Persoalan
jerebu dari Indonesia yang kita hadapi hampir setiap tahun mendapat perhatian
yang sangat besar pada tahun ini. Sejak pertama kali isu jerebu ini melanda
negara dan kawasan serantau pada tahun 1997, tahun ini jerebu paling teruk
sampai ke semenanjung. Semua pihak mengeluh dengan keadaan cuaca yang dapat
merosakkan kesihatan. Tidak menghairankan jika banyak yang menuding jari kepada
rakyat republik itu kerana membakar hutan. Walaupun kita tahu bahawa segelintir
sahaja yang melakukan perbuatan khianat itu, tetapi kerana fikiran kita telah
lama dibentuk untuk melihat dalam kerangka sempit negara, maka mudah sahaja
untuk menyalahkan seluruh rakyat Indonesia sebagai punca jerebu di Malaysia.
Padahal, sebahagian besar rakyat negara itu, terutama di kawasan tempat berlaku
pembakaran tersebut paling menderita kerana keadaan jerubu jauh lebih teruk
daripada yang kita alami di sini. Mereka juga adalah mangsa salah laku segelintir
pihak yang membakar hutan. Lalu, bagaimana kita hendak melihat isu jerebu ini
dari kacamata pekerja? Setidaknya ada dua perkara yang penting untuk
dibincangkan. Pertama, ialah motif pembakaran hutan dan impaknya kepada orang
ramai. Kedua, bagaimana tanggapan orang ramai terhadap isu ini.
Indonesia
pada mulanya menumpukan pembangunan ekonominya kepada pertanian. Pada tahun
80-an dulu, majoriti masyarakatnya masih hidup bertani dan mereka dapat menampung
keperluan rakyatnya dengan simpanan beras hasil dari pertanian sendiri. Namun
dengan masuknya pelaburan dan modal asing telah merubah struktur masyarakat
yang pada mulanya berasaskan pertanian telah beralih kepada masyarakat
industri. Banyak masyarakat desa, terutama anak para petani tidak mahu
melanjutkan tradisi bekerja sebagai petani kemudian pindah ke bandar untuk
bekerja di kilang-kilang.
Pada
pertengahan tahun 1990-an, ketika harga dan permintaan terhadap minyak sawit
dalam pasaran dunia semakin meningkat, banyak pihak yang melihatnya sebagai
peluang perniagaan yang memiliki masa depan cerah. Mulai dari pengusaha dan
syarikat besar yang melabur dalam jumlah yang besar, hinggakan
individu-individu pemilik tanah kecil-kecilan teruja menanam sawit. Sesiapa
yang pernah berkunjung ke Sumatera, terutama di Riau, pasti terpegun melihat
pemandangan di kawasan luar bandarnya. Sejauh mata memandang, hanya perkebunan
sawit yang terlihat. Sebahagian besar perkebunan itu dimiliki oleh
syarikat-syarikat kapitalis besar, terutamanya dari Malaysia. Sime Darby, Kuala
Lumpur Kepong, dan Multi Gambut Industri yang merupakan anak syarikat Tabung
Haji memiliki kawasan pertanian sawit yang luas di Sumatera. Media di Indonesia
melaporkan ketiga-tiga syarikat Malaysia tersebut terlibat dalam pembakaran
hutan baru-baru ini, walaupun pihak syarikat menolak tuduhan tersebut.
Saat
ini, jumlah kawasan perkebunan sawit di Indonesia sudah jauh melebihi tanah
persawahan dan pertanian tradisional sehingga untuk memenuhi keperluan beras
dalam negara sahaja Indonesia harus mengimport. Sedangkan keuntungan dari hasil
sawit ini sepenuhnya menjadi milik syarikat-syarikat besar. Pemusnahan hutan
yang terus berlaku kerana penanaman sawit semakin tidak terkawal. Impak
daripada perluasan ladang sawit tidak hanya berkurangnya kawasan pertanian
untuk tanaman lain, tetapi juga semakin pupusnya hutan simpanan. Di Riau
terdapat dua buah syarikat pembuat kertas, iaitu RAPP dan Indah Kiat.
Kedua-duanya berperanan besar dalam berkurangnya jumlah hutan di Riau kerana
mereka memang memerlukan kayu sebagai bahan utama pembuatan kertas. Adanya
pembakaran hutan untuk membuka ladang sawit menjadikan masalah kebotakan hutan
semakin teruk. Syarikat kapitalis tidak peduli dengan persekitaran kerana hanya
memikirkan keuntungan. Jika dengan membakar hutan mereka dapat mengurangkan
biaya untuk membuka ladang sawit, maka itulah jalan yang menjadi pilihan
mereka. Akibat jalan mudah yang diambil oleh kapitalis ini, penderitaan dan
ancaman terhadap kesihatan mesti ditanggung oleh jutaan orang di Indonesia,
Malaysia, dan Singapura.
Walaupun
isi jerebu ini menimbulkan sedikit ketegangan hubungan antara Indonesia dengan
Malaysia dan Singapura, akhirnya presiden negara itu, Susilo Bambang Yudhoyono
telah menyatakan permohonan maaf kepada pemerintah dan penduduk kedua-dua
negara tersebut. Namun hal ini telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak di
Indonesia. Bukan faktor nasionalisme, harga diri, atau kebencian terhadap
Malaysia yang menjadi sebab. Mereka marah kerana presiden tidak meminta maaf
terhadap rakyatnya sendiri yang juga menjadi mangsa keadaan jerebu. Padahal
pemerintah Indonesialah yang mesti bertanggung jawab ke atas pembakaran ini
dengan ketidaktegasan mereka dalam memperkuatkuasakan undang-undang dan
melakukan pengawasan. Unsur-unsur korupsi yang telah menjadi barah bagi
masyarakat di negara itu juga dikatakan menjadi penyebab longgarnya
penguatkuasaan itu. Memang betul pemerintah sudah menangkap para pelaku
pembakaran hutan, tetapi mereka hanya rakyat biasa. Mungkin mereka hanya orang
suruhan syarikat-syarikat besar yang mahu mengelak didakwa jika terlibat
langsung membakar hutan.
Lalu
apa relevannya isu jerebu ini dengan nasib pekerja? Pertama, sepatutnya kita
tidak melihat isu ini dalam kerangka sempit negara, iaitu Indonesia yang
menjadi punca dan Malaysia menjadi mangsa. Rakyat biasa di Sumatera yang
terkena jerebu juga sebenarnya marah dengan pemerintah mereka. Mereka juga
adalah mangsa pemerintah dan syarikat-syarikat besar pelaku pembakaran hutan
yang hanya mengutamakan keuntungan tanpa menghiraukan akibatnya. Dalam isu ini,
rakyat biasa di Indonesia sepatutnya mendapat simpati dan solidariti dari
pekerja di Malaysia.
Kedua,
keluhan yang kita dengar dari setiap orang tentang dampak kesihatan yang boleh
ditimbulkan oleh jerebu sebenarnya bukan perkara baru bagi sebahagian besar
pekerja. Banyak majikan tidak memperuntukkan pelindung kepada pekerja yang
terdedah kepada jerebu walaupun pihak kesihatan telah memaklumkan pentingnya penggunaan
pelindung. Tetapi, sesiapa sahaja yang bekerja di kilang ais, kilang cat,
kilang bateri, dan kerja-kerja yang terdapat bahan-bahan kimia selalu terdedah
dengan masalah kesihatan. Pemandu lori jarak jauh juga berisiko mengalami sakit
belakang dan pinggang. Bekerja di kilang yang tertutup dan pengap, dan terpaksa
berdiri selama berjam-jam juga akan menyebabkan sakit pada masa hadapan. Buruh
angkat barang juga akan menghadapi masalah fizikal pada hari tua mereka. Banyak
daripada mereka ini dipaksa untuk bersara awal jika mengalami gangguan
kesihatan akibat persekitaran di tempat kerja. Masalah ini mesti dihadapi oleh
pekerja setiap hari, bukan setahun sekali seperti datangnya jerebu. Namun
terhadap mereka ini, tidak ada siapa pun yang memberikan perhatian kerana sudah
dianggap sebagai perkara biasa. Di situ terlihat jelas bagaimana tidak pekanya kerajaan
terhadap masalah kesihatan dan persekitaran tempat kerja pekerja yang terdedah
kepada berbagai-bagai bahan kimia dan gas beracun.
Sama
ada di Indonesia atau Malaysia, warga pekerja menghadapi nasib yang sama. Untuk
memecahkan rantai-rantai penindasan terhadap warga pekerja dan memelihara alam
persekitaran daripada dicabuli terus oleh syarikat yang mementingkan keuntungan
semata-mata, solidariti pekerja harus dibina tanpa batas sempadan negara.
No comments:
Post a Comment