Wednesday, 11 December 2013

KESATUAN SEKERJA YANG KUAT PERLU UNTUK MEMPERJUANGKAN HAK PEKERJA


Kesatuan sekerja adalah satu-satunya pertubuhan untuk mewakili hak dan kebajikan warga pekerja. Ia berupaya menggabungkan pekerja tanpa mengira kaum, agama, jantina, budaya dan asal usul negara dengan satu matlamat yang sama untuk meningkatkan keperluan dan mempertahankan hak pekerja. Kesatuan memastikan tindakan kolektif pekerja dalam membawa tuntutan dan hasrat mereka kepada majikan di tempat kerja. 

Kekuatan kesatuan bergantung pada keahlian dan sokongan pekerja, dan juga kepimpinan kesatuan yang telus dan ikhlas dalam memperjuangkan hak pekerja. Selain merekrut pekerja tempatan, kesatuan juga harus mengatur langkah untuk merekrut pekerja-pekerja asing untuk melawan taktik buruh murah dan ‘pecah dan perintah’ majikan. Ini perlu untuk meningkatkan hak dan kebajikan pekerja asing, dan juga memastikan pekerja asing tidak dipergunakan sebagai kuda tunggangan untuk menghakis hak pekerja tempatan.  

Pekerja akan menyokong kesatuan jika kesatuan mampu memberikan manfaat kepada hak dan kebajikan pekerja. Manakala kepimpinan kesatuan harus selalu berbincang dengan ahli dan mendengar pandangan mereka tentang isu-isu pekerjaan, dan dalam mengatur langkah-langkah penyelesaian untuk memastikan kesatuan beroperasi berlandaskan prinsip demokrasi. Manakala, kepimpinan kesatuan kebangsaan pula harus selalu ‘turun padang’ berjumpa dengan cawangan dan ahli-ahli kesatuan serta harus peka kepada tuntutan dan hak pekerja. Pada masa yang sama, jika kepimpinan kesatuan mengikut desakan majikan atau sanggup membelakangkan kesatuan untuk kepentingan peribadi, ahli-ahli kesatuan harus berhak untuk memanggil mesyuarat tergempar untuk menukar kepimpinan.

Kesatuan sekerja yang biasanya berlandaskan kepada ciri-ciri pekerjaan tertentu perlu diperkuatkan melalui tindakan-tindakan bersama di antara pekerja kilang-kilang atau syarikat-syarikat di bawah naungannya atau bersama kesatuan-kesatuan di sektor pekerjaan yang lain untuk memperkuatkan solidariti serta mempertahankan hak dan kebajikan bersama. Hubungan dengan pekerja atau kesatuan di rantau Asia Tenggara atau secara antarabangsa juga harus dijalinkan, bukan hanya untuk perbincangan isu-isu pekerja sahaja, tetapi juga dalam mengatur tindakan-tindakan solidariti untuk perjuangan-perjuangan pekerja. Hubungan antarabangsa di antara kesatuan juga boleh digunakan untuk mengorganisasikan pekerja asing.  

Selain membawa isu-isu pekerjaan di tempat kerja seperti kenaikan gaji, keselamatan kerja dan manfaat-manfaat pekerjaan lain, kesatuan juga perlu mengatur langkah dalam isu-isu undang-undang, sosio-ekonomi serta keputusan politik yang secara langsung atau tidak langsung akan mempengaruhi kehidupan warga pekerja dan keluarga mereka. Misalnya, kenaikan harga barangan asas, harga rumah tidak mampu milik, GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan lain-lain yang akan mempengaruhi taraf kehidupan warga pekerja.  

Di Malaysia, lebih 90 peratus pekerja tidak ada kesatuan. Manakala kesatuan-kesatuan yang ada agak lemah disebabkan kepimpinan kesatuan yang tidak memihak kepada keperluan dan hak pekerja. Untuk memperkuatkan kesatuan sekerja  di negara ini, satu kepimpinan kesatuan yang sanggup berjuang untuk kelas pekerja dengan perspektif dan strategi yang jelas untuk memperkuatkan kesatuan perlu dibina.    

Ravi

No comments: