ANAK MUDA DAN KELAS PEKERJA PERLU MEMBINA ALTERNATIF KEPADA POLITIK PRO-KAPITALISME
Hampir setiap hari akbar tempatan mahupun antarabangsa berkisar tentang ekonomi global yang semakin hari semakin tenat. Terbukti juga bahawa teori Marx tentang ekonomi dan kapitalisme masih releven untuk memahami mengapa krisis tersebut yang bermula pada 2008 masih tidak mendapat penyelesaian. Malah runtuhnya tembok Berlin pada tahun 1989 tidak bererti Marxisme turut jatuh menyembah bumi sekali walaupun diuar-uarkan ideologinya tidak relevan lagi. Yang jatuhnya hanyalah pemerintahan kukubesi birokrasi Stalinisme yang telah menghancurkan demokrasi pekerja dan rakyat biasa yang amat diperlukan untuk pembinaan ekonomi terancang sosialisme untuk mengorganisasi keperluan masyarakat. Malahan rakyat biasa di negara-negara di bawah Stalinisme atau Maoisme tersebut yang telah kembali ke tampuk kapitalisme selepas kejatuhan rejim-rejim di negara mereka, sekarang menghadapi eksploitasi yang lebih ganas akibat krisis di dalam sistem kapitalisme itu sendiri.
Sudah hampir sebulan berlalu Najib membentang perbelanjaan untuk tahun 2012. Sebanyak 232.8 billion ringgit diperuntukan untuk belanjawan tahun depan. Naik sebanyak 8.6 peratus iaitu 20.8 billion daripada tahun lalu. Manakala, Pakatan Rakyat membentangkan peruntukan 220 billion ringgit untuk tahun hadapan. Umum sudah tahu dan sedar bahawa pilihanraya umum ke-13 sudah dekat. Maka, tidak hairanlah kedua-dua pihak saling berebut untuk mencari sehelai ataupun lebih kertas undi dengan menjaja nama sejahtera dan rakyat. Lihat saja temanya sama cuma cara kedua-dua pihak mengurus hanya berbeza sedikit antara satu sama lain. Pakatan mengatakan kalau tiada korupsi dalam kerajaan BN, maka ekonomi boleh diperkasakan, manakala BN mengatakan Pakatan bukan di alam nyata dan belanjawan mereka tak praktikal. Ringkasnya, kedua-duanya merangka belanjawan di bawah kongkongan elemen-elemen kapitalisme di negara kita yang semakin tertekan akibat krisis ekonomi global. Manakala rakyat biasa sedang merasakan tekanan hidup yang semakin membebankan akibat kenaikan harga barang dan keperluan lain yang tidak terkawal.
Persoalannya berapa lama rakyat boleh digula-gulakan dengan berbagai habuan yang semata-mata diberikan untuk satu jangkamasa pendek. Manakala masalah asas seperti hak gaji yang saksama, hak perumahaan selesa dan lain-lain terus diabaikan. Kesedaran rakyat meningkat dengan impak sosial dan ekonomi yang semakin meningkat. Hasilnya, pada tahun 2008, Abdullah Badawi juga membentang perbelanjaan seperti pemerintahan Najib. Juga dengan nama rakyat dan sejahtera. Namun , gelombang Tsunami 2008 tetap menghempas dan menjatuhkan majoriti 2/3 untuk kali pertama dalam sejarah kerajaan BN yang memerintah negara selama 50 lebih tahun. Sebanyak 5 buah negeri jatuh ke tangan pembangkang sebelum kejatuhan Perak kembali ke tangan BN.
Nampaknya, kebanyakan habuan yang diberikan adalah kepada rakyat luar bandar, manakala tidak banyak lolipop dihulur untuk golongan pertengahan di kawasan bandar. Harus diingatkan, majoriti golongan pertengahan inilah yang turun ke jalan pada 9 Julai walaupun berhadapan tindakan represi bertalu-talu daripada pihak pemerintah. Mereka mungkin boleh kembali turun ke jalan dengan jumlah yang lebih ramai jika ada gerakan massa dengan kepimpinan yang jelas. Pada masa yang sama, jika regim Najib gagal membendung inflasi yang semakin menjerut leher golongan berpendapatan rendah, maka ini boleh menaikkan kemarahan mereka terhadap kerajaan.
Pekerja sektor awam pasti tersenyum lebar dengan kenaikan gaji yang diumumkan dalam perbelanjaan ini. Tetapi peniaga-peniaga akan mengambil kesempatan tersebut untuk menaiikan harga barang. Hal ini bukan disebabkan oleh para peniaga suka menaikkan harga hanya kerana mengikut trend semasa. Dalam sistem ekonomi kapitalis, asas-asas ekonomi bukannya dimiliki oleh kerajaan. Ianya terletak di tangan para kapitalis antarabangsa dan tempatan. Tidak kiralah berapa banyak program pemantau harga oleh pihak kerajaan, harga barang tetap naik. Perkara ini bukan perkara yang baru , ianya berlaku setiap tahun.
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sangat yakin dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) akan tumbuh sekitar 4 ke 5.5 peratus. Walaupun hutang negara kini pada RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pada saat ini , krisis yang bermula daripada tahun 2008 masih terus berlangsung dan pakar-pakar ekonomi kapitalis meramalkan keadaan ekonomi akan lebih parah jika kegawatan ekonomi di Eropah dan Amerika tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat ini. Situasi di benua Eropah kian meruncing , Greece ,Spain dan terbaru ini Itali di ambang kebankrapan. Di Amerika, situasi juga tidak banyak berbeza. Kemiskinan di Amerika kini mencatat 20.8 juta rakyatnya hidup dibawah garis kemiskinan.
Namun , nafsu untuk berbelanja lebih tetap ada. Pakatan Rakyat pula sama juga seperti BN. Masing-masing berebut hendak pelaburan yang besar dan dasar pasaran terbuka akan diperluaskan lagi. Misalnya untuk beberapa sektor perkhidmatan akan dibuka kepada pelaburan asing pengangan syernya sebanyak 100 peratus. Malah semakin ramai pakar ekonomi berkata krisis kali akan lebih teruk dan lebih panjang daripada ‘The Great Depression’ 1930 dan tidak pasti bila krisis ini akan beransur pulih.
Kebanyakan agihan untuk rakyat biasa bersifat 'one-off" ( memberi sekali sahaja ) dan tiada rancangan untuk jangka masa yang panjang. Ini jelas , perbelanjaan tahun depan bukanlah seenak rasa temanya kesejahteraan untuk rakyat. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ada kemungkinan agihan ini tidak berkesan untuk menangani kesulitan yang dihadapi. Malahan ianya mungkin tidak cukup untuk menampung keperluan seharian kerana barang makanan seperti ayam sentiasa naik. Pekerja sektor kerajaan harus tahu kenaikan gaji itu hanyalah bersifat sementara. Agihan sebenarnya masih tidak cukup berbanding syarikat korporat yang mendapat cukai pengecualian yang banyak. Sebanyak 70 peratus pengecualian cukai kepada pemilik hotel di seluruh Malaysia. Tidak banyak inisiatif untuk membasmi pengangguran terutamanya dikalangan anak muda yang baru tamat pengajian di universiti. Keadaan ini diburukkan lagi, kualiti pendidikan masih lagi di tahap yang tidak memuaskan walaupun yuran naik seperti barang komiditi yang lain. Agihan 200 ratus ringgit untuk voucher membeli buku rujukan hanya sekadar memberi duit poket bulanan ke dalam dompet pelajar. Sayangnya, harga buku rujukan bukanlah semurah yang disangkakan. 200 ringgit hanyalah cukup-cukup untuk membeli satu atau dua buku. Rata-rata pengundi pada pilihanraya umum 13 adalah pengundi muda yang boleh menjadi penentu kepada pemenang pilihanraya tersebut.
Biarpun perbelanjaan tahun depan boleh dikira perbelanjaan untuk meraih undi , tidak ada perancangan jelas bagaimana kita boleh menangani masalah ekonomi yang kian meruncing. Ketika ini, satu alternatif harus dimulakan. Memilik-negara asas-asas ekonomi seperti minyak. Kepimpinan kelas pekerja harus dibina untuk memimpin negara kerana merekalah yang merasa kesan terus dari krisis ekonomi yang melanda. Mereka ini langsung tidak memiliki kepentingan berpaksikan untung seperti kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa. Keperluan rakyat diutamakan bukannya untung rugi sebuah saham. Kesaksamaan dalam pengagihan sumber keperluan tanpa mengira bangsa dan agama. Anak muda harus mula mendekati golongan pekerja. Lihat sahaja kekebalan mereka pada Julai lalu. Dengan bersatunya dan kekuatan bersama anak muda dan kelas pekerja, rakyat tidak kerugian apa-apa tetapi rantai-rantai penindasan yang membelenggu sekian lamanya.
EN
No comments:
Post a Comment