Saturday, 23 June 2012

INDONESIA: PENINGKATAN PROTES KELAS PEKERJA DAN RAKYAT MISKIN UNTUK MENUNTUT HAK SOSIAL DAN EKONOMI


PROTES KENAIKAN HARGA MINYAK DI INDONESIA: “KEMENANGAN” BAGI PARA DEMONSTRAN


        Penentangan masyarakat Indonesia terhadap agenda pemerintah untuk menghapuskan subsidi Bahan Bakar Minyak (BBM) atau petrol pada akhirnya memperoleh “kemenangan”. Tekanan yang dilakukan oleh pekerja, pelajar, masyarakat miskin perkotaan di jalan raya selama dua minggu dan ianya menular ke pelbagai kota di Indonesia telah memaksa Dewan Perwakilan Rakyat (DPR/parlimen) mengambil keputusan untuk menunda kenaikkan harga BBM yang dirancang  pada 1 April 2012. Namun yang mesti diingat, ini hanya merupakan kemenangan sementara sahaja, kerana keputusan yang dipersetujui tersebut hanya berkuatkuasa setidaknya sampai 6 bulan ke depan. Salah satu perkara yang dipersetujui menghendaki kerajaan tidak menaikkan BBM selama 6 bulan jika harga minyak dunia tidak naik melebihi US$120 setong. Keputusan ini juga layak dikritik kerana ianya dianggap hanya sebagai jalan tengah untuk meredakan kemarahan rakyat yang menginginkan kenaikan harga minyak dibatalkan sepenuhnya, bukan ditunda. Apalagi, keputusan tersebut menyerahkan dasar subsidi pemerintah kepada pasaran terbuka yang dikuasai oleh kapitalis antarabangsa.
Dalam persidangan bajet di DPR tahun lepas, memang telah dipersetujui untuk mengurangkan subsidi minyak yang dianggap membebankan kewangan negara. Alasan pemerintah Indonesia hendak menaikkan harga minyak ialah kerana krisis ekonomi dunia yang semakin tenat. Krisis yang menghentam dua kuasa ekonomi kapitalis dunia, Eropah dan Amerika Syarikat menyebabkan perdagangan Indonesia melalui eksport dengan kedua-dua kuasa tersebut mengalami penurunan. Alasan lain yang dikemukakan oleh pemerintah ialah ketegangan politik yang berlaku di Timur Tengah, terutama Iran yang dituduh memiliki kuasa nuklear dan mendapat tekanan dari negara-negara Barat. Ketegangan tersebut menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak naik. Jika krisis ekonomi berterusan dan ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak, maka tidak mustahil harga minyak dunia akan meningkat melebihi 15%. Jika keadaan tersebut berlaku, pemerintahan SBY akan memberhentikan subsidi minyak dan menaikkan harga petrol sebanyak 30% atau menjadi 6,000 Rupiah (lebih kurang RM2), atau naik sekitar 1,500  Rupiah (50 sen) satu liter. Ini bermakna, keputusan yang diambil melalui voting di DPR tersebut menjadi sia-sia.
Walaubagaimanapun, rakyat Indonesia mesti berterima kasih kepada demonstran yang gigih berjuang di jalan raya menentang kenaikan harga minyak. Jika bukan kerana  penentangan yang hebat dari mereka, sudah pasti pemerintah dengan sewenang-wenangnya menetapkan dasar pemansuhan subsidi tanpa menghiraukan kepayahan hidup masyarakat. Kenaikan harga minyak sangat membebankan masyarakat yang belum pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang teruk melanda negara pada tahun 1997. Tidak menghairankan jika dalam suatu kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 90% masyarakat Indonesia menolak kenaikan harga BBM.
Meskipun secara statistik dan analisis lembaga ekonomi dunia menyatakan bahawa ekonomi Indonesia semakin pulih, mengalami pertumbuhan yang cukup baik, dan dijangka menjadi kuasa ekonomi terbesar di rantau ini pada masa hadapan, namun kenyataannya taraf kehidupan rakyat biasa masih di tampuk lama. Bantahan dan protes terutama yang dilakukan oleh golongan pekerja menuntut kenaikan upah menjadi fenomena yang biasa berlaku, terutama di kota besar seperti Jakarta yang memiliki kos biaya hidup yang amat tinggi. Awal tahun 2012,  ribuan pekerja di Bekasi dan Tangerang, kota yang terletak di pinggir Jakarta, telah melakukan bantahan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan tindakan persatuan pengusaha dan majikan yang ingin membatalkan penguatkuasaan undang-undang mengenai kenaikan jumlah gaji minima di dua kota tersebut. Mereka turun ke jalan raya selama berhari-hari dan berjaya menutup jalan tol sehingga mematikan aktiviti ekonomi di kilang-kilang tempat mereka bekerja. Akibatnya, pekerja menang dalam penentangannya terhadap golongan kapitalis majikan dan pengusaha.
Protes di Mana-mana
        Belajar dari pengalaman itu, kali ini ribuan buruh kembali turun ke jalan dan juga melakukan perkara yang sama, menutup pintu jalan tol. Perkembangan menarik mengenai aksi kali ini, ia tidak hanya dilakukan di pejabat-pejabat pemerintah atau bangunan parlimen, tetapi juga di tempat-tempat kemudahan awam seperti jalanraya, jalan tol, pusat membeli belah, hentian kereta api, stesen minyak, dan airport. Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan aksi sebegini, menganggap ianya hanya menyusahkan orang ramai yang hendak menggunakan jalan. Mereka selalu mempertanyakan, tidak adakah cara yang lebih baik untuk protes tanpa mengganggu kepentingan awam? Tetapi mereka tidak berani bertanya, realiti hidup seperti apakah yang dihadapi oleh pekerja dan masyarakat miskin yang lain sehingga mereka berani bertindak sedemikian? Bagi golongan buruh dan masyarakat miskin terpinggir, protes di jalanraya untuk melumpuhkan aktiviti kapitalisme adalah satu-satunya cara yang paling berkesan untuk kemenangan mereka. Hal ini dibuktikan sekali lagi dalam isu menjelang agenda kenaikan harga minyak pada 1 April 2012.
Bantahan kali ini melibatkan golongan masyarakat yang lebih luas dan menempuh cara yang lebih radikal. Golongan mahasiswa/i yang selama ini bergerak dengan isu lokal, kali ini bergabung dengan unsur masyarakat yang lain menentang agenda kenaikan harga minyak secara nasional. Di pelbagai kota besar mereka merupakan kekuatan utama yang melawan dasar pemerintah ini. Bahkan golongan Islam seperti Hizbut Tahrir yang selama ini tidak pernah  menyentuh isu ekonomi dalam setiap aksi mereka, tertekan untuk ikut turun ke jalan.
Menurut data sebuah akhbar nasional Kompas, pada bulan Mac sahaja, terdapat 1063 aksi membantah kenaikan harga minyak, jauh meningkat daripada bulan-bulan sebelumnya (Januari: 12 bantahan, Februari:16 bantahan) (Kompas 2/4/2012). Sebanyak 29 daripada aksi tersebut berakhir dengan rusuhan. Aksi bantahan ini melibatkan tidak kurang daripada 92 organisasi dan 81,000 massa di seluruh Indonesia. Kota-kota yang sebelumnya jarang terdapat demonstrasi, kali ini masyarakatnya ikut turun ke jalanraya. Dalam jangka masa 26-30 Mac sahaja, aksi bantahan terjadi di 44 buah kota (Kompas/1/4/2012).
Di Jakarta, sekumpulan mahasiswa/i menduduki stesen-stesen minyak. Di Yogyakarta, masyarakat menduduki jalan rel kereta api menyebabkan jadual ketibaan dan keberangkatan kereta api terganggu. Di Makassar, mahasiswa/i menduduki komplek membeli belah dan restoran-restoran McDonald sebagai protes terhadap penindasan kapitalisme. Dan hampir di setiap kota tempat berlakunya demonstrasi, masyarakat menduduki jalanraya dan mereka berhadapan secara langsung dengan polis. Mereka berkonfrantasi dengan pihak Polis yang hendak menyuraikan mereka. Tidak cukup dengan gas pemedih mata, polis juga menggunakan kekerasan. Puluhan daripada mereka terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, walaupun tidak ada laporan kematian. Namun mereka pantang berundur. Sebanyak 523 demonstran terluka, sedangkan dari pihak polis 210 orang dalam konfrantasi tersebut. Keseluruhan demonstran yang ditangkap ialah 750 orang, tetapi sebahagian besar dibebaskan. (Kompas 1/4/2012).
Aksi penentangan yang berlaku selama lebih dari seminggu tersebut mencapai puncaknya pada 29 Mac 2012, ketika ahli DPR bersidang untuk memutuskan sama ada hendak menaikkan harga minyak atau tidak. Massa yang berdemonstrasi di depan bangunan DPR berjaya merobohkan pagar bangunan parlimen dan membuat coretan-coretan tanda protes. Aksi tersebut hanya berjaya dibubarkan oleh polis lewat tengah malam pada 30 April setelah sidang di dalam bangunan DPR memutuskan menunda kenaikan BBM.
Keadaan tersebut sangat jauh berbeza dengan apa yang berlaku dalam persidangan di DPR/parlimen. Sidang yang disiarkan secara langsung oleh dua buah TV swasta dan berlangsung sampai lewat malam itu menjadi tempat untuk menunjukkan kepahlawanan ahli politik dan menaikkan citra parti masing-masing, siapa yang lebih membela rakyat. Walaupun semua keputusan dibuat di dalam sidang DPR, namun protes dan tekanan yang dilakukan masyarakat di hampir seluruh pelusuk Indonesia ikut mempengaruhi hasil persidangan tersebut. Masyarakat tahu, siapa pahlawan yang sesungguhnya.
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tulisan ini, keputusan untuk menunda kenaikan harga minyak hanya berlaku selama 6 bulan sahaja. Jika krisis ekonomi dunia semakin tenat dan ketegangan di kawasan Timur Tengah semakin hebat, maka harga minyak boleh naik bila-bila masa dan pemerintah Indonesia pun akan cuba menghapuskan subsidi untuk rakyat Indonesia. Ini akan menjadi momentum yang sangat tepat bagi penyatuan gerakan massa Indonesia melalui jalan raya untuk menundukkan elit politik yang membela sistem kapitalisme. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh bantahan terhadap agenda kenaikan harga minyak ini, rakyat biasa pun boleh menang di jalan raya. Tetapi, kemenangan mutlak untuk rakyat biasa hanya akan menjadi kenyataan dengan menundukkan sistem kapitalisme. Ini memerlukan pembinaan parti massa kelas pekerja dan rakyat biasa yang mendukung perjuangan dan hak mereka untuk membina alternatif kepada sistem kapitalisme. 



Iyan, CWI Malaysia

No comments: