2011 merupakan
tahun bersejarah bagi perjuangan kelas pekerja dan anak muda. Ianya telah
menyaksikan revolusi dan pergerakan massa di Timur Tengah dan Afrika Utara; krisis
di dalam Kesatuan Eropah dan matawang Euro yang semakin meruncing; kebangkitan
kelas pekerja di seluruh Eropah akibat serangan kerajaan pro-kapitalisme
terhadap hak, demokrasi dan keperluan kelas pekerja dan anak muda; dan perkembangan
gerakan ‘Occupy’ yang telah merebak ke seluruh dunia.
Pergolakan Sosial
Baru-baru ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah meramalkan “kegawatan
sosial” akan melanda sekurang-kurangnya satu pertiga daripada negara-negara di
dunia pada tahun ini, dan ini mencerminkan skala pergolakan sosial yang sedang
dan akan tercetus akibat daripada krisis ekonomi dunia. Misalnya, pada awal bulan
Januari tahun ini, Nigeria telah menyaksikan kesatuan sekerja menganjurkan gerakan
kelas pekerja secara besar-besaran dengan pemogokan umum terhadap penarikan
balik subsidi petrol dan peningkatan inflasi. Manakala di Rusia bantahan
berpuluh-puluh ribu rakyat terhadap penipuan pilihan raya telah menggegarkan
kelas pemerintah.
2011 bermula dengan harapan optimistik kelas kapitalis antarabangsa bahawa
krisis ekonomi yang paling teruk, yang bermula akibat pergolakan kewangan
2008-09, akan pulih untuk menerajui pembangunan ekonomi. Tetapi anggapan
tersebut meleset apabila krisis semakin parah pada tahun 2011. Manakala awal tahun
ini pula kebanyakan daripada mereka hampir tidak yakin bahawa pertumbuhan ekonomi
akan pulih dalam masa terdekat ini. Sebaliknya, krisis hutang negara-negara di Kesatuan
Eropah telah mengakibatkan implikasi ekonomi yang merebak ke seluruh dunia
termasuk Malaysia yang sedang menghadapi kemerosotan ekspot dan pelaburan.
Langkah
penjimatan melalui pemotongan perbelanjaan dan kemudahan awam yang diumpukkan
terhadap Greece dan negara-negara penghutang yang lain, telah menghancurkan
jangkaan pertumbuhan ekonomi dan telah memburukkan lagi kemelesetan ekonomi
dunia. Ini sekaligus telah memaksa kelas pekerja di seluruh Eropah untuk melancarkan
mogok dan protes terhadap program penjimatan yang dicanangkan oleh pihak bank,
Kesatuan Eropah (EU) dan Badan Kewangan Antarabangsa (IMF) yang semakin
menghakis kemudahan dan hak ‘Negara Kebajikan’.
Kebantutan ekonomi
Ketika ini kelas
kapitalis hanya berupaya untuk mengurus ‘kesakitan’ dalam ekonomi dunia dan
tidak berupaya untuk mengubatinya. Pada realitinya, kelembapan ekonomi kali ini
telah berlanjutan lebih lama daripada kemurungan ekonomi yang telah melanda
dunia pada tahun 1930an yang selama ini dianggap kegawatan ekonomi paling teruk
dalam sejarah kapitalisme. Malah, kapitalis-kapitalis utama yang mempunyai
timbunan tunai yang agak besar enggan untuk melabur dalam aktiviti pengeluaran untuk
merangsangkan ekonomi kerana takut dengan persekitaran ekonomi dunia yang muram
yang tidak menjanjikan keuntungan maksima. Ini mengakibatkan kebantutan pertumbuhan
sebenar dan pengangguran tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah.
Pihak kapitalis juga beranggapan bahawa negara-negara kapitalis maju sedang
melalui era ‘Japanisation’ iaitu kebantutan ekonomi atau pertumbuhan ekonomi yang
rendah atau tiada pertumbuhan langsung untuk suatu tempoh yang agak lama.
Hutang negara di Jepun telah meningkat kepada 200% daripada KDNK (Keluaran
Dalam Negara Kasar), dan untuk sekian lama masih tidak berupaya untuk mencapai
suatu penyelesaian kepada masalah pertumbuhan ekonomi negara yang rendah. Tetapi,
Jepun masih tidak digegarkan dengan gerakan pekerja seperti yang kita sedang
saksikan di Eropah, kerana selama ini ianya telah diselamatkan oleh pertumbuhan
ekonomi yang pesat di China. Tetapi,
ekonomi Jepun boleh menjadi parah jika kemelesetan ekonomi di China semakin teruk.
Ini akan mendesak kerajaan Jepun untuk melancarkan lebih banyak pemotongan
perbelanjaan awam, yang boleh mencetuskan bantahan rakyat. Dalam situasi
tersebut, Jepun juga akan mula menghadapi senario ketidakstabilan dan bantahan yang
sama seperti yang kita saksikan baru-baru ini di Amerika Syarikat dan Eropah.
China telah mula
merasai impak daripada krisis berterusan di Eropah, dengan penyusutan terhadap permintaan
produk pengeluarannya daripada beberapa pasaran utama untuk ekspot. Justeru
itu, beberapa pakar ekonomi menurunkan jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi
China, terutamanya dengan prospek krisis di dalam pasaran hartanah negara
tersebut. Mereka juga meramalkan kesan sosial boleh merebak akibat kemerosotan
dalam ekonomi China. Bahkan, beberapa protes sosial dan perindustrian sudah
mula tercetus akibat serangan kerajaan China terhadap hak dan demokrasi pekerja
dan petani. Ini termasuk sebuah gerakan besar di kampung Wukan pada akhir tahun
lepas untuk menentang penjualan tanah penduduk kampung tersebut oleh pegawai
kerajaan tempatan.
Gerakan ‘Occupy’
Protes dan demonstrasi telah merebak ke seluruh dunia pada tahun 2011. Pihak
majikan dan pengulas pro-kapitalis amat risau terhadap perjuangan dan
gerakan-gerakan anak muda dan kelas pekerja yang semakin berkembang.
Revolusi-revolusi dan pergolakan di Timur Tengah telah diikuti oleh gerakan
‘occupy’ di seluruh dunia yang bermula di Amerika Syarikat dengan kebangkitan
semula kelas pekerja dalam gerakan di Wisconsin. Gerakan ‘occupy’ telah memperlihatkan
generasi anak muda masuk ke pentas politik untuk menentang kerakusan dan
kekuasaan kapitalisme yang semakin bermaharajalela. Di Amerika Syarikat,
beberapa gerakan ‘occupy’ yang diterajui oleh anak muda telah menjurus ke arah
menyokong perjuangan gerakan pekerja.
Tinjaun-tinjauan awam menunjukkan bahawa majoriti rakyat Amerika Syarikat amat memihak
kepada gerakan ‘occupy’. Manakala 59% Afro-Amerika dan 49% anak muda di Amerika
Syarikat memberikan pandangan yang menggalakkan terhadap sosialisme. Tetapi,
secara umum, gerakan ‘occupy’ hanya menghadkan kepada langkah-langkah untuk
mereformasikan kapitalisme dan tidak mengemukakan idea-idea yang jelas untuk menukar
sistem kapitalisme yang terus menerus menghakis hak dan keperluan kelas pekerja
dan anak muda dengan kerakusan kuasa dan keuntungan maksima.
Krisis Eropah
Eropah telah menjadi pusat krisis ekonomi dunia pada tahun 2011. Ancaman terhadap
beberapa negara yang sedang mengharungi krisis hutang yang teruk terhadap
risiko kebankrapan dan penyingkiran daripada penggunaan matawang Euro semakin
meningkat. Sidang kemuncak Kesatuan Eropah pada akhir tahun lepas hanya mengusulkan
kaedah-kaedah untuk mencuba menghalang krisis di masa hadapan, dan bukannya
untuk menyelesaikan masalah semasa. Ini seakan-akan, ketika Zon Eropah sedang
‘terbakar’, pemiliknya tidak dapat memutuskan sama ada untuk menghantar pasukan
bomba, atau tidak pasti pasukan bomba yang mana satu dan bila ianya patut
dihantar, dan pada masa yang sama mereka memanggil arkitek untuk membina sebuah
‘rumah baru’ sebagai ganti!
Buat masa ini, pihak kapitalis Eropah yang diketuai oleh Jerman, menolak idea ‘bon-euro’
untuk membiayai proses menyelematkan negara-negara yang menghadapi krisis, tetapi
jika terdesak kemungkinan alternatif ini terpaksa digunapakai. Tetapi jika
ekonomi rantau Eropah semakin merosot, mereka akan terdesak untuk menggunakan
pakej perangsang untuk merangka langkah keselamatan untuk satu jangkamasa sementara
dari kemelesetan yang lebih teruk, dan juga untuk memastikan masyarakat tidak
menjadi radikal atau melancarkan revolusi terhadap kerajaan kapitalisme.
Kesatuan Eropah telah mengumpukkan kerajaan teknokrat di negara Itali dan Greece
dengan perlantikan Monti dan Papademos, dan seterusnya mempergunakan
kerajaan-kerajaan pro-kapitalisme tersebut untuk terus melancarkan dasar penjimatan
ke atas rakyat. Peningkatan penggunaan kaedah anti-demokratik oleh kelas
pemerintah di Eropah juga telah menaikkan kemarahan pekerja dan anak muda. Adalah
dijangkakan dalam peringkat seterusnya, kerajaan-kerajaan tersebut dengan polisi-polisi
yang diumpukkan akan mendapat tentangan yang lebih besar daripada kelas pekerja
di negara-negara tersebut.
Manakala, negara-negara penghutang di rantau matawang euro juga akan menghadapi
komitmen pembayaran balik hutang yang agak besar pada pertengahan tahun 2012
yang mana akan menguji dana penyelematan dan dasar Kesatuan Eropah sekali lagi.
Adalah dijangkakan pergolakan akan semakin meruncing di kebanyakan negara dalam
masa terdekat ini. Salah satu contoh adalah penarikan taraf ‘AAA’ negara Perancis
yang menggambarkan ketenatan krisis tersebut.
Kapitalis Jerman adalah benefisiari utama daripada kemunculan euro di rantau
Eropah, di mana negara tersebut telah menjana keuntungan besar daripada jualan
barangan pembuatannya. Mereka menggunakan status tersebut sebagai justifikasi
untuk mempengaruhi dasar berjimat cermat yang diumpukkan terhadap negara-negara
yang mengharungi krisis hutang. Jerman memutuskan tahap pemotongan perbelanjaan
awam yang akan dikenakan di negara-negara yang memohon dana penyelematan. Pengumpukkan
pemotongan yang tidak berperikemanusian telah menaikkan lagi kemarahan rakyat
biasa terhadap Jerman. Manakala, perjanjian dasar-dasar deflasi yang
dipersetujui di Kesatuan Eropah juga telah mencetuskan semangat nasionalisme di
kawasan seperti Scotland dan Catalonia. Pengalaman di Eropah sekali lagi
menggariskan bahawa kelas pekerja adalah kuasa sebenar yang dapat menentang
kediktatoran pasaran bebas kapitalisme.
Pengangguran berleluasa
Di Eropah, anak muda, khususnya, terjejas teruk akibat pengangguran yang
semakin berleluasa. Fenomena penghijrahan secara besar-besaran telah muncul
semula apabila anak muda tidak berpeluang
mendapatkan pekerjaan di negara sendiri. Sebilangan anak muda di negara-negara
Eropah, seperti Portugal, terpaksa berhijrah ke bekas tanah jajahan negara
tersebut, seperti Angola, untuk mendapatkan pekerjaan.
Manakala, kelas pekerja di Eropah telah kembali ke perjuangan massa untuk
mempertahankan hak dan kebajikan mereka. Beberapa siri pemogokan umum di
Greece, serta di Portugal, Sepanyol, dan Itali, dan pemogokan umum sektor awam
di Britain pada bulan November 2011, telah memaparkan kecekalan berjuang kelas pekerja
apabila berhadapan dengan serangan ke atas taraf hidup mereka. Malangnya, dengan
ilusi untuk mereformasikan kapitalisme, kepimpinan kesatuan sekerja tidak
sanggup menyahut kesanggupan kelas pekerja untuk berjuang. Mereka tunduk kepada
desakan kerajaan kapitalis daripada mempertahankan hak dan kebajikan ahli
mereka.
Krisis dalam politik kapitalisme dan ketidakpopularan langkah-langkah penjimatan
dalam perbelanjaan awam telah mengakibatkan lima perdana menteri digulingkan di
Eropah pada tahun 2011. Manakala, dasar-dasar pro-kapitalis parti-parti yang
bertopengkan ‘demokrasi sosial’ telah membawa padah dengan kekalahan teruk mereka
kepada parti-parti berhaluan kanan di dalam pilihan raya di Sepanyol dan
Portugal. Di kebanyakan negara di Eropah, wujud vakum untuk parti berhaluan
kiri yang mana telah dipergunakan oleh golongan populis dan liberal kapitalis
untuk meraih sokongan. Walaupun beberapa pembentukan parti-parti politik kiri
telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti Syriza di Greece
dan NPA di Peranchis, tetapi mereka tidak mampu untuk memenuhi harapan kelas
pekerja dan anak muda. Ini kerana kepimpinan parti-parti tersebut tidak
menggariskan agenda perjuangan jelas sebagai alternatif kepada krisis
kapitalisme. Kegagalan mereka dalam membina gerakan besar tidak bermakna mereka
tidak akan meraih beberapa kejayaan dalam pilihan raya. Tetapi kemungkinan
untuk gerakan-gerakan dan parti-parti baru dibentuk untuk memenuhi vakum yang
wujud tidak dapat disangkal. Tetapi pertubuhan-pertubuhan kiri yang baru perlu
mengamalkan program sosialis sebagai alternatif kepada dasar-dasar pemotongan
perbelanjaan awam dan berkempen untuk perubahan sistem yang tulen.
Timur Tengah
Revolusi dan gerakan
besar di Timur Tengah dan Afrika Utara pada tahun 2011 telah menjatuhkan satu
demi satu kerajaan diktator. Walaupun rejim baru telah mengambilalih di Mesir
dan Tunisia, terdapat perasaan di kalangan rakyat bahawa revolusi maish tidak
selesai, dan kelas pekerja dan anak muda harus meneruskan perjuangan untuk menuntut
perubahaan ekonomi, sosial dan politik yang tulen. Ini bermakna pergolakan akan
berlanjutan. Manakala revolusi tersebut tidak juga menjanjikan keamanan di
rantau ini, di mana ancaman perang mungkin boleh meletus jika Israel atau
Amerika Syarikat mengambil tindakan ketenteraan terhadap pelantar nuklear di
Iran. Hanya perjuangan berterusan anak muda dan kelas pekerja, yang mencetuskan
revolusi pada tahun lepas, boleh mengelakkan kekejaman peperangan yang boleh memporak-porandakan
rantau ini.
Bukan hanya Timur Tengah sahaja menjadi tumpuan kepada imperialisme. Amerika Syarikat
mungkin telah menarik balik tentera dari Iraq pada tahun 2011 tetapi ia masih
terlibat secara langsung di Afghanistan. Ini mencerminkan kebuntuan di negara
itu, di mana Taliban baru-baru ini telah dibenarkan untuk menubuhkan pejabat di
Qatar untuk tujuan berunding dengan Amerika Syarikat, dan untuk membawa
beberapa elemen Taliban ke dalam pentadbiran Kerajaan di Kabul.
Asia Pasifik
Satu lagi tumpuan imprealisme adalah rantau Asia-Pasifik. Baru-baru ini,
kerajaan Amerika Syarikat telah mengeluarkan sebuah dokumen yang menggariskan strategi
baru untuk mengalihkan orientasi dasar luar negara ke arah rantau ini. Ini adalah
akibat kerisauan Amerika Syarikat bahawa China akan menggunakan kuasa ekonomi
yang semakin meningkat untuk menguasai rantau ini. China berkemungkinan boleh
menjadi ekonomi terbesar di dunia, walaupun purata taraf hidup di negara
tersebut adalah jauh lebih rendah daripada rakyat di Amerika Syarikat. Walau
bagaimanapun, kebangkitan gerakan rakyat di China akan mencetuskan lebih banyak
konflik di China sendiri daripada konflik dengan Amerika Syarikat.
2011 adalah tahun
yang penting bagi gerakan-gerakan massa dan telah mewujudkan tugas besar dan
cabaran bagi sosialis dan marxis untuk menerangkan idea-idea marxis kepada
pekerja-pekerja dan anak muda dalam perjuangan untuk membina sosialisme serta
memperkukuhkan perjuangan untuk menukar sistem kapitalisme dan seterusnya bergerak
ke arah perubahan sosialis tulen dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment