Friday, 17 May 2013

PENINDASAN KE ATAS WANITA SEMAKIN MENINGKAT



PERJUANGAN KELAS PERLU UNTUK PEMBEBASAN WANITA



Dengan kepergian Jyoti – seorang wanita baik namun menjadi mangsa rogol beramai-ramai di dalam sebuah bas di New Delhi sehingga mengakibatkan kematiannya, dunia pun seolah-olah sudah senyap akan isu kekejaman dan penindasan terhadap perempuan yang sememangnya menjadi-jadi di India. 


Pelajar perubatan itu yang bersama dengan rakan lelakinya telah diserang oleh sekumpulan lelaki yang memukul mereka dengan teruk. Bahkan, mereka turut memasukkan batang besi ke dalam badan wanita tersebut sehingga menyebabkan kerosakan organ yang amat parah. Kedua-duanya kemudian ditelanjang dan dicampakkan keluar dari bas tersebut. Pelbagai tunjuk perasaan diadakan untuk  menuntut undang-undang yang lebih adil. Tentu sekali hukuman yang setimpal mesti dikenakan kepada para penjenayah ini. 

Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting yang patut dilakukan adalah memberi perubahan terhadap institusi kekeluargaan itu sendiri dahulu. Ini kerana mengikut sistem tradisional India, kelahiran anak laki-laki lebih diutamakan dan mereka akan dibesarkan untuk menjadi dominan dalam semua hal sementara anak perempuan sering direndahkan serta diajar untuk menjadi taat, berkorban dan menerima apa sahaja. Ia akhirnya menjadi satu budaya sosial dalam masyarakat India sampai menyebabkan ada kaum lelaki yang merasakan bahawa diri mereka amat berkuasa serta suci dan wanita boleh dipergunakan sewenang-wenangnya. 

Mereka ini menganggap bahawa kaum perempuan cuma sebagai alat hiburan dan nafsu semata-mata. Lihat sahaja apabila budaya mereka menganjurkan wanita yang menjadi balu memakai pakaian putih seumur hidupnya, anak lelaki disekolahkan tinggi-tinggi manakala anak perempuan pula dipaksa bekerja walaupun dibayar dengan gaji yang tidak berbaloi, malahan ada yang sampai digunakan untuk membayar hutang kepada ceti-ceti. Ini boleh dinyatakan sebagai satu bentuk penindasan dan eksploitasi terhadap kaum wanita dimana tubuh badan mereka dianggap sebagai komoditi dan mereka juga mengalami keterasingan serta tidak mendapat penghormatan mahupun penghargaan. 

Maka dengan itu, perlu ada emansipasi terhadap perempuan. Bagi sosialisme, pendekatan terhadap bagaimana untuk membebaskan mereka dari belenggu seperti ini adalah berdasarkan kepada garis kelas. Penindasan tersebut wujud adalah kerana kepemilikan peribadi dan masyarakat kelas yang memisahkan manusia. Ini kerana faktor kelas telah mewujudkan sistem pemilikan di mana isteri dipandang hanya sebagai pemilikan suami. Akhirnya, hubungan ini akan serupa dengan hubungan antara borjuis dan proletariat. Pembebasan perempuan ini yang diperlukan dan ditekankan dalam perjuangan kelas. Seperti mana pendapat feminisme sosialis, “tidak ada sosialisme tanpa pembebasan perempuan dan tidak ada pembebasan perempuan tanpa sosialisme”.

Sharifah

No comments: