Kerajaan Malaysia sedang
melakukan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk melakukan Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan memberikan lebih ruang dan
fleksibiliti kepada kapitalis (pemodal) Amerika untuk melabur di negara kita. Kapitalis
Amerika juga akan mempunyai kuasa untuk mengeksploitasi sumber-sumber alam dan
memaksa kerajaan melonggarkan undang-undang buruh.
Ini adalah langkah
kerajaan untuk memperkukuhkan lagi dasar sistem pasaran bebas yang pada
kenyataannya tidak bebas. Dalam sistem pasaran bebas, syarikat-syarikat yang
besar akan mempergunakan kuasa monopoli dan kapasiti kewangan untuk menakluki
suatu perniagaan tertentu untuk memastikan keuntungan maksimum. Dengan cara ini
pemodal akan mengambil hak kepada barangan tersebut, dan menjualnya dengan
harga yang tinggi. Jika TPPA
dilaksanakan, adalah dijangka kos barangan asas seperti ubat-ubatan akan
meningkat dan boleh membebankan golongan berpendapatan rendah.
Manakala, dengan pelaksanaan TPPA hak dan kebajikan warga pekerja akan semakin terhakis dengan keutamaan pelabur Amerika untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Warga pekerja dan Kesatuan sekerja harus berkempen untuk mendesak kerajaan tidak menandatangani TPPA yang mendahulukan keuntungan kapitalis daripada keperluan rakyat.