PEMBINAAN
SOLIDARITI DAN PERJUANGAN KELAS PEKERJA AMAT PERLU UNTUK PERUBAHAN TULEN
Barisan Nasional sekali
lagi telah menubuhkan kerajaan dan kabinet baru. Manakala, parlimen sudah
bersidang dan 222 wakil rakyat yang terpilih dalam PRU13 sudah mengangkat
sumpah berjanji menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Majoriti
pengundi yang memilih mereka adalah warga pekerja yang setiap hari perlu
membanting tulang di ladang atau kilang, dan bekerja keras memberikan perkhidmatan
kepada pelanggan seperti di bank, restoran dan lain-lain untuk menyara hidup
mereka dan keluarga. Tetapi, adakah hasrat dan keperluan mereka akan diberikan
keutamaan oleh kerajaan dan wakil-wakil rakyat tersebut?
Seperti biasa, selepas pilihan
raya umum, isu-isu asas pekerja dan rakyat biasa seperti gaji yang mencukupi,
perumahan selesa, kenaikan kos sara hidup, hak dan demokrasi di tempat kerja, dan
hak kesatuan sekerja sentiasa dipinggirkan. Walaupun ada kala isu-isu tersebut
dibincangkan, dan polisi dan undang-undang tertentu dibawa, semuanya hanya
‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana tiadanya komitmen dan keseriusan untuk
melaksanakan apa yang dipersetujui dengan berkesan.
Salah satu contoh
adalah ‘Akta Gaji Minimum’ yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun lalu dengan
matlamat untuk meningkatkan taraf hidup pekerja. Sebelum pelaksanaan gaji
minimum tersebut, CWI
telah pun menjangka kegagalan akta tersebut kerana kerajaan tidak
bersungguh-sungguh dalam memaksa majikan untuk melaksanakan polisi tersebut. Baru-baru
ini Perdana Menteri Najib merungut dalam satu forum bahawa banyak syarikat masih
enggan membayar gaji minimum walaupun telah mendapat keuntungan besar. Manakala Menteri Sumber Manusia yang baru, Richard Riot, yang diharapkan akan lebih
bertanggungjawab daripada menteri yang sebelum ini pula memberitahu, “kira-kira
400 syarikat besar diberi kebenaran menangguhkan pelaksanaan gaji minimum
sehingga 31 Disember ini”. Malahan di banyak kilang atau syarikat yang telah melaksanakan
gaji minimum, upah sebenar yang diterima pekerja tidak berubah. CWI mendapati banyak syarikat
atau kilang telah memberhentikan elaun-elaun seperti syif, makanan,
pengangkutan dan lain-lain. Dengan menggunakan isu gaji minimum, beberapa
majikan menggunakan taktik ‘pecah dan perintah’ di mana pekerja asing tidak
diberikan gaji yang setara dengan pekerja tempatan, dan dipaksa kerja lebih
masa.
Contoh yang lain adalah
kenaikan harga rumah yang tidak terkawal oleh kerajaan. Walaupun
berbagai-bagai-bagai dasar dibincangkan di kabinet dan parlimen untuk
membolehkan golongan berpendapatan rendah dan menengah dapat memiliki rumah
sendiri, tetapi isu ini masih tidak mendapat penyelesaian. Ramai lagi warga
pekerja dan anak muda yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Manakala pihak
pemaju hartanah pula mengaut keuntungan besar dengan membina rumah mewah lebih
RM 300,000 atau rumah dengan harga melebihi kemampuan golongan berpendapatan
rendah dan menengah. Hanya golongan kaya yang sudah ada rumah atau pelabur
hartanah yang mampu beli rumah yang tidak mampu dimiliki oleh warga pekerja dan
rakyat biasa.
Dalam kedua-dua isu
gaji minimum dan harga rumah tersebut, ternyata kerajaan tunduk kepada kehendak
majikan dan pemaju daripada membela hasrat pekerja dan rakyat biasa. Inilah
sistem yang didukung oleh kerajaan yang berlandaskan kepada kapitalisme
(keuntungan maksimum kepada kapital atau pemodal). Ini menunjukkan bahawa selagi
kerajaan masih mengagungkan kepentingan keuntungan maksimum pemaju dan majikan
daripada keperluan dan kebajikan rakyat, masalah sosial dan ekonomi rakyat akan
terus bertapak di negara ini.
Ketidakpuasan rakyat
terhadap dasar-dasar kerajaan yang tidak berpihak kepada rakyat telah
ditunjukkan dalam PRU13. Kemenangan kerajaan Barisan Nasional pada PRU13 semakin
merosot jika dibandingkan dengan PRU12. Manakala Pakatan Rakyat telah memenangi
undi popular sebanyak 51 peratus walaupun berbagai-bagai taktik digunakan oleh
BN untuk mendapatkan majoriti yang lebih tinggi. Nampaknya, sokongan daripada
rakyat di kawasan bandar masih kukuh bersama Pakatan, manakala BN pula terus mempergunakan
jentera kerajaan dan habuan wang untuk memenangi undi di kawasan luar bandar
terutama di negeri Sabah dan Sarawak.
Kemerosotan undi kepada
BN menunjukkan semakin ramai rakyat inginkan perubahan kerajaan. Kemelesetan
taraf hidup akibat kenaikan kos hidup adalah ketidakpuasan utama untuk
kebanyakan rakyat yang merasakan keadaaan ekonomi tidak terjamin walaupun
kerajaan sentiasa mempamerkan angka-angka ekonomi yang baik. Manakala isu
demokrasi dan korupsi dalam kerajaan yang tidak terkawal pula menjadi keutamaan
untuk rakyat di kawasan bandar selain daripada isu-isu sosial seperti kos
perumahan dan kenaikan kos hidup.
Walaupun kerajaan BN
menjanjikan berbagai-bagai habuan selepas pilihan raya seperti BRIM 3.0
sebanyak RM1000, penurunan harga kereta dan lain-lain, tetapi perubahan tulen
ke atas taraf hidup rakyat biasa tidak akan tercapai selagi kerajaan
berlandaskan kepada kapitalisme. Walaupun ada beberapa wakil rakyat dalam
Pakatan Rakyat mahu membawa perubahan dalam taraf hidup rakyat dan warga
pekerja, tetapi ini hanyalah ‘angan-angan mat jenin’ memandangkan Pakatan juga tidak mempunyai dasar
dan agenda alternatif kepada kapitalisme.
Ini bermakna pembinaan
solidariti dan perjuangan di kalangan pekerja harus dimulakan oleh pemimpin
pekerja dan kesatuan sekerja untuk memperkuatkan hak dan kebajikan pekerja.
Selain itu warga pekerja juga perlu mencapai satu penyelesaian politik ke atas
isu-isu sosial dan ekonomi mereka. Selagi tiada parti politik yang ingin
membawa agenda dan hasrat warga pekerja dan rakyat biasa, satu perubahan tulen
untuk meningkatkan keperluan dan kebajikan rakyat tidak akan tercapai.
Pembinaan parti kelas pekerja yang disokong oleh anak muda dan golongan
tertindas yang lain harus dimulakan sebagai alternatif kepada parti-parti yang
berlandaskan kepada kapitalisme.
No comments:
Post a Comment