Hari Pekerja atau Hari Satu Mei bukan calang-calang hari. Ramai dalam kalangan kita yang menganggap bahawa hari itu adalah hari untuk kita bercuti semata-mata, ataupun hari untuk mendapat ‘double pay’ kerana bekerja ketika cuti umum. Secara sejarahnya, Hari Pekerja adalah hari kemenangan bagi kelas pekerja dalam perjuangan mereka untuk menuntut pengurangan jam kerja iaitu dari 12-16 jam sehari kepada 8 jam sehari. Kemenangan ini tidak diraih dengan sekelip mata, bahkan merupakan satu perjuangan yang panjang kerana berlangsung pada sekitar tempoh tahun 1886-1890-an. Ia adalah perjuangan yang amat mengagumkan kerana melibatkan pengorbanan warga pekerja yang berusaha untuk membebaskan diri mereka daripada penindasan majikan-majikan yang tidak berperikemanusiaan. Dalam hal ini, sistem kapitalisme yang diangkat oleh para majikan itu begitu mementingkan keuntungan sehinggakan sanggup untuk menafikan hak-hak pekerja. Sedangkan tanpa warga pekerja, syarikat-syarikat tersebut pasti tidak akan mendapat keuntungan dan memperkembangkan perniagaannya.
Perjuangan
berkenaan menyaksikan hasilnya apabila warga pekerja dapat menikmati masa yang
lebih untuk diri sendiri, dan bersama-sama keluarga serta masyarakat. Walau
bagaimanapun, kerakusan sistem kapitalisme semakin lama makin menyebabkan
syarikat-syarikat menekan pekerja-pekerja untuk bekerja lebih dari 8 jam. Di
Malaysia, kebanyakan pekerja masih mengalami masalah tersebut. Bahkan,
dasar-dasar GST, TPPA, pemotongan subsidi, kenaikan harga barang dan sebagainya
lagi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kapitalis di negara ini turut tidak
berpihak kepada kelas pekerja dan masyarakat biasa. Tuntutan para pekerja
Hospital Assunta, piket NUBE, piket pekerja Hong Leong Bank dan banyak lagi
cukup menggambarkan betapa para pekerja tidak mendapat hak yang sepatutnya.