Menurut
laporan laman web Portal Gaji Minimum Malaysia, Perintah Gaji Minimum
Kebangsaan 2012 diberitakan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013 bagi
majikan yang mempunyai lebih daripada lima pekerja, dan pada 1 Julai 2013 bagi
majikan yang mempunyai lima pekerja atau kurang. Di dalam tempoh itu, pihak
kerajaan telah memberi banyak kelonggaran kepada syarikat besar mahupun kecil
dan sederhana dengan memberikan tiga fasa penundaan bermula Disember 2012 hingga
31 Disember 2013.
Namun,
sehingga Disember 2013, banyak syarikat yang masih belum melaksanakan
pembayaran gaji minimum kepada pekerja berdasarkan 961 aduan pekerja yang
diterima oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Daripada jumlah itu, sebanyak 290 kes
telah diselesaikan melalui persetujuan di antara majikan dan pekerja. 622 kes
masih lagi dalam siasatan akhir, manakala 49 kes lagi dirujuk ke Mahkamah
Buruh.
Sebanyak
1,044 majikan memohon penangguhan pelaksanaan gaji minimum dengan alasan supaya
mereka dapat mengkaji semula struktur perniagaan mereka sepanjang tempoh
penangguhan tersebut. Di atas dasar kompromi kerajaan terhadap majikan-majikan
kapitalis ini, pelaksanaan perintah gaji minimum tersebut telah ditangguh
sehingga diputuskan untuk dikuatkuasakan semula pada 1 Januari 2014.