Perjuangan gerakan sosialis menekankan organisasi sosialis dibina bersandar perspektif antarabangsa. Pertimbangan ini mengambil kira proses globalisasi yang membolehkan negara-negara yang berjauhan didekatkan dengan teknologi dan infrastruktur yang moden. Secara tidak langsung, dari segi perdagangan setiap negara saling berkait rapat dengan barang keperluan domestik masing-masing. Setiap Julai, Jawatankuasa Untuk Pekerja Antarabangsa atau CWI mengadakan persidangan di Belgium bagi mengumpulkan pengalaman dan hasil kerja cawangan atau kumpulan gabungan lebih daripada 40 buah negara di seluruh dunia. Sosialis Alternatif (Malaysia), wakil tunggal dari rantau Asia Tenggara turut berpeluang menyertai persidangan ini.
Persidangan ini dimulakan dengan keadaan krisis ekonomi dunia yang parah dan kian merebak ke benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Krisis sistem ekonomi kapitalis ini mencatatkan lebih dua per tiga ditakrifkan sebagai miskin atau berpendapatan rendah daripada 7.6 billion jumlah penduduk dunia. Manakala, sebanyak 85 keluarga mempunyai kekayaan yang sama jumlah keperluan untuk setengah penduduk miskin dunia.
Alam sekitar di dalam sistem kapitalis juga menerima kesan berikutan kajian Pertubuhan Pelaburan Alam Sekitar, hanya 800 syarikat multinasional menyumbang sebahagian besar daripada pelepasan gas rumah hijau ke bumi. Perubahan iklim global secara mendadak memberi kesan yang besar kepada negara-negara miskin yang kebanyakannya bergantung kepada sektor pertanian akan berdepan dengan masalah tanah yang tidak subur akibat pencemaran daripada industri besar milik kapitalis yang jarang diheret ke muka pengadilan.
Krisis kemelesetan ekonomi yang berterusan di Eropah yang tiada penyelesaiannya memaksa rakyat biasa bergantung kepada kuasa mereka sendiri iaitu mogok, demonstrasi bagi menzahirkan kemarahan mereka terhadap kepincangan sistem kapitalis yang kononnya terbaik dalam sejarah tamadun manusia. Hasilnya, kemunculan gerakan rakyat di beberapa negara yang teruk dilanda krisis seperti TUSC (Trade Union and Socialist Coalition) di Britain dan Anti Austerity Alliance (AAA) di Ireland yang turut disertai CWI dalam membina gerakan rakyat biasa yang terdiri daripada kesatuan sekerja, anak muda serta etnik minoriti yang tertindas berganding bahu melawan dasar-dasar pemerintah pro-kapitalis yang cuba memaksa rakyat untuk menanggung kesengsaraan akibat krisis yang disebabkan oleh kapitalis sendiri.
Keadaan ini sudah merebak ke Utara Eropah seperti rantau Scandinavia juga melaksanakan dasar pemotongan perbelanjaan awam terutamanya pendidikan percuma yang dinikmati dan menjadi teladan kepada seluruh dunia. Kerelevan sistem kebajikan ala-Scandinavia juga dipersoalkan dalam krisis ini , dimana model negara kebajikan ini hanya berfungsi dengan baik sekiranya keadaan ekonomi global stabil tetapi hancur berkecai di saat ekonomi global meleset. CWI di Sweden, menekankan pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan sebagainya yang berkualiti sebagai hak asasi. Hak yang sedemikian diperolehi hasil perjuangan rakyat biasa pada zaman dahulu bukan diberi sebegitu sahaja oleh pemerintah. Satu persatu hak-hak tersebut telah dimansuhkan dan perbelanjaan dialihkan semata-mata untuk menyelamatkan segelintir korporat-korporat yang bankrap.
Selepas revolusi “Arab Spring” melanda rantau Afrika Utara dan Asia Tengah, ketiadaan organisasi yang mewakili aspirasi pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang lain memberi ruang kepada elemen-elemen counter-revolusi untuk berkembang . ISIS, Junta Tentera menggunakan peluang ini sebaiknya dengan mengambil alih kuasa pemerintah di negara seperti Mesir, sebahagian Syria, Libya dan Iraq. Keadaan peperangan terutamanya di Syria, Somalia dan Afghanistan menyebabkan 60 juta rakyatnya menjadi pelarian tidak menerima bantuan secukupnya daripada agensi antarabangsa seperti PBB, World Bank dan sebagainya.
4 Trillion USD dilaporkan lesap akibat daripada kejatuhan harga saham di China pada Ogos lepas. Ini jelas menunjukkan usaha memperjudikan berbilion dollar duit rakyat dalam pasaran saham sebagai langkah merangsangan ekonomi China yang semakin tenat gagal. Hasil pendapatan negara adalah usaha rakyat biasa yang bekerja untuk menjana ekonomi dan wajar diperuntukan untuk keperluan awam seperti perumahan, pendidikan dan sebagainya. Akan tetapi, kerajaan Parti Komunis China enggan berbuat demikian atas dasar ekonomi yang bermotifkan keuntungan maksimum yang memihak kepada pemimpin yang memiliki perniagaan besar. Rakyat China semestinya tidak berdiam diri dan beberapa siri demonstrasi yang dihadiri jutaan rakyat biasa berlaku di awal tahun ini walaupun berhadapan dengan rejim kuku besi di bawah pimpinan Xi JinPing.
Amerika Selatan yang bergantung kepada perkembangan ekonomi China melalui eksport komoditi asas seperti tembaga, kacang soya, bijih besi dan sebagainya. Penyusutan ekonomi China memberi impak kepada negara seperti Brazil, Chile dan Argentina terutamanya hasil pendapatan negara tersebut. Rakyat biasa dipaksa bergelut dengan harga keperluan yang semakin mahal. Di Brazil, kenaikan harga tiket pengangkutan awam cukup memaksa rakyat biasa turun protes dengan sokongan padu bersama pekerja dan anak muda. Ini adalah hasil kemarahan yang membuak-buak akibat daripada tekanan inflasi yang tinggi.
Negara di Asia Tenggara rata-ratanya menerima kesan daripada kelembapan ekonomi China. Indonesia, Malaysia, Thailand dan Philipines adalah antara menerima kesan melalui pengurangan kadar import barangan mentah daripada China. Kejatuhan beberapa nilai mata wang di beberapa negara ASEAN turut mewarnai suasana ekonomi yang jelas suram. Pelaburan asing turut mengalami penyusutan dari tahun ke tahun bakal memberi kesan yang besar kepada pembangunan di negara ASEAN yang mundur seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Indonesia akan berkurangan dan menyebabkan banyak projek pembangunan terjejas dari segi pelaksanaan.
Hampir seluruh pelusuk dunia sedang dilanda krisis ekonomi global menandakan keperluan rakyat biasa terutamanya pekerja, anak muda dan mereka yang tertindas untuk membina organisasi yang bebas daripada dasar kapitalis yang mementingkan untung daripada nyawa dan kesihatan orang biasa. Parti politik yang menyokong dasar kapitalis mula memainkan isu perkauman, nasionalisme dan sebagainya untuk melagakan rakyat biasa yang beragama dan etnik yang berbeza bagi menyukarkan usaha penyatuan antara rakyat biasa serta memesongkan isu yang kritikal seperti ekonomi yang tenat yang memerlukan penyelesaian. Dengan pembinaan organisasi yang mewakili rakyat biasa, ianya melibatkan penyatuan yang tanpa mengira etnik dan agama bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat biasa.
No comments:
Post a Comment