PAKATAN RAKYAT
MUNGKIN MENANG UNTUK PERTAMA KALI...TETAPI TANPA ALTERNATIF TULEN, KEPERLUAN
RAKYAT BIASA DAN ANAK MUDA TIDAK AKAN TERJAMIN.
Pilihan raya
umum ke-13 akan berlangsung pada 5 Mei ini. Pilihanraya ini dianggap
pilihanraya umum yang paling sukar untuk BN setakat ini. Kepimpinan BN di bawah
Najib amat terdesak untuk meningkatkan bilangan kerusi daripada apa yang
dimenangi pada pilihan raya umum lalu, dan ini telah memaksa Najib untuk tunggu
sehingga tempoh kerajaan lima tahun tamat.
Pada awal
Januari tahun ini, 100,000 penyokong Pakatan Rakyat dengan berbagai-bagai isu
seperti FELDA, royalti, pendidikan, Lynas, BERSIH membanjiri Stadium Merdeka
untuk menyeru perubahan kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13 ini. Semangat
sangat tinggi di kalangan penyokong-penyokong yang meningkatkan lagi keyakinan
Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya.
‘Habuan Pilihan
raya’ lawan ‘Agenda Populis’
Semenjak dua
tahun lepas, BN memperkenalkan berbagai-bagai program bantuan dengan jenama
1Malaysia seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1M), Baucar Buku 1Malaysia
(BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lain-lain kepada rakyat berlainan
kaum dan latar belakang (luar bandar, bandar, wanita, anak muda, warga tua,
pelajar, pekerja, kelas pertengahan) untuk memenangi sokongan mereka.
Dianggarkan bantuan-bantuan tersebut adalah habuan pilihan raya yang paling
mewah pernah diberikan oleh kerajaan BN kalau dibandingkan dengan pilihan
raya-pilihan raya umum sebelum ini. BN dengan dominasi UMNO dengan slogan
‘janji ditepati’ cuba menunjukkan bahawa ia telah banyak berubah sejak pilihan
raya umum lalu dengan melaksanakan beberapa pembaharuan undang-undang seperti
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan AUKU, serta memperkenalkan program
kebajikan untuk mengurangkan beban sosial dan ekonomi rakyat. Tetapi pada realitinya,
rakyat terutama kelas pekerja merasakan bahawa taraf hidup mereka tidak banyak
berubah atau menjadi lebih teruk dengan harga barangan dan perkhidmatan terus
naik mendadak tetapi gaji tidak meningkat walaupun kerajaan mendakwa inflasi
masih di bawah kawalan.
Walaupun ada
peningkatan dalam ruang demokrasi terutama hak untuk protes tetapi hak-hak lain
seperti hak menubuhkan kesatuan sekerja atau hak pekerja terus dikawal. Beberapa
pembaharuan telah juga dilakukan dalam sistem pilihan raya yang sebelum ini
lebih memihak kepada kerajaan yang memerintah selepas desakan daripada gerakan
‘BERSIH’, tetapi pembangkang masih waswas bahawa penipuan masih boleh berlaku
memandangkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dilihat sebagai ‘alat’
kerajaan.
Pemimpin Pakatan
Rakyat dengan agenda ‘populis’ pula mendakwa ia akan menjadi kerajaan yang lebih
baik jika menawan Putrajaya dengan agenda seperti pendidikan percuma, kereta
murah dan harga petrol yang rendah. Mereka juga memberi contoh kejayaan Pakatan
memerintah beberapa negeri sejak pilihan raya umum lalu yang telah mengurangkan
rasuah dan meningkatkan ketelusan, serta memperkenalkan beberapa program
seperti air percuma dan bantuan-bantuan kebajikan yang lain. Sesetengah rakyat juga
merasakan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan tertentu kerajaan telah bertambah
baik di negeri-negeri di bawah kawalan Pakatan terutama di Selangor, Pulau
Pinang dan Kedah sejak pilihan raya umum lalu. Walau bagaimanapun, lima tahun kerajaan-kerajaan
negeri Pakatan Rakyat tidak berupaya menyelesaikan isu-isu asas sosial dan
ekonomi seperti gaji, kenaikan harga rumah, hak pekerja, isu-isu alam sekitar
tetapi menumpukan lebih kepada pemberian bantuan kebajikan untuk bersaing
dengan habuan yang diberikan oleh kerajaan BN.
Program dan
dasar-dasar Pakatan serta pelan induk mereka dalam rancangan ‘Buku Jingga’
jelas menunjukkan mereka selesa untuk bekerja dalam rangka kapitalisme dan
bukannya untuk mencabar sistem berorientasi keuntungan tersebut untuk memenuhi
keperluan- keperluan asas rakyat.
‘Gaji Minimum’
untuk meraih undi kelas pekerja
Kerajaan BN juga
telah memperkenalkan gaji minimum buat kali pertama untuk mendapatkan sokongan
daripada kelas pekerja. Tetapi jumlah RM800 di Sabah dan Sarawak, dan RM900 di Semenanjung
yang telah dilaksanakan mulai bulan Januari adalah jauh lebih rendah daripada
gaji sara hidup pada masa kini. Malah dengan jumlah yang tidak memadai untuk
pekerja, telah wujud berbagai manipulasi dalam pelaksanaan gaji minimum oleh pihak
majikan yang mahu terus mengekalkan dasar upah murah. Kerajaan juga tunduk
kepada tekanan majikan untuk mengurangkan faedah-faedah kepada pekerja asing,
misalnya levi kepada kerajaan kini harus ditanggung sendiri oleh pekerja asing
dengan perlaksanaan gaji minimum.
Penindasan gaji
oleh pihak majikan akan terus berlaku terutamanya untuk warga pekerja yang
tidak mempunyai kesatuan sekerja, pekerja kasual, pekerja kontrak atau pekerja
yang bekerja di bawah syarikat ‘outsourcing’ dan pekerja sambilan selagi
kerajaan memberikan majikan kebebasan dan kelonggaran dalam pelaksanaan
undang-undang dan dasar untuk memenuhi keperluan sistem pasaran bebas
kapitalisme.
Pakatan Rakyat
berjanji bahawa ia boleh melaksanakan RM1100 sebagai gaji minimum jika ia
berjaya mengambil kuasa kerajaan pusat. Beberapa kesatuan seperti Kesatuan
Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank pula menuntut bahawa gaji minimum harus
ditetapkan pada kadar RM1500 dengan mengambil kira kadar inflasi pada masa
kini, tetapi Pakatan Rakyat menolak dengan memberi alasan bahawa ‘pasaran
bebas’ tidak akan menerimanya.
Ini mendedahkan
sifat sebenar Pakatan yang mempergunakan slogan ‘populis’ seperti ekonomi berorientasikan
rakyat tetapi tidak sanggup untuk berhadapan dengan sistem berorientasikan
keuntungan kapitalisme untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan rakyat biasa.
‘Parlimen
tergantung’ selepas pilihan raya umum?
Majoriti rakyat
masih tidak yakin dengan polisi dan program kedua-dua parti, dan masih belum
membuat keputusan untuk siapa mereka akan undi dalam pilihan raya umum nanti.
Tetapi kelas menengah di bandar dan orang muda kebanyakannya menyokong Pakatan
Rakyat dengan harapan hak-hak demokratik dan sosial akan meningkat. Walaupun
bilangan penduduk luar bandar tidak seramai penduduk di bandar, tetapi terdapat
lebih banyak kawasan Parlimen dan DUN di kawasan luar bandar di mana BN masih mempunyai
kelebihan terutamanya dari segi wang, media dan jentera pilihan raya untuk
mempengaruhi pengundi. Tetapi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pakatan
sedikit sebanyak telah meningkatkan sokongan di beberapa kawasan luar bandar. Kebanyakan
penganalisis politik meramalkan BN akan membentuk kerajaan semula walaupun
dengan majoriti yang berkurangan. Tetapi, beberapa penganalisis pula tidak
menyangkal kemungkinan untuk pembangkang mengambil kuasa kerajaan pusat buat
kali pertama.
Ada juga yang
meramalkan bahawa keadaan ‘Parlimen tergantung’ juga boleh berlaku di mana sama
ada BN atau Pakatan Rakyat tiada majoriti yang jelas yang boleh mewujudkan
ketidakstabilan yang berpanjangan dalam kerajaan. Kerajaan BN telah
mempergunakan pertumbuhan ekonomi sekitar 5% sebagai faktor utama untuk
mempertahankan kuasa kerajaan, tetapi pertumbuhan tersebut tidak diterjemahkan
kepada peningkatan sebenar dalam taraf hidup bagi rakyat biasa di mana jurang
antara golongan kaya dan miskin semakin melebar, dan Malaysia adalah salah satu
negara dengan jurang kaya miskin yang paling tinggi di Asia Tenggara.
Sejak kelembapan
ekonomi dunia yang bermula pada tahun 2008, kerajaan BN telah mengepam
berbilion-bilion ringgit untuk merangsang ekonomi domestik, tetapi dengan
ketidaktentuan dalam ekonomi global yang berlanjutan tanpa penyelesaian
konkrit, eksport dan pelaburan negara masih tidak menggalakkan. Ini bermakna
dengan kembalinya kerajaan BN untuk satu penggal lagi, ia akan terdesak untuk
melaksanakan pemotongan perbelanjaan awam dengan nama penjimatan kewangan untuk
membendung defisit bajet dan hutang negara yang semakin meningkat jika ekonomi
global tidak banyak berubah atau menjadi lebih teruk.
Ini boleh
menjurus kepada ketidakpuasan sosial yang meluap di kalangan rakyat yang boleh
menjejaskan kestabilan kerajaan, dan mewujudkan lebih banyak konflik politik. Walaupun,
kemenangan pembangkang buat kali pertama akan memberikan harapan kepada rakyat
untuk satu kerajaan yang lebih baik, ini boleh meleset dengan cepat jika
kerajaan Pakatan tidak mampu meningkatkan keperluan-keperluan sosial dan
ekonomi rakyat terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak banyak berubah
disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.
‘Revolusi Arab’
telah dipergunakan oleh Mahathir dan pemimpin lain dalam BN untuk mewujudkan
rasa takut di kalangan pengundi bahawa kemenangan pembangkang dalam pilihan
raya umum akan mewujudkan lebih banyak ketidakstabilan. Tetapi, sesiapa sahaja
yang mengambil alih kuasa, jika keperluan sosial dan ekonomi rakyat tidak
berkembang atau semakin buruk, tindak balas seperti ‘Revolusi Arab’ daripada
rakyat biasa dan anak muda tidak dapat dielakkan.
Sosialis dan
Kesatuan Sekerja
PSM yang selama
ini tidak menganggap ia sebahagian daripada Pakatan secara rasmi, kini telah
mengumumkan bahawa ia bersedia untuk menyertai Pakatan Rakyat. Keputusan ini
dibuat untuk mendapatkan semula kerusi yang mereka bertanding pada pilihan raya
yang lepas di bawah logo Pakatan dan untuk mengelakkan pertembungan tiga
penjuru dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang akan datang. Walaupun
isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar yang memberikan kesan kepada rakyat
ditonjolkan dalam program mereka serta memberikan sokongan kepada tuntutan
pekerja seperti gaji minimum RM1500, tiada penyelesaian alternatif yang jelas
diberikan untuk menangani isu-isu tersebut selain daripada menumbangkan
UMNO/BN. Pendirian mereka tidak banyak berbeza daripada ABU (Asalkan Bukan UMNO/BN),
walaupun terdapat isu-isu asas rakyat seperti tuntutan gaji minimum RM1500 di
mana Pakatan Rakyat tidak memberikan sokongan. Ini menunjukkan bahawa PSM tidak
mengambil posisi sosialis dan posisi bebas untuk kelas pekerja ke arah membina
sebuah parti untuk kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain sebagai
alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis.
Dalam
tahun-tahun kebelakangan ini, serangan ke atas hak-hak dan kebajikan pekerja
telah meningkat dengan dasar-dasar pro-kapitalis kerajaan BN. Tekanan dari
pekerja telah mendesak beberapa kepimpinan kesatuan sekerja untuk melancarkan protes
dan piket. Protes pekerja-pekerja
sektor perbankan, pengangkutan, elektronik dan lain-lain dalam beberapa tahun
kebelakangan ini memberikan lebih keyakinan tentang perlunya pekerja bersatu
untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Tetapi kepimpinan MTUC tidak mengambil
inisiatif untuk membina perjuangan pekerja secara kolektif untuk mengalahkan
dasar-dasar pro-kapitalis kerajaan tetapi tunduk kepada sama ada desakan kerajaan
atau permintaan kapitalis.
Pekerja yang
berasa marah terhadap dasar-dasar pro-kapitalis BN akan memilih untuk mengundi
Pakatan Rakyat seperti dalam pilihan raya umum yang lalu dengan tiadanya
alternatif jelas yang lain. Tetapi, Pakatan yang mesra kepada pasaran bebas
kapitalisme juga menunjukkan bahawa ia tidak akan menyelesaikan tuntutan pekerja
jika ia mengambil kuasa. Pendirian Pakatan untuk tidak bersetuju kepada
tuntutan adil gaji minimum RM1500 menunjukkan bahawa mereka tidak akan
berkonfrontasi dengan kapitalis untuk meningkatkan keperluan sosial dan ekonomi
pekerja dan rakyat biasa. Ini menunjukkan bahawa warga pekerja dan rakyat biasa
yang mahukan perubahan tulen, tidak mempunyai alternatif sebenar antara BN dan Pakatan.
Ini menggariskan bahawa, untuk perubahan tulen, pekerja, kesatuan sekerja dan
sosialis mempunyai tugas penting untuk memulakan pembinaan parti massa
kelas pekerja dengan program-program dan dasar untuk meningkatkan hak-hak
demokratik dan keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja, orang muda dan
golongan lain yang tertindas di bawah sistem kapitalis. Hanya dengan cara ini
sahajalah, kerajaan untuk 99% (majoriti) dengan mengutamakan keperluan dan
hak-hak mereka boleh dibentuk sebagai alternatif kepada kerajaan untuk 1%
(minoriti) yang hanya mengutamakan keuntungan dan keperluan kapitalis dan
kroni. Ini akan menjadi hala tuju ke arah membina sebuah masyarakat yang
berlandaskan demokratik sosialisme di Malaysia dan antarabangsa.
No comments:
Post a Comment