KAPITALISME DALAM KRISIS !!!
KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA
HARUS BERSATU UNTUK PERUBAHAN TULEN
Satu
Mei atau Hari Buruh menyingkap kembali hasil-hasil keringat perjuangan kelas pekerja
di seluruh dunia. Malah hampir di
seluruh dunia 1 Mei disertai dengan pelbagai perarakan besar-besaran sempena memperingati
kemenangan perjuangan buruh sebelum ini serta untuk memperkuatkan
langkah-langkah untuk perjuangan hak pekerja masa kini dan di masa hadapan. Ini perlu memandangkan penindasan dan penganiayaan
yang bermacam-macam bentuk terhadap pekerja masih berterusan dan semakin
bermaharajalela. Perjuangan 1 Mei pada asalnya yang menuntut 8 jam bekerja, 8
jam beriadah dan 8 jam berehat, masih tidak dapat dikecapi oleh ramai pekerja kerana
dibelenggu dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan taraf hidup.
Di Malaysia,
pencabulan hak pekerja dan hak kesatuan sekerja masih berterusan: undang-undang
buruh diubah sewenang-wenangnya mengikut kehendak kapitalis; serangan ke atas
hak kesatuan sekerja dan pemimpin pekerja semakin meningkat; ramai pekerja
dibayar gaji rendah yang tidak berlandaskan kepada inflasi; hak pekerja migran
terus dianaktirikan dan dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya. Pada
realitinya, keuntungan yang dijanakan oleh kelas pekerja tidak dapat dikecapi
oleh mereka. Manakala, kapitalis-kapitalis pula terus dibenarkan mengaut
keuntungan maksimum dengan mengeksploitasi hak dan kebajikan pekerja.
GAJI
MINIMUM HARUS BERLANDASKAN KADAR INFLASI
Walaupun kerajaan berhasrat mengumumkan gaji minimum,
tetapi gaji minimum yang tidak berlandaskan kepada inflasi tidak akan membawa
perubahan sebenar untuk meningkatkan taraf hidup pekerja. Penetapan kadar gaji
minimum oleh kerajaan tidak mengambil kira hasrat dan keperluan asas pekerja,
tetapi lebih kepada kepentingan golongan kapitalis. Bas yang mengambil
penumpang tidak akan bergerak selagi pemandu bas itu tidak menghidupkan
enjinnya; mesin di kilang tidak akan berfungsi selagi pekerja kilang yang
menghidupkan mesin itu tidak bertugas; malah bank tidak akan beroperasi selagi
pekerja bank tidak menghidupkan komputer dan berurusan dengan pelanggan.
Maka, kelas
pekerja berhak menentukan hala-tuju dan masa depan negara kita kerana merekalah
bertungkus-lumus siang dan malam dalam proses pembinaan dan pembangunan negara kita.
Justeru itu hasrat dan keperluan mereka harus ditentukan dengan penglibatan
mereka, dan bukannya diumpukkan mengikut kehendak kerajaan dan kapitalis. Manakala
undang-undang, polisi atau akta sahaja tidak cukup, jika pelaksanaan tidak berkesan
dan ruang dibenarkan untuk pihak kapitalis untuk terus mencabul dan menindas
hak pekerja. Ini seperti apa yang berlaku ke atas hak berkesatuan sekerja. Walaupun
ada akta kesatuan sekerja, tetapi banyak kilang dan syarikat masih tidak
membenarkan penubuhan kesatuan sekerja. Akta gaji minimum juga akan menghadapi
situasi yang sama jika ianya diwujudkan hanya untuk mendapatkan undi kelas
pekerja di pilihan raya yang akan datang.
PENGANIYAAN
PEKERJA MELALUI SKIM KONTRAK
Isu pekerja kontrak masih berleluasa di sektor swasta dan
juga di syarikat-syarikat multi-nasional. Beberapa siri protes dianjurkan oleh
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC ), berkenaan dengan pindaan akta kerja
1955, yang akan membuka pintu yang luas untuk penindasan dan penganiayaan
terhadap pekerja kontrak. Di bawah pindaan ini, para kontraktor akan
diberi kontrak untuk menyediakan tenaga pekerja dengan kos yang rendah. Maka, pekerja adalah tanggungjawab pihak
kontraktor, bukannya pihak majikan. Dengan cara ini, pekerja juga akan didesak
untuk menerima gaji yang rendah tanpa mendapat faedah-faedah pekerjaan yang lain.
