Wednesday, 5 March 2014

KONFLIK KUASA DI UKRAINE…RAKYAT DILAGA-LAGAKAN

REJIM BARU AKAN BERTEMBUNG DENGAN KELAS PEKERJA

Perkembangan terkini di Ukraine menyaksikan penggulingan dramatik Presiden Viktor Yanukovich di mana beliau terpaksa melarikan diri daripada Kiev (ibu negeri Ukraine). Rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat terhadap isu kemiskinan dan rejim yang korup serta zalim akhirnya meletus menjadi suatu pemberontakan di Kiev dan banyak bahagian lagi di Ukraine pada bulan November tahun lepas.

Walau bagaimanapun, tidak ada kuasa politik alternatif kepada kelas pekerja dan ini telah membenarkan kuasa-kuasa reaksioner termasuklah fasisme, dengan sokongan imperialis barat, untuk menguasai gerakan protes tersebut. Ketika rejim pro-barat yang baru sedang dikukuhkan, perpecahan etnik yang membahayakan semakin lama makin menjadi teruk dalam kalangan 46 juta penduduk di negara tersebut.


Berikutan pertempuran berdarah antara penunjuk perasaan dan pihak polis yang telah berlaku pada sekitar 18 hingga 21 Februari di pusat bandar Kiev di mana lebih 80 orang telah terbunuh dan beratus-ratus lagi telah cedera, para pemimpin dari Jerman, Perancis dan Poland telah melakukan rundingan untuk mencapai satu perjanjian dengan rejim Yanukovich yang semakin terumbang-ambing. Perjanjian yang diperantarakan oleh Kesatuan Eropah (EU) tersebut membayangkan pembentukan satu kerajaan ‘perpaduan nasional’, mengadakan pilihan raya presiden dan perdana menteri pada bulan November, dan mengembalikan semula perlembagaan 2004, yang akan mengurangkan beberapa kuasa-kuasa tertentu presiden.

Tetapi perjanjian itu dengan cepat berkecaian apabila pembangkang sayap kanan, termasuklah ultra-nasionalis dan elemen-elemen fasis, telah melancarkan serangan untuk manfaat reaksioner mereka dengan menggunakan kelemahan rejim pemerintah. Parlimen mencabar kredibiliti Yanukovich dan melantik pemimpin Parti ‘Fatherland’, iaitu Arsen Avakov dan Oleksandr Turchynov, sebagai Menteri Dalam Negeri dan Speaker Rada (parlimen). Turchynov, yang juga dilantik sebagai Pemangku Presiden, adalah merupakan sekutu politik yang rapat dengan bekas Perdana Menteri Yulia Tymosehnko, yang telah dibebaskan dari penjara pada 22 Februari. Turchynov cuba untuk membentuk kerajaan campuran baru minggu ini dan pilihan raya presiden baru akan diadakan pada 25 Mei. Waran tangkap telah dikeluarkan untuk Yanukovich dan bekas menteri-menteri lain.

Malah beberapa wakil parlimen daripada Parti ‘Regions’ (parti pimpinan Yanukovich) pun telah memberikan sokongan kepada langkah-langkah rejim baru itu, dan rakan-rakan Yanukovich daripada partinya pula terdesak cuba untuk menjauhkan diri daripada rejim yang telah digulingkan itu. Pemimpin parlimen dalam Parti ‘Regions’ mengutuk Yanukovich kerana telah melakukan “perintah jenayah”. Oligarki dan kapitalis yang sebelum ini merupakan sekutu rapat Yanukovich, dan yang telah mempergunakan pakatan beliau dengan Rusia untuk kepentingan keuntungan mereka, dengan oportunis telah mengalih sokongan mereka kepada rejim yang baru ini.

Reaksi Kemarahan Kremlin (tempat pemerintahan rejim di Rusia)

Kremlin memberikan reaksi marah terhadap peristiwa tersebut dan mengecam ‘rampasan kuasa’ dengan sokongan barat yang dipimpin oleh ‘ekstremis bersenjata dan pengganas’. Penyingkiran Yanukovich telah memberikan tamparan yang hebat kepada rejim Putin, yang selama ini menganggap Ukraine sebagai strategik penting untuk Rusia. Kremlin telah melaksanakan usaha demi usaha untuk membawa jiran rapat mereka ke dalam pakatan ekonomi dan politik yang lebih menyeluruh. November lalu, Moscow telah bersetuju tentang pakej sebanyak 15 bilion dolar dengan kerajaan Ukraine selepas Yanukovich menolak 'perjanjian penyatuan' Kesatuan Eropah. Ini mengukuhkan lagi perebutan antarabangsa dalam kalangan kuasa-kuasa imperialis yang beria-ia untuk meningkatkan pengaruh ke atas Ukraine, yang juga merupakan strategik penting bagi Amerika Syarikat dan NATO.

Penolakan perjanjian Kesatuan Eropah tersebut telah mencetuskan protes pembangkang di Dataran Maidan, di tengah-tengah Kiev, yang telah dimulakan, terutamanya daripada golongan kelas pertengahan dan pelajar. Mereka berharap bahawa hubungan yang lebih intim dengan Kesatuan Eropah akan membawa kepada kemakmuran dan hak demokrasi, walaupun pada hakikatnya perjanjian Kesatuan Eropah pada November lepas telah dikaitkan dengan pakej penjimatan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang melampau. Pakej IMF tersebut sebenarnya ditakuti oleh Yanukovich kerana kesannya boleh membawa kepada bantahan besar-besaran rakyat.

Kekejaman polis rusuhan terhadap penunjuk perasaan ini membawa kepada jumlah yang lebih besar turun berprotes di Kiev dan Lviv, dan di seluruh bahagian barat Ukraine (majoriti penduduk berbahasa Ukraine). Ketidakpuasan rakyat akibat pembatalan perjanjian Kesatuan Eropah telah berkembang menjadi kemarahan besar-besaran terhadap kemiskinan, kelembapan ekonomi dan juga terhadap rejim Yanukovich yang mengamalkan rasuah, tidak efisien dan autoritarian.

Walaupun kelas pekerja telah menjadi semakin miskin, Yanukovich dan keluarga kroni beliau pula menjadi semakin kaya. Terdapat juga protes anti-rejim di kawasan perindustrian, terutamanya di bahagian timur Ukraine (kebanyakan penduduk berbahasa Rusia), yang telah merupakan landasan politik kepada Yanukovich.
Konflik yang berlaku dengan cepat mendedahkan rejim korup ini sebagai rejim yang hanya mempunyai sokongan popular yang sangat sedikit. Ini menjadi jelas apabila penunjuk perasaan membuka pintu-pintu kediaman utama Yanukovich dan mendedahkan gaya hidup mewah beliau. Pada masa yang sama hipokrasi barat ternyata jelas apabila media barat memilih untuk tidak mendedahkan tentang kekayaan melampau oligarki dan ahli politik lain yang pro- barat dan pro-Kesatuan Eropah di Ukraine.

Walau bagaimanapun, dengan ketiadaan organisasi pekerja yang kuat, kemampuan untuk memanfaatkan penentangan besar-besaran terhadap Yanukovich ini untuk gerakan massa yang dapat menyatukan seluruh kelas pekerja di Ukraine, yang boleh merintangi semua kaum, agama dan bahasa, tidak berjaya dilaksanakan. Walaupun ramai pekerja secara individu telah turun ke jalan berprotes, pemberontakan tersebut yang pada asasnya untuk menentang rejim Yanukovich yang korup dan kejam, serta pemerintahan oligarki, tidak dipimpin oleh kelas pekerja, yang boleh bertindak untuk menyatukan pekerja atas landasan kelas. Majoriti kelas pekerja menentang rejim dan oligarki tetapi sebahagian besar daripada mereka adalah pasif. Kelas pekerja tidak mewujudkan kesan mendalam ke atas peristiwa-peristiwa tersebut dengan bertindak secara bebas dan padu (melalui organisasi pekerja).

Kuasa-kuasa Reaksioner

Sebaliknya, dari awal lagi, kuasa-kuasa reaksioner dapat mengambil peluang dengan vakum yang diwujudkan, dengan sokongan kuasa Barat, untuk mengeksploitasi massa dengan sewenang-wenangnya. Sayap kanan, ahli politik pembangkang pro-kapitalis, seperti Vitali Klitschko, bekas juara peninju, dan Arseniy Yatseniuk, yang dikaitkan dengan Parti ‘Fatherland’, telah meletakkan mereka sebagai pemimpin pemberontakan tersebut.

