‘Gajah
sama Gajah berjuang, Pelanduk mati di tengah-tengah’, inilah situasi politik
sistem dua parti dan akibatnya kepada rakyat biasa di negara ini. Sejak PRU-12,
persaingan untuk kuasa pemerintahan antara BN dan Pakatan semakin sengit. Di
tengah-tengah pertarungan kuasa ini, rakyat biasa terus dipinggirkan daripada
manfaat pembangunan negara, dan ditindas dengan serangan demi serangan terhadap
hak demokrasi dan sosial oleh kelas kapitalis.
Memandangkang
kedua-dua BN dan Pakatan adalah pendokong tegar agenda sistem pasaran bebas
kapitalisme, dengan keadaan ekonomi negara dan global yang semakin tidak
stabil, rakyat akan terus terhimpit, sekalipun Pakatan mengambil alih kerajaan.
Sejak 2008, kerajaan-kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh Pakatan termasuk di
Kelantan terus mengekalkan ‘status quo’ dan kerangka ekonomi dan sosial
kapitalisme dengan beberapa perubahan kosmetik dalam pentadbiran. Isu-isu kos
perumahaan tinggi, pembalakan tidak terkawal, gaji yang tidak adil untuk warga
pekerja dan agenda kerakusan syarikat-syarikat nasional dan multinasional untuk
keuntungan maksimum masih diteruskan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan.
Seperti dalam BN, Pakatan juga mengamalkan budaya politik dominasi kuasa dan
pendekatan politik tidak demokratik, misalnya dalam konflik Menteri Besar Selangor dan Langkah Kajang.
Seperti yang didedahkan ketika muktamar PAS yang lalu, kepimpinan PAS pula
mempergunakan posisi ulama dan agama untuk menghalang hak bersuara dan
demokrasi ahli, misalnya dalam isu konflik dengan DAP dan Pakatan. Parti-parti
ini yang mempunyai agenda masing-masing yang tidak berlandaskan keperluan dan
hasrat rakyat biasa, mempraktikkan politik bagi mendominasikan rakyat untuk
berkuasa, bukannya membebaskan rakyat daripada rantai-rantai penindasan. Perpecahan
Pakatan Rakyat membuktikan bahawa mereka lebih mementingkan agenda
masing-masing daripada agenda rakyat biasa.
Pakatan
Rakyat (PR) dikuburkan, dan Pakatan Harapan (PH) menjelma semata-mata untuk
menumbangkan pemerintahan BN dalam PRU-14 yang dijangka dalam 3 tahun lagi.
Dengan mengambil peluang konflik politik dalam UMNO dan kelemahan BN, PH
berazam untuk membawa sebanyak parti politik, organisasi, kumpulan sivil dan
individu yang inginkan perubahan kerajaan. Kepimpinan PAS yang tidak akan
teragak-agak untuk berkomplot dengan UMNO, dan kini mengambil posisi oportunis
‘tunggu dan lihat’ juga masih diajak untuk bersama dengan PH walaupun sebelum
ini konflik dalam PR adalah akibat agenda Hudud PAS. Beberapa ahli UMNO atau
parti komponen dalam BN terutama di Sabah dan Sarawak juga mungkin akan
melontarkan sokongan kepada PH untuk memastikan kuasa mereka terjamin, jika BN
semakin lemah. Pendek kata, agenda utama PH adalah mengambil kuasa kerajaan
daripada BN, dan mereka tidak akan teragak-agak untuk berpakat dengan mana-mana
pihak asalkan mereka ingin menjatuhkan UMNO. Seperti dalam PRU-12 dan PRU-13,
mereka akan mempergunakan kesempitan rakyat akibat polisi-polisi pro-kapitalis kerajaan
BN untuk membawa slogan dan retorik populis bagi menarik sebanyak mungkin
sokongan rakyat biasa dan anak muda.
Politik
parti-parti pro-kapitalis amat kucar-kacir pada masa ini, dan ini boleh mewujudkan
kemungkinan-kemungkinan oportunis yang lain menjurus ke PRU-14. Tekanan kepada
Najib untuk meletakkan jawatan semakin kuat, dan ini boleh mewujudkan
persaingan kuasa dalam kepimpinan UMNO yang mungkin mewujudkan perpecahan dalam
UMNO. Jika Najib dan penyokongnya masih berganjak untuk terus berkuasa, maka
faksi Mahathir, Tengku Razali dan Muhyidin mungkin akan mengadakan koloborasi
dengan PH untuk menjatuhkan Najib. Seperti kata Lim Kit Siang, mereka sanggup
untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Mahathir untuk ‘selamatkan
Malaysia’.
Banyak
pengalaman sebelum ini telah menunjukkan bahawa dengan hanya meletakkan slogan
atau nama ‘Rakyat’ atau ‘Harapan’ dalam suatu parti atau koalisi, isu-isu asas
rakyat tidak mampu diselesaikan. Pada tahun 2008, majoriti rakyat Amerika
memilih Obama daripada Parti Demokrat yang menjanjjikan satu ‘Harapan’ sebagai
presiden Amerika apabila kerajaan di bawah Parti Republik meranapkan ekonomi
serta hak-hak sosial. Pertama kali dalam sejarah Amerika, seorang warga kulit
hitam menjadi ketua negara, dan ini juga memberikan ‘Harapan’ kepada rakyat
kulit hitam yang kebanyakannya miskin dan sering menghadapi penindasan polis.
Tetapi 6 tahun Obama berkuasa, ‘Harapan’ hanya tinggal ‘Harapan’, manakala
hak-hak warga pekerja dan anak muda terus dicabuli termasuk penindasan terhadap
warga miskin kulit hitam semakin meningkat. Ini berlaku kerana kedua-dua parti
Demokrat dan Republik adalah parti-parti suruhan kapitalis, dan tidak akan
memihak kepada hasrat rakyat biasa. Dari awal lagi Sosialis Alternatif USA
telah menggariskan perspektif perlunya alternatif kepada kelas pekerja, anak
muda dan rakyat tertindas, dan telah melibatkan dalam gerakan-gerakan rakyat
untuk membina alternatif kepada parti Demokrat dan Republik. Kemenangan
bersejarah sosialis dalam pilihan raya kerajaan tempatan di Seattle melalui
agenda rakyat seperti ‘Gaji Minimum 15 dolar sejam’ telah membuka ruang yang
lebih besar ke arah pembinaan sosialisme di Amerika.
Sosialis
Alternatif Malaysia berpendirian bahawa dengan hanya menukar satu parti kepada
parti yang lain atau satu pemimpin kepada pemimpin yang lain, masalah asas rakyat
tidak mampu diselesaikan. Isu-isu seperti prasangka perkauman dan agama akan
terus dipermainkan oleh parti-parti pemerintah dan pembangkang dengan
mempergunakan kepincangan sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh kapitalisme
di Malaysia. Hak sosial dan ekonomi yang saksama dan adil hanya boleh dibina
dengan ekonomi terancang dengan kawalan dan pengurusan demokratik warga pekerja
dan rakyat biasa. Untuk membina alternatif seperti ini, satu parti untuk
mewakili hak dan hasrat rakyat biasa harus dibentuk dan dibina melalui
gerakan-gerakan pekerja, anak muda dan rakyat biasa.
No comments:
Post a Comment