Wednesday, 11 December 2013

KESATUAN SEKERJA YANG KUAT PERLU UNTUK MEMPERJUANGKAN HAK PEKERJA


Kesatuan sekerja adalah satu-satunya pertubuhan untuk mewakili hak dan kebajikan warga pekerja. Ia berupaya menggabungkan pekerja tanpa mengira kaum, agama, jantina, budaya dan asal usul negara dengan satu matlamat yang sama untuk meningkatkan keperluan dan mempertahankan hak pekerja. Kesatuan memastikan tindakan kolektif pekerja dalam membawa tuntutan dan hasrat mereka kepada majikan di tempat kerja. 

Kekuatan kesatuan bergantung pada keahlian dan sokongan pekerja, dan juga kepimpinan kesatuan yang telus dan ikhlas dalam memperjuangkan hak pekerja. Selain merekrut pekerja tempatan, kesatuan juga harus mengatur langkah untuk merekrut pekerja-pekerja asing untuk melawan taktik buruh murah dan ‘pecah dan perintah’ majikan. Ini perlu untuk meningkatkan hak dan kebajikan pekerja asing, dan juga memastikan pekerja asing tidak dipergunakan sebagai kuda tunggangan untuk menghakis hak pekerja tempatan.  

Nasib Pekerja Nepal di Malaysia



Baru-baru ini sebuah akhbar di Nepal, Republica, telah melaporkan sejumlah lebih 600,000 pekerja negara itu ditindas dan dibayar upah yang sangat rendah di Malaysia. Laporan akhbar tersebut yang disiarkan oleh portal berita Malaysia Insider mendedahkan jumlah kematian pekerja Nepal di Malaysia ialah seramai 253 orang, menjadikan Malaysia sebagai destinasi paling berbahaya bagi pekerja negara tersebut untuk bekerja. Dinyatakan juga bahawa jumlah kes bunuh diri pekerja Nepal di Malaysia adalah tinggi. Kejadian terbaru yang mendapat liputan meluas pada September lalu, iaitu seorang pekerja Nepal terbunuh setelah terjun daripada atap bangunan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hutang yang meningkat dan kekerasan yang dilakukan oleh penguatkuasa terhadapnya sebagai pekerja tidak sah menjadi punca  tindakan bunuh diri tersebut.