Mereka tanpa segan-silu bersekongkol dengan kumpulan-kumpulan ultra-nasionalis, ultra-kanan dan kumpulan neo-fasis. Sepanjang tiga bulan lalu, parti Svoboda yang anti-Semitik, dan ‘Right Sector’ yang ultra-kanan, telah memainkan peranan penting dalam mengorkestrakan perjuangan jalanan dan okupasi bangunan-bangunan kerajaan.

Watak reaksioner rejim baru dapat dilihat dengan seruan seorang pemimpin supaya orang-orang Yahudi Kiev melarikan diri dari bandar tersebut. Menteri Dalam Negeri baru menyatakan bahawa kuasa-kuasa pemberontak ultra-kanan di Dataran Maidan akan diintegrasikan dalam struktur pemerintahan rejim baru tersebut. Para pemimpin parti Svoboda juga akan mengharapkan untuk memegang jawatan dalam rejim baru.

Langkah provokatif Parlimen untuk melucutkan status bahasa Rusia mencetuskan lebih banyak seruan daripada bahagian selatan dan timur Ukraine (yang majoritinya berbahasa Rusia) untuk pemisahan daripada Ukraine. Sejurus pengumuman tersebut, beribu-ribu orang membuat bantahan di Sevastopol dan di Crimea (pangkalan tentera laut yang penting untuk armada ‘Black Sea’ Rusia), sambil mengibarkan bendera Rusia. Mereka sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah “kerajaan baru” dan “skuad pertahanan sivil”.
Pada hujung minggu lalu, Susan Rice, penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, memberi amaran kepada Putin bahawa ia akan menjadi satu "kesilapan besar" bagi Rusia untuk melancarkan campur tangan ketenteraan. Pemimpin tentera NATO di Eropah telah mengadakan perbincangan dengan pihak atasan ketenteraan Rusia pada 24 Februari, ketika negara-negara barat pula cuba untuk meredakan ketegangan dengan Rusia.

Moscow pula telah menggalakkan para pemimpin wilayah bahagian barat Ukraine untuk menentang pemerintahan Kiev dan untuk bergerak ke arah ‘autonomi’ yang lebih menyeluruh. Masih belum jelas sejauh mana proses ini akan berlanjutan tetapi jika wilayah-wilayah penting memilih untuk memisahkan diri daripada Ukraine, rejim Putin yang telah terjejas akan cuba meningkatkan kepentingannya termasuk menjalankan campur tangan tentera.

Persaingan oligarki dan campur tangan agresif oleh imperialisme barat dan Rusia telah mengakibatkan Ukraine dalam kedudukan berbahaya dan lebih dekat dengan satu proses perpecahan yang tidak teratur, jika tidak secara terang-terangan sebuah pemisahan berdarah.

Ukraine Menghadapi Kebankrapan

Putin mengekalkan pengaruh ekonomi yang kukuh terhadap Kiev. Lebih separuh daripada eksport Ukraine pergi ke Rusia, dan Rusia membekalkan gas kepada Ukraine. Rejim Moscow boleh mengakibatkan kesukaran kepada Ukraine dalam masa beberapa hari sahaja jika potongan 30 peratus dalam harga gas yang diberikan selama ini dimansuhkan terus.

Sama ada Kesatuan Eropah dengan sokongan Amerika Syarikat, mahupun Moscow dan oligarki yang mendukung mereka, sama sekali tidak bertindak untuk kepentingan kelas pekerja di Ukraine. Sama ada rejim pemerintah adalah Yanukovich ataupun rejim pro-barat baru yang berkuasa di Kiev, mereka bertindak untuk mempertahankan kepentingan golongan kaya-raya, termasuklah dengan melaksanakan dasar penjimatan terhadap rakyat Ukraine yang lebih membebankan mereka.

Dengan Rusia memberikan isyarat bahawa ia akan membekukan ‘pakej penyelamatan’ sebanyak 15 bilion dolar untuk Ukraine, pemimpin-pemimpin barat pula melancarkan ‘perjanjian menyelamat’ untuk mengumpulkan dana bagi menyelamatkan negara itu daripada muflis. Rejim Kiev yang baru pula mengatakan bahawa ia memerlukan 35 bilion dolar sepanjang lebih dua tahun untuk menghentikan kegawatan ekonomi yang sedang dilalui oleh negara tersebut. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2013 adalah sifar dan mata wang, Hryvnia, kehilangan lebih daripada 8% daripada nilainya dalam masa tiga bulan sahaja.

