Sunday, 4 March 2012

AUKU DAN HALA TUJU PERJUANGAN PELAJAR



Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah sinonim dengan perjuangan mahasiswa dan mahasiswi semenjak akta tersebut diperkenalkan pada tahun 1971 lagi. Hampir 4 dekad sudah berlalu, perjuangan menentang akta zalim ini masih berterusan.  Episod demi episod, generasi demi generasi, aksi demi aksi, mahasiswa-mahasiswi mencari tanda noktah untuk haluan perjuangan ini. Ini kerana AUKU diwujudkan untuk mengkongkong kebebasan pelajar untuk meluahkan pandangan politik serta melibatkan diri di dalam organisasi bersifat politik dan di dalam isu-isu masyarakat. 


         Pengalaman revolusi di Timur Tengah dan Afrika Utara yang bermula pada awal tahun 2011, menunjukkan bahawa, di dalam sesuatu gerakan rakyat menentang penguasa yang angkuh lagi zalim, gerakan pelajar dan anak muda merupakan salah satu segmen penting dan dinamik malah diberi perhatian yang khusus oleh masyarakat.  Dari kes perbicaraan UKM4 sehinggalah peristiwa pelajar berarak dari Maju Junction ke bangunan UMNO,  mereka bergerak dengan tenaga muda untuk menentang kezaliman AUKU yang membelenggu, membantut dan menekan kebebasan dan kreativiti pelajar.

Akibat daripada perjuangan kumpulan-kumpulan mahasiswa/i yang berterusan serta gerakan menuntut hak demokrasi yang semakin merebak akibat revolusi rakyat di Timur Tengah, Kerajaan BN pada September lalu, terdesak untuk mengumumkan pindaan seksyen 15 AUKU. Ini boleh memberikan ruang yang lebih kepada pelajar untuk berpatisipasi dalam politik.  Namun, ianya disambut dengan perasaan curiga kerana pilihanraya umum ke-13 sudah hampir dan pelajar beranggapan ianya sebahagian daripada gula-gula untuk meraih undi golongan muda. Ini menunjukkan perjuangan yang berdekad-dekad mula menampakkan elemen-elemen positifnya apabila pihak berkuasa terdesak untuk memberikan kelonggaran kepada pelajar untuk berpolitik. Namun demikian, perjuangan masih belum selesai. Golongan pelajar juga harus menuntut segala akta, undang-undang lapuk dan zalim dihapuskan sama sekali untuk menjamin kebebasan dan demokrasi tulen untuk segenap lapisan masyarakat.

Walaupun demokrasi merupakan isu utama yang diperjuangkan, mahasiswa-siswi patut memanjangkan lagi wacana mereka ke isu yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial.  Bagi masyarakat biasa seperti nelayan, buruh dan petani memerlukan tenaga muda bersama berjuang dengan mereka.  Di Chile, pergerakan pelajar universiti disertai oleh pelajar sekolah menengah menuntut pendidikan percuma untuk semua daripada peringkat tadika hinggalah ke tahap doktor falsafah dan juga menuntut supaya diberhentikan segala aktiviti pendidikan untuk meraih keuntungan.  Masyarakat Chile terutamanya guru, pensyarah turut memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka kerana salah satu daripada tuntutan adalah kenaikan gaji untuk para tenaga pengajar.  Ini menunjukkan taktik mereka untuk memenangi sokongan golongan pengajar sangat berkesan dan sangat strategik untuk menguatkan lagi gerakan pelajar yang sedia ada. 

Semangat internasionalisme dalam mana-mana perjuangan harus ada dan wajib diperluaskan lagi di dalam gerakan pelajar tempatan. Memang tidak dapat dinafikan, perjuangan pelajar pada tahun pra-merdeka dan pasca-merdeka bukan sahaja amat berkisar tentang isu-isu dalam negeri tetapi juga kepada beberapa perkembangan isu-isu antarabangsa seperti isu Palestin dan peperangan imprealisme. Kini kezaliman sedang bermaharajalela di mana-mana sahaja yakni ianya bersifat universal, maka adalah wajib untuk mempunyai perspektif antarabangsa untuk memperkukuhkan analisa terhadap sesuatu isu.