PERJUANGAN
HAK WANITA ADALAH PERJUANGAN KELAS PEKERJA
Hak wanita belum mendapat tempat di
kalangan pekerja sendiri secara meluas.
Ada yang tidak tahu bahawa wujud hak wanita di tempat pekerja. Kebarangkalian pekerja wanita yang menerima
gaji yang rendah adalah tinggi walaupun kerja yang dilakukan sama seperti yang
dilakukan oleh pekerja lelaki. Bagi yang
hendak bersalin , cuti yang diluluskan cuma 30-60 hari walhal mereka sepatutnya
mendapat 90 hari cuti tanpa pemotongan gaji.
Ramai di antara wanita terpaksa berhenti bekerja kerana cuti bersalin
yang tidak cukup dan kadang-kala terpaksa bekerja walaupun dalam keadaan lemah
selepas bersalin. Untuk pekerja yang
berkeluarga semestinya memerlukan belanja yang besar menampung perbelanjaan
seharian.
Pusat jagaan di tempat kerja
perlu diwujudkan di tempat bekerja dan para ibu wajib mendapat perkhidmatan
berkualiti. Gangguan seksual terhadap
wanita masih wujud di tempat kerja walaupun ada undang-undang yang
menghalangnya. Di tempat kerja, wanita
yang melaporkan kes seumpama itu biasanya tidak diambil tindakan dan paling
serius pun dikenakan surat amaran dan juga tiada jaminan hal tersebut tidak
akan berulang. Tuntutan sedemikian harus
diambil perhatian oleh pihak Kesatuan dan menghubungkaitkan dengan perjuangan
kelas pekerja secara umumnya.
KESATUAN
SEKERJA DAN ANAK MUDA
Penyertaan dalam kesatuan sekerja pada umumnya amat
rendah iaitu dalam sekitar 7-8 peratus. Manakala, tidak semua sektor pekerjaan
yang mempunyai Kesatuan Sekerja untuk memperjuangkan hak pekerja, dan ada
sektor yang langsung tiada Kesatuan seperti pekerja pembinaan, pekerja restoran/
kedai makanan dan pengawal keselamatan. Manakala kesatuan dalaman kilang yang
dilantik terus oleh pihak pengurusan digunakan oleh majikan untuk mengkongkong
kebebasan dan hak pekerja. Sejak Mac 2008, tidak boleh dinafikan munculnya
ramai generasi anak muda yang sedar dan mengambil tahu masalah masyarakat
secara umumnya.
Kesedaran mereka bukan datang secara spontan tetapi melalui
pelbagai pengalaman, pemerhatian dan analisa. Tidak kurang juga sudah terlibat
dalam isu-isu masyarakat seperti isu peneroka bandar di beberapa penempatan di
sekitar Lembah Kelang. Tetapi landasan dan pendirian yang diambil oleh mereka yang
menjurus kepada isu-isu yang melibatkan hak-hak demokrasi memerlukan gabungan
dengan kelas pekerja untuk mencapai perubahan tulen. Setelah tamat pengajian, pelajar juga akan
memasuki alam pekerjaan. Peratusan golongan muda menyertai Kesatuan Sekerja
adalah sangat kecil. Rata-rata anak muda berasal daripada keluarga yang
membanting tulang dan ada yang bekerja untuk membayar balik hutang pinjaman
pendidikan. Mereka ini selalu dianiaya melalui pemberian gaji yang rendah,
kontrak kerja yang singkat iaitu 1-2 tahun.
Jarang sekali mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap dan terpaksa
bersaing dengan puluhan graduan baru untuk mencari pekerjaan baru.
Ketiadaan
Kesatuan yang bebas dan sanggup berjuang demi kepentingan pekerja semua lapisan
masyarakat membantut penglibatan pekerja muda untuk menyuarakan pendapat dan masalah yang dihadapi di tempat kerja. Ada yang tidak
pernah dengar perkataan Kesatuan Sekerja dan tidak kurang juga yang beranggapan
negatif tentang Kesatuan kerana langsung tidak memainkan peranan aktif dalam
isu pekerja secara amnya. Justeru itu adalah juga penting untuk membina
kesatuan sekerja yang demokratik serta sanggup memperjuangkan hak-hak pekerja
untuk menarik generasi pekerja masa kini untuk menyertai kesatuan sekerja.
KERAKUSAN
SISTEM KAPITALISME PUNCA GEJALA SOSIAL
Kewujudan pelbagai masalah sosial
yang berterusan tanpa adanya penyelesaian yang positif untuk menangani
punca-punca masalah ini. Masalah-masalah
pecah-masuk rumah, rompakan dan ragut berakar-umbi dari masalah pengagihan
ekonomi. Selalunya yang terlibat adalah
mereka yang berasal dari persekitaran penduduk yang dekat dengan kilang
perindustrian, peneroka bandar dan pinggir kota. Kebanyakan berasal dari keluarga yang bekerja
12 jam sehari atau lebih untuk mendapat belanja tambahan untuk menampung
keperluan seharian.
Harus ditekankan di sini, bahawa persekitaran tempat
tinggal dan kebendaan yang dimiliki memainkan peranan yang penting dalam
menentu keadaan hidup masing-masing.
Ianya bergantung sama ada pengagihan ekonomi yang adil dan saksama dilaksanakan
atas dasar kepentingan dan keperluan asas untuk kelas pekerja dan rakyat biasa.
Tetapi, kerajaan yang pro-kapitalis yang menjadi kuda tunggangan
kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa tidak berupaya untuk melakukan
perubahan tersebut.
SISTEM
KAPITALISME DALAM KRISIS
Kapitalisme
kini dalam krisis, dan krisis yang dibawa oleh golongan kapitalis, kini
dibebankan ke atas pekerja dengan serangan ke atas hak dan kebajikan pekerja
dengan nama untuk menyelamatkan sistem kapitalisme itu sendiri. Krisis ekonomi
yang bermula tahun 2008 masih belum menunjukkan tanda-tanda pulih seperti
biasa. Krisis yang bermula di Amerika Syarikat, di mana jatuhnya salah satu
gergasi kewangan antarabangsa, Lehman Brothers dan beberapa bank di sekitar
Wall Street. Kemudian merebak ke Eropah
(Ireland, Greek, Itali, Sepanyol dll), dan negara kaya seperti Iceland pada
satu ketika diisytiharkan muflis kerana tidak mampu membayar hutang negara
tersebut.
Perancis, yang dilihat selamat daripada wabak krisis ini dan sekutu
kuat German, negara gergasi ekonomi Eropah telah mula menampakkan tanda-tanda kemelesetan
ekonomi. Di China, yang diwarwarkan sebagai salah sebuah gergasi ekonomi Asia
pada suatu ketika telah mencatatkan KDNK
( Keluaran Dalam Negara Kasar ) 2 angka, kini telah turun ke angka tunggal
iaitu 8 peratus baru-baru ini. Di Malaysia sendiri, kadar hutang negara berbanding
dengan KDNK semakin meningkat walaupun kerajaan cuba menggambarkan keadaan
ekonomi masih tidak tenat.
KELAS
PEKERJA PENGEMUDI UNTUK PERUBAHAN TULEN
Era yang sedang dilalui pada masa
kini amat penting untuk gerakan pekerja terutamanya dalam suasana ekonomi dunia
yang tidak menentu. Sebagai penggerak
utama ekonomi negara, sudah tentu mereka menerima tempias terus jika ekonomi
bertambah buruk. Penyertaan pekerja ke
dalam Kesatuan hendaklah dititik-beratkan kerana melalui Kesatuan, pekerja
boleh menyuarakan pendapat secara bebas dan memperjuangkan kepentingan pekerja
sehingga ke garisan terakhir. Perpaduan
pekerja melalui kesatuan antara sektor juga perlu disulam lebih erat untuk
berjuang menentang penindasan dan penganiayaan terhadap pekerja.
Dimana-mana gerakan, sememangnya memerlukan
sokongan dan kerjasama yang berkesan daripada golongan pekerja dan tertindas
lain pelajar, anak muda, petani, nelayan dan orang asal. Kesatuan sekerja harus mengurangkan birokrasi
dan merangka program yang membolehkan golongan muda menyertai Kesatuan. Dalam politik tanah air, masalah golongan
pekerja dan tertindas lain jarang diberi perhatian umum. Maka, perjuangan golongan pekerja dan golongan
tertindas yang lain harus dimantapkan untuk perubahan tulen.
Perjuangan
untuk perubahan sosial dan ekonomi yang tulen memerlukan perubahan sistem
kapitalisme yang berlandaskan keuntungan maksimum. Untuk ini kelas pekerja perlu
membina parti massa kelas pekerja yang juga menggabungkan anak muda dan
golongan tertindas yang lain sebagai landasan untuk mengubah sistem kapitalisme
kepada demokratik sosialisme yang perlu untuk memaksimumkan hak dan keperluan
rakyat biasa serta menjamin pemeliharaan alam persekitaran untuk generasi masa
kini dan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment