Sunday, 24 June 2012

ANAK MUDA DAN POLITIK

ANAK MUDA HARUS MEMBINA POLITIK ALTERNATIF UNTUK KELAS PEKERJA DAN RAKYAT BIASA

 

     Politik sepatutnya adalah suatu aktiviti di mana orang ramai boleh memainkan peranan dalam mewujudkan, memelihara dan merangka perancangan secara kolektif untuk meningkatkan keperluan dan untuk memanfaatkan kehidupan bersama. Ini bermakna, politik adalah satu aktiviti sosial yang menitikberatkan kerjasama dan tindakan secara kolektif dalam masyarakat untuk merangka penyelesaian kepada masalah atau konflik tertentu. Tetapi, dalam sistem kapitalisme, politik semata-mata ‘diswastakan’ kepada parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin mereka untuk kepentingan sendiri.  

Politik semata-mata dipergunakan oleh parti-parti politik tersebut untuk mempengaruhi rakyat bagi membolehkan mereka berkuasa. Manakala pemimpin-pemimpin politik pula lebih berminat untuk meningkatkan kerjaya serta kekayaan mereka dengan nama ‘Wakil Rakyat’ dan ‘Yang Berhormat’. Dalam kerangka sistem politik sebegini, rakyat biasa tiada ruang untuk membahaskan agenda politik, dan mereka dipaksa untuk menjadi pak turut kepada agenda parti dan pemimpin. Mereka hanya diperalatkan untuk meraih undi ketika musim pilihan raya. Parlimen pula hanyalah gelanggang untuk merealisasikan agenda politik parti-parti pemerintah dan pembangkang tanpa melibatkan hasrat dan keperluan sebenar rakyat biasa.

Manakala rakyat biasa dan anak muda yang dipinggirkan pula merasakan politik itu jijik dan tidak berlandaskan kepada hasrat dan keperluan mereka. Rakyat biasa terus dibelenggu dengan masalah ekonomi dan sosial yang tidak mendapat penyelesaian dengan ‘politik’ pemimpin-pemimpin politik yang dipilih oleh mereka. Ini bermakna, pemimpin politik lebih berminat untuk menggariskan polisi ekonomi dan sosial masyarakat berlandaskan politik yang didukung oleh mereka tanpa mempedulikan hasrat dan keperluan rakyat yang memilih mereka. Pendek kata, agenda sistem kapitalisme menentukan budaya dan halatuju  politik mereka.

Apabila rakyat tidak dapat bertahan dengan penindasan ekonomi dan sosial yang berlandaskan kepada politik pro-kapitalisme rejim pemerintah, mereka tiada pilihan lain selain berjuang secara kolektif terhadap rejim tersebut. Anak muda sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan-perjuangan sedemikian di serata dunia. Di Jakarta pada tahun 1998 pada era Reformasi, mahasiswa di Indonesia telah bersatu dengan  rakyat biasa dan turun ke jalanan untuk menghumbankan rejim korup pimpinan Suharto. Meskipun ada mahasiswa yang terkorban, Suharto yang telah menjadi Presiden Indonesia selama berpuluh-puluh tahun melalui kudeta dan mengekalkan kuasanya melalui penipuan pilihanraya telah berjaya ditumbangkan melalui demokrasi jalan raya. Anak muda di Indonesia telah membuktikan kepada dunia bahawa kuasa anak muda ini jika digabungkan dengan rakyat biasa adalah lebih kuat daripada kuasa sebuah rejim yang korup berserta dengan seluruh bala tenteranya.

Begitu juga di China pada tahun 1989. Anak muda telah berhimpun di Dataran Tiananmen di Beijing, menuntut agar China menjadi sebuah negara yang lebih demokratik. Hasilnya, ramai anak muda telah terkorban dan ditangkap oleh rejim tersebut. Ada juga yang telah digilis dengan kereta kebal. Walaupun mereka gagal dalam matlamat mereka untuk menuntut pembaharuan yang radikal untuk mengambil tempat di China tetapi secara dasarnya, mereka telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa anak muda tidak gentar kepada tekanan serta ugutan mana-mana rejim yang zalim. Dan jika darah merupakan harga yang perlu dibayar untuk mengecapi erti sebuah demokrasi, mereka bersedia untuk mengorbankan diri mereka. Senario yang sama juga mengambil tempat dalam Revolusi Arab yang melanda Timur Tengah pada tahun lalu. Dunia dipaparkan dengan imej-imej anak muda bertempur dengan polis anti-rusuhan dan tentera dalam usaha mereka untuk menggulingkan diktator-diktator seperti Zine Abidin Ben Ali yang berjaya digulingkan di Tunisia, Muammar Gaddafi di Libya dan Hosni Mubarak di Mesir.

Begitu juga dengan keperluan anak muda dan mahasiswa/i di negara kita yang ditentukan oleh  agenda-agenda politik kerajaan. Ini memberi kesan secara langsung kepada mereka. Dasar ekonomi dan sosial yang dirangka oleh kerajaan misalnya sudah tentu memberi kesan kepada anak muda dan mahasiswa/i juga. Walaupun, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikatakan telah diubahsuai, tetapi masih wujud gertakan daripada kerajaan dan pentadbiran universiti untuk menghalang penglibatan pelajar secara langsung ke dalam politik. Sepatutnya universiti adalah medan untuk mahasiswa/i untuk mengembangkan bakat kepimpinan mereka. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, anak muda telah dibantutkan pemikiran mereka dan dipaksa agar menerima agenda-agenda nasionalisme dan kapitalisme yang dicanangkan oleh UMNO dan BN, dan mereka tidak dibenarkan untuk meluahkan pandangan yang menentang dan mengkritik agenda-agenda kerajaan tersebut.

Anak muda dan mahasiswa/i di Malaysia mempunyai peranan penting dalam membawa perubahan dalam sosio-ekonomi masyarakat termasuk menuntut hak demokrasi dan kebebasan bersuara. Anak muda dan mahasiswa/i perlu bersatu dan bangkit seperti ketika zaman ‘Mahasiswa Menggugat’ pada era awal 70-an dahulu. Anak muda dan mahasiswa/i perlu sedar yang mereka mempunyai kuasa yang tidak boleh ditumbangkan andainya mereka bersatu dengan masyarakat. Dalam sistem kapitalisme, keperluan-keperluan asas majoriti masyarakat dianaktirikan, manakala golongan minoriti semakin hari semakin ghairah dalam menggondol kekayaan negara. 

Sejarah dan pengalaman perjuangan sebelum ini telah membuktikan bahawa anak muda boleh merencanakan aspirasi sesebuah masyarakat dengan mendukung hasrat dan keperluan mereka. Anak muda kebanyakannya berpaksikan kepada sifat anti-korupsi serta ingin menegakkan keadilan sosial dan menghapuskan kezaliman dan penindasan. Tetapi mereka juga harus faham bahawa politik pro-kapitalisme yang mengagung-agungkan keuntungan maksimum dan kuasa mutlak sistem pasaran bebas adalah punca utama kepada segala masalah sosial dan ekonomi yang sedang melanda dunia pada masa kini. Jika mahu membentuk  masa depan sesebuah masyarakat maka generasi anak muda perlu memahami hasrat masyarakat tersebut dan membina politik alternatif yang berlandaskan kepada keperluan rakyat biasa.


No comments: