekerjanya untuk tidak bekerja dan bergabung dengan mereka untuk mogok. Ada dari pihak pengurusan yang secara rela memberi kebenaran pekerja untuk tidak bekerja, tetapi tidak sedikit juga yang mengurung mereka di kilang. Seperti yang berlaku di Kawasan Berikat Nusantara (KBN), Jakarta Utara, mereka terpaksa merobohkan pintu pagar kilang untuk membebaskan para pekerja. Cara-cara dengan mengunjungi kilang-kilang seperti ini (sweeping) menjadi kaedah yang sangat berkesan dalam mengumpulkan massa pekerja. Secara keseluruhan, 10,000 pekerja yang pada awalnya enggan, akhirnya mahu bergabung dengan peserta mogok yang lain.

Di kota-kota yang lain, mogok nasional juga mendapat sambutan hangat. Aksi ribuan pekerja mengepung pejabat gabenor memaksa gabenor Jawa Barat membacakan pembatalan sementara praktik outsorcing di provinsi tersebut serta merta. Sedangkan di lebih kota yang lain, pekerja menutup jalan raya, jalan masuk ke kawasan-kawasan industri, dan meraih kemenangan-kemenangan yang bermakna daripada aksi mogok ini.

KOMPLOT KAPITALIS DAN PEMERINTAH

Jika aksi mogok ini adalah satu kemajuan yang sangat penting dalam peningkatan kesedaran dan kerja-kerja organisasi pekerja di Indonesia, tentu saja ia mendapat tentangan yang hebat daripada majikan dan para kapitalis lain. Jurubicara Asian Development Bank di Indonesia mendesak pemerintah Indonesia supaya tidak patuh dengan tuntutan pekerja, kerana menurutnya outsorcing banyak manfaat bagi pengusaha, terutama bagi penjimatan kewangan syarikat. Ketua persatuan pengusaha Indonesia, Sofjan Wanandi, mengancam akan menggunakan tenaga mesin sepenuhnya di kilang-kilang jika pekerja terus menggunakan cara demonstrasi dan mogok untuk memperjuangkan tuntutannya. Para majikan mengalami jumlah kerugian yang agak besar akibat mogok tersebut. Pemerintah pula mengutuk tindakan para pekerja yang dianggap mengganggu ekonomi nasional. Dita Indah Sari, yang satu ketika dulu adalah seorang aktivis buruh yang radikal, sekarang berbalik arah menjadi juru bicara Kementerian Tenaga Kerja menyatakan, tindakan buruh melakukan mogok tidak memiliki asas yang kuat.

Walaupun ada dari golongan pekerja yang menginginkan mogok tetap diteruskan sampai 3 hari berikutnya, tetapi MPBI tanpa kesepakatan dengan pekerja mengumumkan mogok selesai pada sebelah petang.  Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada pukul 4 petang, aksi mogok dihentikan dan tidak akan ada aksi yang sama pada keesokan harinya, kerana MPBI akan melakukan dialog dengan pemerintah mengenai tuntutan-tuntutan pekerja. Mereka menjangkakan bahawa dalam dua minggu sudah ada hasil dialog tersebut.

PEMBINAAN KESATUAN SEKERJA DAN PARTI MASSA PEKERJA

Memang keraguan dari beberapa kesatuan sekerja yang lain terhadap MPBI yang dijangkakan akan membatalkan mogok telah terbukti. Walau bagaimanapun, dari semua kejayaan-kejayaan yang telah diperoleh pekerja dalam aksi mogok ini, keputusan yang dibuat oleh MPBI ini adalah langkah yang cukup mengecewakan pekerja. Langkah ini adalah cara paling berkesan di dalam melemahkan kesedaran pekerja yang telah mulai bangkit dari pengalaman-yang mereka peroleh selama mogok. Pekerja dapat melihat bahawa solidariti perjuangan terhadap penindasan kapitalis di kalangan pekerja tidak hanya terhad kepada rakan sekerja di kilang, tetapi juga sudah terjalin melintasi kilang, melintasi geografi, melintasi kesatuan sekerja, dan melintasi sektor masyarakat yang lain juga.

Memang MPBI juga memberikan amaran bahawa mereka akan menurunkan jumlah pekerja yang lebih besar dalam mogok nasional berikutnya jika tuntutan itu tidak dipenuhi dalam masa 2 minggu.  Pemerintah dalam surat pernyataannya sehari selepas mogok tersebut telah menyatakan akan mencari jalan penyelesaian yang lebih memihak pekerja. Tetapi persoalannya, apa jaminan yang tuntutan itu akan dipenuhi? Dalam surat pernyataan tersebut, pemerintah mengatakan bahawa perlu waktu lama, paling cepat setahun untuk merubah semua peraturan. Jelaslah bahawa dalam masa dua minggu tuntutan pekerja tidak akan dapat dilaksanakan. Selain itu, dalam proses perbincangan nanti tidak ada jaminan bahawa kerajaan akan memihak kepada pekerja tanpa tekanan, ancaman, dan rasuah daripada majikan supaya mengikuti kehendak mereka.

Kesiapan dan kematangan pekerja hendaknya diuji melalui kesedaran politik dan kegigihan mereka berjuang ketika berhadapan dengan kapitalis dan segala unsur yang mendukungnya, bukan ditentukan oleh segelintir pemimpin kesatuan sekerja yang tidak percaya sepenuhnya kepada kekuatan massa. Walau bagaimanapun, pekerja Indonesia yang sudah semakin sedar dengan kuasa pekerja tidak dapat diperdayakan dengan sewenang-wenangnya oleh pemerintah dan kapitalis, dan akan terus menuntut hak dan keperluan yang harus mereka peroleh. Ini juga akan menjurus kepada tuntutan pekerja kepada kepimpinan kesatuan sekerja yang persepakatan dan berlandaskan kepada hasrat pekerja dan bukannya tunduk kepada desakan kapitalis dan pemerintah. Aksi mogok ini juga menunjukkan bahawa kelas pekerja Indonesia juga telah mula sedar bahawa perubahan pemerintah demi pemerintah sahaja tidak cukup untuk memperoleh perubahan sosial dan ekonomi yang tulen, sedangkan kerangka sistem kapitalis yang mendukung diskriminasi ke atas hak dan keperluan terus dipertahankan oleh pemerintah Indonesia.

Manakala, menurut
Asian Development Bank minggu ini ekonomi pasaran bebas Indonesia telah mula menampakkan kemerosotan akibat krisis ekonomi global, dan ini sudah tentu akan terus menekan keperluan dan hak kelas pekerja dan rakyat miskin.  Ini menekankan kepada keperluan pembinaan parti massa pekerja yang mendukung hasrat pekerja untuk melakukan perubahan ke atas sistem kapitalisme yang mementingkan keuntungan maksimum segelintir golongan pemodal nasional dan antarabangsa kepada sistem sosialisme untuk memaksimumkan demokrasi, hak dan keperluan kelas pekerja dan rakyat miskin.  

No comments: