Persoalan
jerebu dari Indonesia yang kita hadapi hampir setiap tahun mendapat perhatian
yang sangat besar pada tahun ini. Sejak pertama kali isu jerebu ini melanda
negara dan kawasan serantau pada tahun 1997, tahun ini jerebu paling teruk
sampai ke semenanjung. Semua pihak mengeluh dengan keadaan cuaca yang dapat
merosakkan kesihatan. Tidak menghairankan jika banyak yang menuding jari kepada
rakyat republik itu kerana membakar hutan. Walaupun kita tahu bahawa segelintir
sahaja yang melakukan perbuatan khianat itu, tetapi kerana fikiran kita telah
lama dibentuk untuk melihat dalam kerangka sempit negara, maka mudah sahaja
untuk menyalahkan seluruh rakyat Indonesia sebagai punca jerebu di Malaysia.
Padahal, sebahagian besar rakyat negara itu, terutama di kawasan tempat berlaku
pembakaran tersebut paling menderita kerana keadaan jerubu jauh lebih teruk
daripada yang kita alami di sini. Mereka juga adalah mangsa salah laku segelintir
pihak yang membakar hutan. Lalu, bagaimana kita hendak melihat isu jerebu ini
dari kacamata pekerja? Setidaknya ada dua perkara yang penting untuk
dibincangkan. Pertama, ialah motif pembakaran hutan dan impaknya kepada orang
ramai. Kedua, bagaimana tanggapan orang ramai terhadap isu ini.