Financial Times melaporkan bahawa Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menjelaskan bahawa ‘tidak ada pakej penyelamatan akan diberikan tanpa kerajaan baru bersedia untuk melakukan reformasi ekonomi’. Jack Lew, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, menekankan keperluan untuk ‘melaksanakan pembaharuan yang akan disokong oleh program IMF’ (dengan perkataan lain melancarkan proses penjimatan dan penswastaan).

Satu elemen menarik yang jelas dalam beberapa minggu lepas adalah, walaupun berlaku jurang antara etnik, kelas pekerja di mana-mana sahaja di Ukraine telah menyatakan penentangan yang kuat terhadap keseluruhan elit politik dan oligarki. Kelas pekerja di seluruh negara ingin menamatkan rejim dan oligarki yang bertindak seperti mafia, dan mengharapkan pembentukan suatu masyarakat yang baru, di mana mereka akan mempunyai hak demokrasi dan boleh meningkatkan taraf hidup ke tahap yang lebih baik.

Ketua Pembangkang, Julia Tymoshenko, telah ‘disambut dengan baik tapi tidak semestinya dengan keterujaan’ menurut seorang wartawan Guardian, apabila beliau berhadapan dengan orang ramai di Dataran Maidan, berikutan pembebasannya daripada hospital penjara Kharkiv. Ramai orang Ukraine akan mengingati Tymoshenko, wira ‘Revolusi Oren’ pada tahun 2004, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri dalam rejim yang korup yang melaksanakan pemotongan terhadap taraf hidup rakyat yang pada masa itu sudah pun pada suatu tahap yang rendah.

Rejim Baru Akan Bertembung Dengan Kelas Pekerja

Rejim kapitalis pro-barat yang baru akan berharap untuk ‘menenangkan kemarahan’ rakyat tetapi lambat-laun akan terpaksa menghadapi konflik dengan kepentingan kelas pekerja di Ukraine. Krisis yang telah berlangsung beberapa bulan lepas akan mencetuskan keperluan mendesak untuk kelas pekerja supaya membina organisasi kelas mereka sendiri, termasuklah kesatuan sekerja yang benar-benar bebas daripada kongkongan kapitalis. Setakat ini, telah terbukti ia adalah satu proses yang berlanjutan dan sukar. Ini tidak menghairankan memandangkan dekad pemerintahan kuku besi di bawah Stalinisme, yang tidak memberikan ruang demokrasi dalam pembinaan organisasi kelas pekerja yang bebas, diikuti dengan kejatuhan Stalinisme pada 1989 dan seterusnya pemulihan kapitalisme. Kesedaran politik dalam kalangan rakyat jelata akan bercelaru dan keliru di bawah pengalaman-pengalaman tersebut.

Namun peristiwa ini memberikan pengajaran penting kepada kelas pekerja. Mereka telah melalui ‘Revolusi Oren’ dan pemerintahan Yanukovich yang amat mengecewakan. Kini pemimpin-pemimpin baru seperti Turchynov, Klitschko dan Yatseniuk dan ahli-ahli politik kapitalis pro-Barat yang lain akan didedahkan.


Melalui pengalaman-pengalaman tersebut, semakin ramai kelas pekerja akan menyedari bahawa satu-satunya langkah ke hadapan adalah dengan membina massa yang bebas, parti kelas pekerja berbilang etnik yang menolak nasionalisme reaksioner, oligarki dan semua pencerobohan imperialis. Parti sosialis dengan sokongan massa yang boleh menyatukan semua pekerja di seluruh Ukraine, akan berkempen untuk kerajaan pekerja bagi mengambil alih kekayaan melampau oligarki, dan seterusnya memiliknegarakan bank-bank dan syarikat-syarikat korporat besar, sebagai sebahagian daripada ekonomi terancang yang dilaksanakan secara demokratik untuk manfaat majoriti. Matlamat dan perjuangan seperti itu juga akan mendapat sokongan dan sambutan daripada kelas pekerja di Eropah, Rusia dan rantau ini.

Niall Mulholland, CWI
25/2/2014

No comments: