KAPITALISME
DIDAHULUKAN, KEUNTUNGAN DIUTAMAKAN, RAKYAT DIPINGGIRKAN
Pada 2hb. September,
dua hari selepas ulang tahun kemerdekaan ke 56 dengan tema “Malaysiaku
Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku”, kerajaan BN dengan tiba-tiba mengumumkan
kenaikan 20 sen untuk RON95 dan diesel yang menjadi keperluan asas kepada
sebilangan besar rakyat negara ini.
Nampaknya kerajaan BN
yang ingin menaikkan semangat ‘nasionalisme’ rakyat pada hari merdeka, nampaknya
tidak merdeka dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara daripada genggaman
pasaran bebas kapitalisme antarabangsa dan nasional yang terus mendesak
kerajaan menyelamatkan ekonomi pasaran bebas negara ini yang sedang
terumbang-ambing. Agenda kerajaan adalah selaras dengan kehendak kapitalisme
iaitu untuk memastikan kapitalisme terus subur untuk mengaut keuntungan
maksimum, tetapi yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa.
Selepas ini dijangka,
tarif elektrik juga akan dinaikkan dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)
juga akan diumumkan. Ini sekali gus akan meningkatkan inflasi, manakala kenaikan
gaji kebanyakan rakyat biasa tidak setimpal dengan peningkatan inflasi. Ini
akan menurunkan taraf hidup dan meningkatkan hutang isi rumah yang mana akan
menjunamkan mereka dalam kesempitan hidup.
BR1M dan langkah-langkah yang setara dengannya hanyalah gula-gula untuk
seketika, dan tidak akan menyelesaikan isu-isu
asas rakyat biasa. Untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka,
rakyat biasa tiada pilihan, selain berjuang untuk menukar sistem kapitalisme.
Ini menunjuknya
walaupun negara sudah 56 tahun merdeka daripada British, ekonomi negara terus
dijajah oleh agenda kapitalisme nasional dan global. Kerajaan tunduk kepada
kehendak keuntungan syarikat-syarikat multinasional seperti Shell, Caltex, BP
dan lain-lain, walaupun kerajaan tahu kebanyakan rakyat negara ini
berpendapatan rendah. Manakala, Petronas yang merupakan GLC (Syarikat kawalan
kerajaan) tetapi disebabkan ia beroperasi untuk keperluan pasaran bebas,
kerajaan tidak dapat mengawalnya.
Kemerdekaan 100% hanya
dapat diperoleh jika ekonomi negara dirancang untuk keperluan majoriti rakyat
bukannya untuk keuntungan segelintir kapitalis. Kerajaan yang berorientasikan
kepada keperluan rakyat akan
memiliknegarakan syarikat-syarikat besar seperti Petronas, Shell dan lain-lain,
termasuk meletakkan syarikat-syarikat besar di bawah pengurusan dan kawalan
secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Langkah ini adalah untuk
mendemokrasikan ekonomi supaya majoriti rakyat terlibat dalam perancangan
ekonomi negara untuk memastikan keperluan mereka diutamakan.
No comments:
Post a Comment