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu , mahasiswa-mahasiswi  juga akan menghadapi kesan daripada krisis tersebut seperti pengangguran dan inflasi.   Adalah tidak hairan lagi, krisis ekonomi ini disebabkan sistem kapitalis yang bertunjangkan keuntungan maksima dan berpandukan pasaran bebas yang tidak diregulasikan tetapi digerakkan oleh ‘tangan yang tidak nampak’ ( Invisible Hand ).  Isu sosial juga saling berkaitan dengan ekonomi.  Di Malaysia juga kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia telah mula muncul walaupun kerajaan cuba mengambarkan keadaan yang sebaliknya.  Beberapa hari yang lepas, Keluaran Dalam Negeri Kasar ( KDNK ) untuk suku tahun terakhir 2011 adalah 4.8 peratus berbanding 7.2 peratus untuk tahun sebelumnya disebabkan krisis ekonomi di rantau Eropah dan kelembapan ekonomi dunia secara keseluruhannya.  Sehingga Ogos 2011, kadar pengganguran di Malaysia adalah sebanyak 400, 000 atau 3.2 peratus. 

Di dalam kemelutan ekonomi masa kini, gerakan mahasiswa-siswi harus melebarkan haluan perjuangan bersama kaum pekerja kerana merekalah golongan yang berada di barisan hadapan penggerak ekonomi dan menerima kesan ekonomi secara langsung.  Golongan inilah sangat memerlukan dokongan terutamanya daripada golongan pelajar dan anak muda. Harus ditekankan disini, golongan pekerja adalah nadi sebenar ekonomi negara.  Walaupun kapitalis bermodal besar, tetapi untuk menjana untung ianya memerlukan pekerja.  Jatuh bangunnya sesebuah negara adalah terletak di kekuatan ekonominya.

Sejarah telah mengajar kita bagaimana kekuatan pekerja dan pelajar/anak muda adalah gabungan yang mantap untuk menentang kezaliman sistem kapitalis.  Selain itu, idea-idea sosialisme sebagai penyelesaian kepada krisis kapitalisme harus dijadikan landasan dalam perjuangan untuk demokrasi dan keadilan sosial dan ekonomi.  Dalam sistem sosialis, asas-asas ekonomi dimiliknegarakan dan diuruskan oleh pekerja dan rakyat biasa secara demokratik.  Ini merangkumi sistem pendidikan dan perubatan yang percuma untuk semua.  Mantra-mantra seperti negara berkebajikan umpama mimpi yang indah di siang hari kerana tidak akan ada perubahan yang tulen selagi kita masih terperangkap dalam kerangka sistem kapitalis. Pelopor-pelopor dasar negara berkebajikan masih memihak kepada pasaran bebas, dan matlamat mereka hanyalah untuk melakukan reformasi dalam kerangka sistem kapitalis yang sedia ada dan bukan untuk menukarnya.  Negara-negara berkebajikan seperti UK , Perancis dan German kini sedang bertungkus lumus mencari jalan keluar dari krisis tersebut.  Jelas, sistem yang kononnya simbol kemajuan dunia ini tidak mampu menyelesaikan masalah yang diciptanya sendiri. 

         Di saat ekonomi dunia yang sedang tenat ini, adalah masa yang tepat untuk berorganisasi untuk melawan kezaliman sistem kapitalis.  Tetapi , ianya pasti tidak akan datang bergolek-golek.  Untuk merealisikan sistem sosialis, parti massa yang berlandaskan kelas pekerja dengan gabungan anak muda harus diwujudkan.  Ini sebagai landasan untuk mempertahankan dan memperkuatkan perjuangan menentang sistem yang telah terbukti gagal untuk memberi kesejahteraan kepada majoriti umat manusia. 

EN 

No comments: